Pandu Uji

TOYOTA HILUX GR SPORT, TRAK PIKAP TERPALING SUKAN

Sesetengah jenama menjadi sangat popular dalam komuniti pengguna sehinggakan jenama tadi digunakan untuk menggantikan sesuatu produk dalam pasaran. Sebagai contoh lampin pakai buang disebut sebagai pampers, mi segera dipanggil Maggi dan ubat gigi pula disebut sebagai Colgate.

Dalam dunia automotif, kenderaan pacuan 4 roda pula dikenali dengan nama Hailak satu jenama yang sinonim dengan Toyota. Kebanyakan kenderaan pacuan 4 roda daripada pelbagai jenama akan disebut sebagai Hailak sedangkan nama sebenar kenderaan tersebut sebenarnya jauh berbeza

Hari ini, Toyota Hilux masih lagi dijual di negara kita dalam beberapa varian seperti 2.4E, 2.4V, 2.8 Rogue dan paling mahal ialah daripada varian 2.8 GR Sport. Sebut saja nama GR atau Gazoo Racing maka kita boleh bayangkan sebuah Hilux dengan gayaan yang lebih sporti ranggi

Daripada bahagian luar, rekaan Hilux DR Sport seakan meniru rekaan muka depan Toyota Tacoma terutama di bahagian jeriji atas dan bawah. Varian ini juga menerima cermin sisi berwarna hitam, antena radio rekaan sirip jerung serta ditawarkan dalam 3 warna sahaja samaada merah, hitam ataupun putih.

Rim juga ditukar kepada rekaan 12 bilah yang berwarna hitam berkilat khas untuk varian GR Sport dengan saiz 265/60 R18, serta diberikan angkup brek berwarna merah dan juga lampu lopak air yang dipasang pada side step.

Melengkapi rekaan luaran ialah penggunaan sistem penyerap hentak khusus untuk varian ini ialah sistem penyerap hentak GR Sport Monotube. Secara keseluruhan bahagian luar GR Sport ini memang lebih bergaya dan lain daripada Hilux yang lain.

Kusyen pula digantikan dengan kusyen semi bucket separa kulit dan fabrik dan pada pendapat penulis yang telah menggunakan Hilux selama 2 generasi, ia adalah kusyen paling selesa yang pernah dipasang pada Hilux.

Melengkapi aksesori dalaman termasuklah lampu kabin berwarna merah, pedal aluminium, paddles shifter, logo GR pada roda steering, karpet, dan butang penghidup enjin. Kusyen dan roda steering juga dijahit dengan menggunakan benang berwarna merah

Varian GR Sport sebenarnya diasaskan daripada varian 2.8 Rogue, jadi varian GR Sport turut menerima skrin 9 inci lengkap dengan ciri Android Auto dan Apple Car Play tanpa wayar, 3 mode pemanduan samaada Normal, Eco atau Power dan juga sistem pilihan pacuan samaada H2, H4 atau L4 dengan butang rotari.

Dari segi persembahan enjin, ia adalah enjin turbodiesel 4 silinder 2800cc yang sama menghasilkan 202 kuasa kuda dan 500Nm tork seawal 1600 RPM. Hanya varian automatik 6 kelajuan sahaja yang ditawarkan pada GR Sport ini, sama seperti varian 2.8 Rogue

Walaupun kuasanya agak tinggi dan tork sehingga 500Nm, tapi anda tak boleh ia boleh menghasilkan respon yang sama seperti Toyota Supra disebabkan tork enjin ini masuk lebih awal dan juga berat Hilux GR Sport ini mencecah sehingga 2120kg. Ingat, ini kenderaan yang direka untuk membawa beban sehingga 1000kg dan bukannya untuk berlumba

Secara purata, jika anda memandu secara berhemah maka anda akan mendapat bacaan purata sekitar 11km per liter diesel. Jika anda memecut deras, maka angka ini akan menjadi lebih rendah lagi. Walaupun bunyi enjin tidak didengari di dalam kabin, namun jika anda berada di luar bunyi derapan pembakaran diesel adalah kuat serta meghasilkan bau asap.

