
CITROEN TYPE HOLIDAYS VAN KONSEP. AJOOM PERGI BERKHEMAH
Pengeluar kenderaan dari Perancis, Citroen telah menayangkan sebuah van konsep yang diberi nama Type Holidays. Sebuah kenderaan campervan moden tetapi berinspirasikan daripada model Citroen Type H. Citroen Type Holidays ini telah dipamerkan sewaktu Düsseldorf Caravan Show 2023, sebuah acara kenderaan riadah terkemuka di dunia.
Rupa yang kelihatan cukup retro dengan mengambil inspirasi daripada Citroen Type H cukup ikonik ini sebetulnya menggunakan model SpaceTourer yang lebih moden sebagai asas pembinaan satu satunya campervan yang ada.

Jelas sekali bahagian hadapan menggunakan lampu jenis bulat di kiri dan kanan di samping gril olskool ikonik milik Type H itu. Dan paling ketara sudah tentulah rekaan neo-retro pada bahagian badan van menyerlahkan lagi imej retro yang ditampilkan.
Walaupun gaya dan rupa luaran berinspirasikan retro, van konsep Citroen Type Holidays ini benar-benar moden kerana ia menampilkan dua pintu gelangsor kiri dan kanan serta bumbung yang boleh ditolak ke atas bagi membolehkan penumpang dengan mudah untuk berdiri di dalam van tanpa perlu membongkokkan badan.
Bahagian atas bumbung yang boleh dibuka itu juga berupaya menempatkan sebuah ruangan tempat tidur untuk dua orang dengan selesa. Manakala bahagian barisan kerusi kedua di belakang juga boleh diubah untuk menjadi tempat tidur dua orang lagi.

Malah, bangku di belakang juga boleh dibuka untuk mendapatkan ruang yang lebih luas. Senang cerita, Citroen Type Holidays boleh membuah sebuah keluarga kecil dengan kapasiti dua orang dewasa dan dua anak kecil tanpa masalah untuk pergi berkhemah ke mana sahaja tanpa masalah.
Selain daripada itu, kerusi di barisan hadapan juga boleh diputar untuk mengadap ke barisan belakang sekali gus menjadikan ruangan meja makan yang boleh dilipat lengkap dengan kerusi untuk empat penumpang dengan selesa. Dan kelengkapan lain untuk menjadi sebuah campervan turut tersedia seperti almari kayu, sistem pemanasan daripada Webasto dan tidak lupa juga ruangan dapur kecil merangkumi peti sejuk mini, sinki serta tempat memasak.

Memandangkan ianya adalah sebuah van konsep, maka Citroen tidak berhasrat untuk menjadikannya sebagai sebuah model produksi massa. Menurut Citroen, mereka hanya mahu meningkatkan kehadiran mereka dalam segmen pengubahsuaian van kepada sebuah campervan. Sebagai salah satu usaha ke arah itu, Citroen bercadang untuk menawarkan trim Holidays ini sebagai pilihan kepada pengguna kelak.
BACA : TOYOTA LERINA – CAMPER VAN CUSTOM OLEH WELLHOUSE LEISURE