Buletin

CHERY MALAYSIA SOKONG PEMULIHARAAN KURA-KURA TERANCAM

Chery Malaysia melangkah setapak lagi dalam usaha kelestarian alam sekitar apabila tampil menyokong pemuliharaan kura-kura sungai yang semakin pupus di Malaysia.

Melalui sumbangan kepada Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS), syarikat automotif itu membantu melindungi spesis kura-kura sungai selatan (Batagur affinis) yang kini dikategorikan sebagai sangat terancam.

Spesis ini hanya terdapat di Malaysia dan Kemboja, dan sungai di Kemaman, Terengganu merupakan salah satu daripada habitat terakhirnya.

Namun begitu, pencemaran, kemusnahan habitat serta aktiviti pengambilan telur secara haram menjadikan populasinya semakin kritikal.

TCS, yang ditubuhkan pada 2011, merupakan NGO pertama di negara ini yang menumpukan sepenuhnya kepada pemuliharaan kura-kura air segar.

Program komuniti mereka selama lebih 15 tahun di Kemaman merangkumi penyelidikan saintifik, pembiakan terkawal, perlindungan habitat dan penglibatan masyarakat setempat, sekali gus berjaya meningkatkan kadar kelangsungan hidup spesies ini.

Ketika lawatan ke pusat TCS di Kampung Pasir Gajah baru-baru ini, Chery Malaysia melalui sumbangan tersebut telah mengadaptasi secara simbolik 31 ekor kura-kura serta menyalurkan 16 beg makanan berjumlah 20kg setiap satu bagi menampung keperluan pusat tersebut.

Naib Presiden Chery Malaysia, Michael Chew, berkata “Pemuliharaan khazanah semula jadi Malaysia sama pentingnya dengan kemajuan di jalan raya. Kura-kura sungai ini adalah simbol hidup kepada kesihatan sungai kita. Dengan menyokong TCS, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan menghargai serta melindungi biodiversiti unik negara.”

Sehingga kini, TCS telah berjaya menyelamatkan lebih 11,000 biji telur kura-kura dan melepaskan hampir 6,000 anak kura-kura ke Sungai Kemaman.

Selain Terengganu, spesies ini juga pernah direkodkan di sungai-sungai di Kedah, Perak dan Pahang.

Sokongan Chery Malaysia mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap kelestarian, perlindungan alam sekitar serta pembangunan komuniti, agar generasi akan datang mewarisi alam semula jadi yang lebih sihat dan terpelihara.

Google ads
Back to top button