Masalah ini akan berkurang jika anda menggunakan diesel Euro5 yang lebih mesra alam dan lebih berkuasa. Penawaran sistem kamera 360 darjah sangat membantu penulis untuk memarkir dan melalui jalan yang sempit agar tidak bergesel dengan Hilux.

Berbeza dengan kenderaan 4×4 yang lain, Hilux menawarkan beberapa ciri khas seperti Active Traction Control, Rear Differential Lock, Downhill Assist Control, Automatic Limited Slip Differential dan juga paddleshifter bagi memudahkan penukaran gear dibuat ketika anda melalui jalan offroad. Pendek kata, anda boleh meredah laluan hutan balak dengan mudah dengan Hilux GR Sport ini.

Malah Toyota GR Sport juga akan menunjukkan sudut arah tayar berdasarkan input stering pada paparan meter digital. Dari segi prestasi brek, angkup brek depan menggunakan rekaan 4 piston sama seperti varian yang lain. Tapi jika dibandingkan dengan Hilux generasi sebelumnya, ia terasa seperti kurang menggigit.

Dari segi pengendalian dan keselesaan, tidak dinafikan yang varian GR Sport ini ternyata lebih selesa jika malalui jalan yang tidak rata serta teras lebih selesa berbanding dengan varian biasa mungkin disebabkan penggunaan penyerap hentakan GR Monotube

Namun jika anda duduk di kusyen barisan kedua, maka anda akan rasa Hilux ini keras dan melantun-lantun seperti biasa. Suspensi belakang masih menggunakan penyerap hentakan jenis dedaun, satu rekaan khas bagi membawa muatan berat dengan mudah tapi pada masa yang sama akan membuatkan penumpang belakang tidak selesa melainkan ada muatan yang berat diletakkan di bahagian belakang

Disebabkan Toyota Hilux ini direka dengan pusat graviti yang tinggi, enjin diesel yangb berat di bahagian depan, ringan di gandar belakang serta menggunakan pacuan roda belakang maka pengendalian Hilux GR ini tidak membenarkan ia dipandu dengan agresif di selekoh

Tapi jika anda suka memandu dengan santai, pandu dengan berhemah dengan menggunakan ciri Dynamic Radar Cruise Control dan nikmati keselesaan kusyen semi bucket yang digunakan. Tambahan pula kadar NVH di dalam kabin memang cemerlang dengan catatan bunyi bising sekitar 69dB pada halaju 110km/jam

Pada pemerhatian penulis pula, talaan sistem gear automatik 6 kelajuan pula direka dengan responsif. Ia akan menukar dari gear tinggi kepada gear rendah dengan lancar tanpa menyebabkan cesi Hilux menjadi tersengguk sengguk

Dalam aspek keselamatan, varian GR Sport ini ditawarkan dengan 7 beg udara, Electronic Stability Control, Pre Collision System, Lane Departure Alert, Dynamic Radar Cruise Control, Blind Spot Monitor danjuga Rear Cross Traffic Alert. Cuma sayangnya tiada ciri Auto High Beam diberikan

Boleh dikatakan penawaran Toyota Hilux GR Sport ini memang menarik, melainkan harga yang ditawarkan iaitu RM 169,080 ini agak tinggi berbanding dengan model yang lain. Sebagai contoh, jika anda hanya perlukan Toyota Hilux yang agak asas ia hanya berharga RM 118,000 sahaja.

Penambahan RM 51,000 membolehkan anda membeli sebuah Perodua MyVi mungkin agak sukar ubntuk ditelan oleh orang kebanyakan. Namun pada masa sama Toyota menawarkan jaminan selama 5 tahun tanpa jarak perjalaan menjadikan Hilux GR ini sangat sesuai untuk pelbagai kegunaan

Anda masih boleh membawanya ke mesyuarat di tapak pembinaan, diparkir di lobi hotel dan mengekalkan imej sukan pada sebuah trak pikap. Malah Toyota Hilux GR juga membolehkan anda melakukan aktiviti lasak dan melalui jalan offroad dengan yakin dan mudah.

Google ads
Back to top button