
PORSCHE 911 GT3 RS TAMPIL LEBIH PADU, 518HP, HARGA BERMULA RM2.63 JUTA
Bersempena dengan Piala Porsche Carrera Asia 2023, Porsche Malaysia mengambil peluang tersebut untuk memperkenalkan 911 GT3 RS.
911 GT3 RS tampil dengan pelbagai penambahbaikan termasuk kit aerodinamik, komponen suspensi baharu, casis yang dipertingkatkan dan enjin lebih berkuasa.
Dari luaran, 911 GT3 RS tampil dengan kit badan yang agresif terutamanya padanan splitter depan, skirt sisi, sirip fender dan spoiler belakang.

Spoiler berkenaan dilengkapi Drag Reduction System (DRS) yang boleh diaktifkan menerusi butang pada stereng.
Bukan itu sahaja, ia turut didatangkan dengan fungsi airbrake yang diaktifkan semasa brek pada kelajuan tinggi.
Tambahnya lagi, elemen sayap di hadapan dan belakang ditetapkan kepada maksimum, menciptakan kesan nyahpecutan aerodinamik yang menyokong brek dengan ketara.

Selain itu, fokus utama kereta lumba GT ini ialah sayap belakang yang terserlah dengan sokongan swan-neck-support dan juga lebih besar dari segi dimensi.
Sayap belakang terdiri daripada sayap utama tetap dan elemen sayap atas hidraulik boleh laras. Ini adalah kenderaan pengeluaran Porsche pertama di mana bahagian atas sayap belakang melepasi ketinggian bumbung.
Sementara, bahagian hadapan 911 GT3 RS menampilkan pembahagi hadapan yang membelah aliran udara ke atas dan ke bawah, bersama bilah sisi (sideblades) bersudut melencong tepat ke luar bagi meningkatkan kestabilan sisi kereta.

Tumpuan pada prestasi aerodinamik 911 GT3 baharu sangat terperinci sehinggakan komponen suspensi dioptimumkan, merangkumi komponen double-wishbone gandar hadapan yang menyumbang kepada lonjakan lebih kurang 40kg dalam daya mendap.
Oleh kerana trek hadapan dilebarkan 29 milimeter lebih besar daripada 911 GT3, double-wishbone pautan gandar hadapan pada 911 GT3 RS baharu juga lebih panjang.
Untuk rekod, 911 GT3 RS menawarkan tiga mod pemanduan: Normal, Sport dan Track.
Di bahagian dalaman pula, model baharu ini mempunyai estetika tipikal RS, diserlahkan dengan permukaan kulit hitam, kemasan Racetex dan kemasan tenunan karbon untuk mewujudkan suasana sporty.
Porsche turut menawarkan pakej Weissach, di mana ia bakal menerima kemasan gentian karbon, lebih banyak komponen CFRP serta teknologi magnet pada paddle shifter.
Pelanggan yang memilih pakej ini boleh memilih untuk mendapatkan rim magnesium, di mana ia 8kg lebih ringan berbanding rim standard.
Beralih kepada kuasa, 911 GT3 RS dijana oleh enjin naturally-aspirated 4.0-liter 6-silinder, berupaya menghamburkan kuasa 518hp.
Nadi berkenaan dipadankan bersama transmisi PDK 7-kelajuan dengan daya pecutan dari 0 hingga 100km/j dalam 3.2 saat manakala kelajuan maksimum dihadkan pada 296km/j.
Bagi harga pula, Porsche 911 GT3 RS baharu boleh didapati pada harga bermula RM2,630,000.
GALERI:











- BACA: CURI PORSCHE KLASIK DARI MUZIUM DAN DAFTAR GUNA DOKUMEN PALSU – SCAM LEVEL TINGGI
- BACA: SACRILEGE MOTORS UBAH SUAI PORSCHE 911 GUNA MOTOR TESLA MODEL S!
- BACA: PORSCHE 911 S/T DIPERKENALKAN, LEBIH RINGAN, ELEGAN – 518HP, TERHAD 1,963 UNIT SAHAJA
- BACA: CEO PORSCHE BERKHEMAH BERSAMA STAF DI LE MANS – ATAS BUMBUNG 911 PULA TU