
TEMPAHAN HYUNDAI IONIQ 5 N DAN IONIQ 6 N DIBUKA – HARGA MULA SEKITAR RM450K
Hyundai Motor Malaysia mencuri perhatian di Penang Autoshow 2026 apabila mengumumkan pembukaan tempahan rasmi untuk model prestasi elektrik terbaharu mereka, Hyundai IONIQ 5 N dan Hyundai IONIQ 6 N.
Langkah ini menandakan kemasukan serius jenama itu ke segmen EV berprestasi tinggi di pasaran tempatan.
Lebih menarik, pengunjung Penang Autoshow 2026 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) dari 1 hingga 3 Mei 2026 berpeluang melihat lebih dekat IONIQ 5 N yang menjadi tumpuan utama acara.
Prestasi EV “N” pertama di Malaysia
Barisan Hyundai N ini dibangunkan berasaskan legasi sukan permotoran Hyundai, termasuk ujian ketat di litar Nürburgring.
Kedua-dua model ini hadir dengan kuasa sekitar 650PS, menjadikan ia antara EV paling berkuasa dalam kelasnya.

IONIQ 5 N menawarkan pecutan 0–100km/j hanya 3.4 saat dengan kelajuan maksimum 260km/j, serta jarak perjalanan sehingga 448km (WLTP).
Ia turut dibangunkan dengan talaan litar bagi memberikan pengalaman pemanduan lebih agresif walaupun dalam bentuk EV.
IONIQ 6 N pula membawa pendekatan lebih aerodinamik dan “refined”, dengan catatan 0–100km/j sekitar 3.2 saat serta kelajuan maksimum 257km/j.
Model ini juga mampu mencapai jarak sehingga 487km (WLTP), selain dilengkapi elemen eksklusif seperti spoiler “swan neck” dan sokongan kamera dalaman khas untuk pemanduan berprestasi.
Harga anggaran dan tempahan
Kedua-dua model ini ditawarkan secara tempahan khas (built-to-order) dengan harga anggaran bermula sekitar RM450,000 untuk IONIQ 5 N dan RM460,000 untuk IONIQ 6 N.
Setiap tempahan turut disertakan barangan rasmi Hyundai N bernilai kira-kira RM2,000.

Tempahan boleh dibuat melalui rangkaian pengedar sah termasuk Sime Darby Auto Hyundai Sdn Bhd (wilayah tengah), Goh Brothers Motor Sdn Bhd (utara) dan Heng Lian Enterprise Bhd (Malaysia Timur). Lebih banyak pengedar dijangka diumumkan kemudian.
Sokongan rangkaian & kempen pelanggan
Dalam masa sama, Hyundai turut memperkukuh rangkaian di utara dengan pelantikan Goh Brothers Motor Sdn Bhd sebagai pengedar baharu, bagi memperluas akses pelanggan kepada model-model Hyundai.
Di autoshow ini juga, pengunjung boleh melihat barisan model lain seperti SANTA FE, TUCSON dan STARIA, selain mengetahui lebih lanjut mengenai program selepas jualan myHyundaiCare serta teknologi hibrid jenama tersebut.
Hyundai turut menawarkan pelbagai aktiviti termasuk kempen pandu uji yang memberi peluang memenangi barangan eksklusif serta tiket perlawanan FIFA World Cup 2026 melalui kempen global yang berlangsung sehingga 3 Mei 2026.
- BACA: PROTON e.MAS 5 TERIMA WARNA BAHARU – JADE GREEN, DEBUT DI PENANG AUTOSHOW 2026
- BACA: DUNLOP BUKA FASA BAHARU BAWAH TOYOTSU BINTER, PERKENAL TAYAR EV
- BACA: DARI BEIJING KE P. PINANG: GWM MALAYSIA MMEMBAWA “ALL POWERTRAIN, ALLSCENARIO” KE PENANG AUTOSHOW 2026 & PENAMPILAN TANK 300 HEV
- BACA: YAMAHA YZF-R25 HADIR DENGAN DUA WARNA BAHARU – RM23,098







