Buletin

BMW M8 COUPE, M8 GRAN COUPE MASUK PASARAN MALAYSIA.ENJIN V8 4.4 LITER. HARGA BERMULA RM1.45 JUTA!!!

BMW Malaysia memperkenalkan model baharu keluarga M berprestasi tinggi iaitu BMW M8 Coupé dan BMW M8 Gran Coupé.

Dengan tahap prestasi tinggi, jentera terbaharu ini bakal merevolusikan segmen sport mewah negara.

BMW M8 Coupé dan BMW M8 Gran Coupé menawarkan tujuh pilihan warna menarik iaitu putih (Alpine White), kelabu (Brands Hatch Grey dan Donington Grey), biru (Marina Bay Blue dan Barcelona Blue), merah (Motegi Red) serta hitam (Black Sapphire).

Jentera terbaharu ini dijual pada harga RM 1,452,960.88 BMW M8 Coupé manakala BMW M8 Gran Coupé pula RM 1,455,145.25.

Dalam pada itu, sebuah unit BMW M8 Coupé eksklusif dilengkapi rekaan dalaman BMW Individual Frozen Bluestone boleh didapatkan dengan nilai tambahan berjumlah RM 30,000.

Tawaran unik ini hanya terhad bagi satu unit sahaja di Malaysia.

Kedua-dua model menampilkan reka bentuk BMW 8 Series baharu. Didatangkan dengan rekaan luaran moden menterjemahkan lagi sifat sporty dan lasak serta karakter mewah jentera ini.

Di bahagian hadapan dilengkapi apron ‘M-specific’, berserta dengan gril ‘kidney’ BMW menampilkan jejaring M-specific termasuk bilah-bilah (slats) berkembar serta rekaan M8.

Di bahagian belakang pula , kedua-dua model tampil dengan spoiler belakang M, serta peresap belakang M8 M-specific dan sistem ekzos M-specific dengan paip ekzos berkembar.

Ciri-ciri utama lain termasuk fungsi penutup pintu ‘soft-close’ dan bumbung karbon yang diperbuat daripada plastik bertetulang gentian karbon (CFRP) dalam warna khas yang mengurangkan jumlah berat serta merendahkan pusat gravitinya.

Set roda aloi ringan M 20 inci dalam penggayaan ‘Double-spoke’ 810 M dua tona warna serta operasi pintu but automatik juga disediakan.

Bahagian dalaman, tempat duduk M Sport bagi M8 ini dibalut dengan kulit Merino sementara bahagian panel instrumen dan atas panel pintu dibalut dengan kulit Walknappa berwarna hitam berserta jahitan kontras.

Panel instrumen M8 menggunakan skrin digital penuh 12.3 inci BMW Live Cockpit Professional.

Di tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 10.25 inci dengan sistem BMW Navigation Professional.

Model terbaharu ini turut didatangkan BMW Connected Package Professional, BMW Drive Recorder, BMW Gesture Control dan sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara.

Kedua-dua model mendapat khidmat enjin S63 V8 4.4 liter yang mampu menghasilkan 600 hp dan tork 750 Nm dipadankan dengan transmisi ZF automatik lapan kelajuan.

Pecutan 0 hingga 100 km/j mampu dicatat dalam masa 3.3 saat manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.

Pemandu juga boleh menekan butang yang disediakan untuk memilih antara tiga tetapan berbeza bagi enjin V8 ini, iaitu EFFICIENT, SPORT dan SPORT PLUS.

Dinamik pemanduan dibekalkan kepada BMW M8 Coupé dan BMW M8 Gran Coupé terbaharu melalui sistem pacuan semua roda M xDrive yang menyumbang kepada kestabilan dan cengkaman baik.

Model-model ini turut dilengkapi sistem brek terintegrasi M-specific.

Aspek keselamatan tidak dilupakan antaranya ialah sistem bantuan pemandu BMW Personal CoPilot seperti Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Plus.

Pilihan lain termasuk fungsi seperti Bantuan Pengekalan Laluan (Lane Keeping Assistant) dengan perlindungan perlanggaran sisi, Bantuan Penukaran Laluan (Lane Change Assistant), Amaran Perentasan Trafik (Crossing-traffic Warning), Bantuan Mengundur (Reversing Assistant) dan banyak lagi.

Model terbaharu ini boleh didapati di kesemua pengedar BMW bermula 14 Ogos 2020.

Para pelanggan juga boleh menempah secara dalam talian di https://www.shop.bmw.com.my/ dengan wang tempahan sebanyak RM5,000 dan berpeluang untuk membawa pulang sebuah BMW i8 Coupe.

GALERI

Google ads
Back to top button