Buletin

PROTON e.MAS 5 TERIMA WARNA BAHARU – JADE GREEN, DEBUT DI PENANG AUTOSHOW 2026

PRO-NET, anak syarikat milik penuh PROTON, mencuri tumpuan di Penang Autoshow 2026 dengan memperkenalkan kemasan warna baharu Jade Green bagi model Proton e.MAS 5 serta pendedahan pertama platform Global Modular Architecture (GMA) di zon utara.

Model Proton e.MAS 5 yang kini antara EV paling popular di Malaysia dengan lebih 8,000 unit jualan setakat tahun ini, dipamerkan dalam warna baharu tersebut sebagai tarikan utama pengunjung.

Turut mencuri perhatian ialah Proton e.MAS 7 PHEV yang tampil dengan warna Emerald Green yang diperkenalkan sebelum ini.

PRO-NET turut membawa platform Global Modular Architecture (GMA) buat julung kali ke bahagian utara.

Platform ini menjadi asas kepada pembangunan kenderaan elektrik (EV) dan hibrid plug-in (PHEV) jenama berkenaan, dengan penekanan terhadap kecekapan motor, struktur lebih kukuh serta pengalaman pemanduan yang lebih stabil dan responsif.

Menurut PRO-NET, GMA dibangunkan bagi menyokong strategi jangka panjang dalam membina ekosistem mobiliti elektrik yang lebih moden, fleksibel dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.

Dari sudut pasaran, wilayah utara dilihat terus berkembang sebagai antara kawasan penting penerimaan EV di Malaysia, disokong oleh kemudahan infrastruktur pengecasan yang semakin meluas serta peningkatan keyakinan pengguna.

Proton e.MAS 5 juga mencatat penguasaan pasaran sebanyak 64.2 peratus setakat Mac 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju EV tempatan.

Selain itu, lebih banyak kediaman jenis bertanah di kawasan berkenaan turut memudahkan pengguna memasang pengecas di rumah, di samping pertambahan stesen pengecas awam yang memperluas akses mobiliti elektrik.

Dalam masa yang sama, pengunjung Penang Autoshow 2026 turut berpeluang memandu uji rangkaian model Proton e.MAS 5, Proton e.MAS 7 dan Proton e.MAS 7 PHEV menerusi sesi khas yang berlangsung dari 1 hingga 3 Mei 2026.

Sementara itu, kempen “Golden Test Drive” yang berlangsung dari 13 April hingga 17 Mei menawarkan peluang memenangi ganjaran emas, dengan konsep “30 Gold Bars in 30 Days”. Sebanyak 30 kepingan emas 3 gram disediakan sepanjang kempen tersebut.

Penyertaan hanya memerlukan empat langkah iaitu hadir ke bilik pameran terlibat, melakukan pandu uji, membuat tempahan model pilihan, dan menghantar borang penyertaan melalui pengedar terlibat.

Google ads
Back to top button