Buletin

PREVIEW smart #5 – 3 VARIAN, 590KM SEKALI CAJ, HARGA LEBIH RM200K?

Selepas membuat penampilan pertama pada acara Malaysia Motor Show 2025 pada Mei lalu, Pro-Net sekali lagi menjemput pihak untuk melihat lebih dekat EV terbaharunya, smart #5 di EON Glenmarie. 

Kemunculan smart #5 bakal memeriahkan lagi tawaran EV mewah di pasaran Malaysia. Bakal dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi, jentera tersebut akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Pro, Premium dan Brabus. Namun, hanya varian Premium dan Brabus dipamerkan di sini, manakala varian dijangka diperkenalkan tahun depan. 

Salah satu tarikan utama smart #5 ialah reka bentuknya yang berkotak-kotak yang memberikan aura maskulin seperti SUV atau crossover sebenar, pada masa sama mengekalkan sentuhan futuristik.

Lampu utama Cyberlight Matrix LED dengan 328 LED adaptif memastikan penglihatan optimum dalam apa jua kondisi pelbagai pemanduan. Di bahagian belakang, lampu LED Ultra Red 3D nyata memberikannya karakter yang unik.

Ciri seperti pintu tanpa bingkai, pemegang pintu tersembunyi dan logo roda terapung menonjolkan imej moden dan premium. Sebagai tambahan, bumbung kaca panorama seluas 1.7m² dengan bidai kuasa melengkapkan pengalaman kabin kelas pertama.

Kabin Seperti ‘First-Class Lounge’ Bergerak

Masuk ke dalam, smart #5 Premium dan BRABUS menawarkan suasana mewah dengan kemasan kulit Nappa, trim kayu asli Itali dan 90% bahagian dalaman menggunakan bahan sentuhan lembut. Sistem infotainmen terdiri daripada dua skrin OLED 13 inci bersama paparan AR Head-Up Display 25.6 inci yang menawarkan pengalaman digital futuristik.

Tambahan menarik ialah sistem audio 20 pembesar suara Sennheiser dengan Dolby Atmos dan pembesar suara auto-lift yang memberikan pengalaman audio sinematik. Untuk keselesaan, kerusi baris kedua hadir dengan fungsi “Boss Button” dan pelarasan sudut 10°, menjadikan perjalanan jauh lebih selesa. Ruang but pula berkapasiti sehingga 1,530 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

smart #5 Premium

Varian Premium dilengkapi bateri nickel cobalt manganese (NCM) berkapasiti 100 kWh yang menawarkan jarak sehingga 590 km (WLTP). Motor elektriknya menghasilkan kuasa sehingga 267 kW dan tork 373Nmm yang membolehkan pecutan 0–100 km/j dalam 6.5 saat. Dengan pengecasan pantas 800V, bateri boleh dicas dari 10% ke 80% hanya dalam masa 15 minit.

Antara ciri eksklusif untuk Premium termasuklah:

  • AR Head-Up Display
  • Stereng dan tempat duduk dibalut kulit Nappa
  • Lampu ambien 256 warna
  • 20 pembesar suara Sennheiser
  • Pengecas tanpa wayar berkembar
  • Rim aloi 20 inci

Ringkasnya, Premium adalah pilihan tepat untuk mereka yang mahukan SUV elektrik jarak jauh dengan sentuhan kemewahan digital.

smart #5 BRABUS

Untuk mereka yang gemarkan kuasa, varian BRABUS tampil dengan dua motor AWD menghasilkan 475 kW dan tork setinggi 710Nm. Ini menjadikannya salah satu SUV elektrik paling power dalam kelasnya. Pecutan 0–100 km/j hanya memerlukan 3.8 saat dengan kelajuan maksimum 210km/j.

Ia turut menawarkan mod pemanduan tambahan termasuk Snow, Sand, Mud, Rock, Adaptive dan mod khas BRABUS.

Varian ini menggunakan bateri yang sama seperti Premium, tetapi jarak pemanduannya seikit kurang iaitu sekitaer 540km dengan sekali caj penuh.

BRABUS juga dibezakan dengan:

  • Suspensi sport
  • Stereng balutan Alcantara
  • Kerusi Dinamica
  • Rim Monoblock Z bersaiz 21 inci
  • Simulasi bunyi enjin untuk pengalaman pemanduan lebih emosional
  • Badge BRABUS eksklusif

Senang cakap, SUV itu bukan sekadar untuk kegunaan harian, tetapi satu pernyataan gaya hidup dan prestasi.

Semua varian smart #5 dilengkapi teknologi keselamatan terkini:

  • 7 beg udara
  • Struktur badan keluli regangan tinggi
  • ADAS L2+ dengan 26 sensor dan kamera (5 radar, 6 kamera, 12 sensor ultrasonik)
  • Sistem Smart Pilot Assist untuk bantuan pemanduan di lebuh raya
  • Sistem brek kecemasan automatik, Lane Keeping Assist, Blind Spot Detection

Tambahan pula, dengan platform 800V SEA3/PMS2+ yang turut digunakan pada Zeekr 7X dan Geely Galaxy E8, ia menawarkan pengecasan ultra pantas, satu ciri yang jarang ada dalam SUV elektrik sekelasnya.

Masih belum ada harga rasmi pesaing untuk Tesla Model Y dan BYD Sealion 7 ini. Tetapi, saya anggarkan smart #5 mungkin akan dijual pada harga bermula RM230,000 hingga RM250,000.

GALERI

Google ads
Back to top button