
CABARAN NXGV 2025 BAKAL BENTUK DASAR EV NEGARA
Cabaran NxGV 2025, yang julung kali diadakan, telah menghimpunkan 10 institusi pengajian tinggi dari seluruh negara dalam usaha menyumbang kepada pembangunan dasar kenderaan elektrik (EV) Malaysia.
Melalui acara ini, para peserta diberi tugasan untuk mereka dan membina kenderaan gaya go-kart bertenaga elektrik, sebelum diuji di litar APD di MAEPS Serdang.
Inisiatif ini dianjurkan bersama oleh Perodua, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Persatuan Jurutera Automotif Malaysia (SAEM), sebagai platform untuk menilai keupayaan inovasi tempatan dalam bidang EV serta menyokong hala tuju teknologi automotif negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad menyatakan penghargaan kepada semua institusi yang terlibat, sambil menekankan bahawa dapatan daripada pertandingan ini bakal menjadi rujukan penting dalam merangka dasar EV tempatan.

“Sebagai pengeluar kenderaan nasional, Perodua berperanan memastikan ekosistem automotif negara bersedia menghadapi era mobiliti baharu. Penyertaan pelbagai institusi pendidikan dalam acara ini amat penting bagi memastikan semua pihak bergerak seiring ke arah masa depan industri,” katanya.
Cabaran ini bermula sejak Disember 2024 dengan 15 institusi diundang menyertai, merangkumi universiti, politeknik dan kolej swasta.
Daripada jumlah itu, 10 pasukan terbaik telah dipilih, terdiri daripada pelajar dan pensyarah.
Senarai institusi yang terlibat:
- Universiti Malaya
- Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah
- Institut Perindustrian Jitra
- ILP Kuala Lumpur
- Universiti Malaysia Perlis
- Politeknik Port Dickson
- Politeknik Kota Bharu
- Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin
- Taylor’s University
- Politeknik Sultan Azlan Shah
Cabaran NxGV 2025 ini dibahagikan kepada dua kategori utama:
Cabaran Statik, merangkumi:
- Rancangan perniagaan
- Analisis kos
- Pembentangan reka bentuk
Cabaran Dinamik, merangkumi:
- Ujian skip pad
- Autocross
- Ujian pecutan bagi menilai prestasi keseluruhan kenderaan
Menurut Dato’ Sri Zainal, kerjasama antara industri dan institusi pendidikan ini bakal membawa impak jangka panjang kepada negara, bukan sahaja dalam teknologi, malah dalam memperkasakan bakat tempatan serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam arena EV serantau.
- BACA: TEMPAHAN NISSAN KICKS e-POWER IMPUL EDITION KINI DIBUKA: TAMPIL LEBIH GARANG, SPORTY
- BACA: UMWT PERKENALKAN TAWARAN EKSKLUSIF BULAN MEI – PELAN PEMBIAYAAN SERENDAH RM658
- BACA: MAS2025: YAMAHA TMAX TECH MAX 2025 MENDARAT – RM75,888
- BACA: ERC 2025 – BINTANG MUDA RALI FINLAND ROOPE KORHONEN MENANG DI STAFF HOUSE RALLY HUNGARY