Buletin

GEELY GALAXY STARSHINE 6 PHEV RASMI DIDEDAHKAN – SEDAN MAMPU MILIK DENGAN JARAK ELEKTRIK SEHINGGA 100KM

Geely Galaxy pada 27 Ogos lalu berkongsi imej rasmi model terbaharunya, Starshine 6, sebuah sedan plug-in hybrid (PHEV) yang bakal diposisikan di bawah model Galaxy A7.

Ia dijangka menjadi pilihan lebih mampu milik dengan harga lebih rendah daripada A7 yang kini dijual antara 81,800 hingga 117,800 yuan (sekitar RM54,000 – RM77,000).

Dari segi rekaan, Starshine 6 meneruskan identiti bahasa reka bentuk “Galaxy Ripple”. Gril hadapan besar berbentuk poligonal dengan kemasan krom menegak menyerlahkan penampilan sedan ini, digandingkan bersama lampu utama tirus serta liang udara bawah untuk tampilan lebih sporty.

Bahagian belakang pula menampilkan lampu jenis ‘through-type’ berlapis, spoiler bumbung, serta bampar dalam pilihan perak atau hitam. Pelanggan turut boleh memilih rim bersaiz 16 atau 17-inci, bumbung suria (sunroof) serta pemegang pintu konvensional.

Dari sudut dimensi, sedan ini berukuran 4,806mm panjang, 1,886mm lebar dan 1,490mm tinggi dengan jarak roda 2,756mm.

Berat keseluruhan dianggarkan antara 1,505 kg hingga 1,580 kg, bergantung kepada konfigurasi.

Starshine 6 akan dipadankan dengan sistem hibrid generasi baharu Geely, Thor EM-i, sama seperti yang digunakan pada Galaxy A7.

Berdasarkan data pendaftaran MIIT di China, model ini akan dikuasakan enjin 1.5L dengan output maksimum 110hp, digandingkan bersama pek bateri litium ferum fosfat (LFP) bersaiz 8.5kWh atau 17kWh daripada CALB-Tech.

Dua pilihan pek bateri ini masing-masing menawarkan jarak pemanduan elektrik sekitar 50km dan 100km (mengikut kitaran WLTC). Kelajuan maksimum dihadkan pada 180km/j.

Walaupun spesifikasi motor elektrik serta jarak pemanduan keseluruhan belum diumumkan secara rasmi, perbandingan boleh dibuat dengan Galaxy A7.

Model itu dilengkapi enjin 1.5L 82kW bersama motor magnet segerak berkuasa 175 kW, ditawarkan dengan bateri 8.5kWh atau 18.4kWh, yang mampu memberi jarak elektrik 70km hingga 150km (CLTC) serta jarak gabungan mencecah 2,100km.

Google ads
Back to top button