Buletin

TEMPAHAN NISSAN KICKS e-POWER IMPUL EDITION KINI DIBUKA: TAMPIL LEBIH GARANG, SPORTY

Bagi mereka yang merasakan rekaan asal Nissan Kicks e-Power masih belum cukup garang, edisi khas Impul Edition yang kini ditampilkan di Malaysia Autoshow pastinya mampu menarik perhatian.

Model ini sudah pun dibuka untuk tempahan, dengan penghantaran pertama dijangka bermula Julai nanti.

Versi ini tampil dengan kit badan lengkap Impul, merangkumi front lip, hiasan sisi aerodinamik, serta bampar belakang yang tampil dengan rekaan seakan diffuser.

Di belakang, terdapat juga spoiler gaya M pada penutup but dan lencana bonnet khas Impul. Model ini juga dipadankan dengan rim 18-inci Impul Aura SX-50 berwarna gangsa, naik satu inci dari saiz asal, dan dibalut tayar Goodyear Eagle F1 Sport.

Pakej penuh Impul ditawarkan pada harga RM8,500 dan boleh dipasang pada semua varian Kicks e-Power.

Namun, pembeli boleh memilih untuk mendapatkan kit badan, spoiler dan lencana bonnet sahaja pada harga RM5,000.

Sementara itu, rim bersama tayar boleh dibeli secara berasingan pada RM3,500 dan spoiler sahaja pula berharga RM3,000.

Menariknya, Nissan turut menawarkan promosi tempahan awal, di mana pelanggan akan menerima kit badan, spoiler dan lencana bonnet secara percuma. Selain itu, pakej tambahan dinamakan Active Package juga diberikan tanpa bayaran tambahan.

Pakej ini merangkumi:

  • Dashcam
  • Pelindung pintu
  • Boot tray
  • Kick plates
  • Pedal sport
  • Trim pembesar suara
  • Cermin gelap (Ice Cool untuk VL, V-Kool untuk VLT)
  • Cermin pandang belakang jenis auto-dimming (varian VL)
  • Kamera undur (varian VL)

Sebaik promosi tamat (tarikh akan diumumkan kemudian), Active Package sahaja akan dijual pada harga RM8,500.

Pilihan tambahan turut disediakan, seperti tempat duduk kulit tiruan dengan jahitan biru untuk varian VL (RM1,800), tempat duduk kulit Nappa eksklusif untuk VLT (RM2,800), dan karpet khas pada harga RM150.

Semua komponen Impul ini dilindungi jaminan selama tiga tahun atau 100,000 km, mana-mana yang tiba dahulu.

GALERI:

Google ads
Back to top button