Buletin

POLIS BURU BOY SETAN. GUNA DRON HANTAR DADAH

Polis memburu seorang lelaki warga Singapura dikenali sebagai ‘Boy Setan’ selepas dipercayai membuat penghantaran dadah menggunakan dron dari Johor Bahru ke Singapura baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata lelaki berusia 40 tahun itu masih di Johor Bahru dan sudah berada di negara ini sejak tiga bulan lalu. Katanya, ketika ini pergerakan suspek terhad sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Suspek datang (ke Johor Bahru) sekali sekala untuk operasi penghantaran dadah ke sana (Singapura).

“Suspek ini memang dikehendaki Polis Singapura,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru.

Suspek dipercayai membuat penghantaran dadah ke Kranji di Singapura dari Dataran Bandaraya Johor Bahru pada sebelah petang.

“Saya percaya (kegiatan penghantaran dadah) bukan (didalangi) sindiket, tetapi penyeludupan secara kecil-kecilan dengan menggunakan dron bawah kapasiti 20 kilogram.

“Ini kerana jika berat dron lebih 20 kilogram perlu mendapat kebenaran penerbangan dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA),” katanya.

Sabtu lalu, dua lelaki warga Singapura ditahan selepas didapati menggunakan dron untuk menyeludup dadah ke Singapura dari Malaysia, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB).

Data penerbangan yang diambil dari telefon seorang daripada suspek menunjukkan pesawat tanpa pemandu itu terbang dari Kranji, Singapura ke Johor Bahru dan kembali lagi ke Kranji. – Berita Harian.

Tags
Google ads
Back to top button