Artikel Pilihan

APA BEZA SPORT UTILITY VEHICLE SUV DAN CROSSOVER?

Sport Utility Vehicle atau bila diterjemahkan dalam bahasa Melayu Kenderaan Utiliti Sukan atau singkatannya ialah SUV bile disebut kita akan bayangkan sebuah kereta yang ada rekaan seperti Pajero lama, ada pacuan 4 roda, dan boleh merentas laluan berbukit dengan senang.

Lepas tu timbul pula istilah Crossover sampaikan penulis tidak pasti bagaimana untuk menterjemah perkataan ini dalam bahasa Melayu kecuali Lintas Atas. Jadi pihak berwajib tolong la cadangkan perkataan yang sesuai. Tapi hari ini kita bukan nak bincang pasal perkataan, tapi perbezaan antara SUV dan Crossover.

Apabila nampak saja kereta yang tinggi ala-ala Pajero, terus saja kita label sebagai SUV. Kami tak mengatakan tindakan tersebut salah, tapi dari segi teknikal ia kurang tepat. Menjadikan keadaan bertambah buruk apabila pengeluar mencampur-aduk kedua dua istilah pada semua kereta. Mari kita belajar apa itu SUV dan apa itu Crossover

Ladder frame Nissan Navara

1. Cesi SUV- yang membezakan antara SUV dan juga Crossover ialah bagaimana struktur atau cesi sesuatu kereta tersebut dibina. Ia ibarat tulang belakang kepada kenderaan. SUV banyak menggunakan struktur ladder frame sebagai cesi utama dan kabin penumpang akan dibina di atas struktur ladder frame ini.

Antara kelebihan ladder frame ini ialah strukturnya sangat kuat dan tegar, sangat sesuai untuk digunakan di permukaan jalan tidak rata. Jadi anda akan jumpa banyak kenderaan jenis ini dibuat untuk pasaran negara yang baru membangun seperti Indonesia dimana fasiliti jalanraya masih di tahap kurang memuaskan.

Apabila cesi ini kuat, ia kurang mengalami masalah cesi flex atau meliuk ketika melalui jalan berlopak dan tidak rata. Cesi ini lebih tahan lama dan tahan lasak. Bagi menghasilkan kabin yang selesa, pelapik getah akan digunakan antara kabin dan cesi. Antara contoh kereta yang menggunakan cesi ini ialah Toyota Fortuner, Isuzu Mux, Nissan Pathfinder, Perodua Aruz, Toyota Rush dan Toyota Innova (sama cesi dengan Hilux dan Fortuner)

Segala kelengakapan seperti enjin, transmisi, sistem brek, sistem stering dan roda akan dipasang pada ladder frame. Namun ladder frame ini ada kelemahan juga, selain daripada berat ia juga agak mahal untuk dihasilkan. Kedudukannya yang tinggi menjadikan pusat graviti kereta menjadi tinggi, rasa gayat kalau amik selekoh laju-laju.

1.2. Cesi Crossover – penulis kurang pasti siapa yang menghasilkan crossover pertama di dunia. Namun penulis nak petik sejarah berkenaan Subaru yang satu ketika dulu sahamnya oleh dipegang Fuji Heavy Industry. Syarikat Fuji ini membekalkan tenaga elektrik, dimana sesetengah stesen janakuasanya berada jauh di pedalaman.

Untuk sampai ke sana, staff Fuji menggunakan kenderaan Toyota 4×4 untuk merentas laluan bersalji, berlumpur dan berbatu untuk ke sana. Toyota adalah kenderaan yang cemerlang, namun ia adalah trak dan tidak selesa. Apa yang jurutera Fuji buat ialah, ambil kereta keluaran Fuji dibawah jenama Subaru, tinggikan jarak kelegaan bumi dan tambah sistem 4×4 pada kereta.

Struktur berwarna biru bertanggungjawam menerima load

Jadi mereka menghasilkan sebuah kereta dengan sistem 4×4. Poin di sini ialah crossover biasanya dihasilkan daripada cesi atau platform kereta yang dikenali dengan nama monocoque. Struktur yang membawa beban direka dan dipasang terus dalam struktur kereta bermula dari lantai sehinggalah kepada bumbung.

bagi menghasilkan jarak kelegaan bumi yang tinggi, ia biasanya dipadankan dengan sistem gantungan seperti spring dan penyerap hentak yang lebih panjang bagi membolehkan Crossover melalui permukaan jalan berbatu dengan senang. katakanlah anda nak masuk kebun durian musang king, insyaAllah lepas.

Kelebihan cesi ini ialah ia menyebabkan anda rasa memandu sebuah Crossover bagaikan memandu sebuah kereta yang sedikit tinggi. Jika memandu di jalan tidak rata dan berlopak, pergerakan spring dan penyerap hentak yang bergerak lebih jauh akan menyebabkan pemanduan terasa lebih selesa

Subaru XV dan Mazda CX3 adalah crossover

Memandu Fortuner akan mengingatkan anda bagaikan memandu sebuah trak yang kecil. Disebabkan ladder frame menyerap sebahagian besar daya ketika melalui lopak, ia terasa agak keras walaupun cuba dilembutkan dengan tayar. Namun ketika melalui jalan berbatu, selamba badak je dia redah.

2. Perbezaan kedua antara SUV dan Crossover ialah pacuan tayar yang digunakan. SUV biasanya akan datang dengan sistem pacuan 4 roda atau singkatannya 4WD atau 4X4. Manakala Crossover kebiasaannya akan datang dengan sistem pacuan semua roda yang dikenali dengan nama All Wheel Drive atau AWD. Tapi bagi menjimatkan kos, banyak Crossover datang dengan pacuan 2 tayar depan saja.

2.1 Pacuan 4 roda atau 4X4 biasanya ditawarkan pada SUV ataupun trak pikap dengan kebolehan untuk pemandu memilih mode pemanduan. Mode ini boleh dipilih pada papan pemuka kenderaan samaada pacuan 2 roda belakang, pacuan 4 roda Low Range atau pacuan 4 roda High Range bagi pemanduan lebih mencabar.

Keadaan ini wujud kerana sistem 4X4 menggunakan satu komponen yang dipanggil Transfer Case yang menerima input daripada enjin. Pemandu akan memilih mode pemanduan dan menghantar maklumat tersebut pada Transfer Case

2.2 Sistem AWD yang dipasang pada Crossover pula dikawal sepenuhnya oleh sistem komputer. Terdapat satu komponen yang dipanggil Center Differential yang digunakan di sini bagi menggantikan Transfer Case. Center Differential memiliki sistem klac yang dikawal oleh komputer.

Dalam pemanduan biasa, hanya 2 tayar sahaja digunakan untuk menggerakkan kereta. Sebaik sahaja sensor mengesan tayar tergelincir, Center Differential akan menghantar kuasa pada tayar yang ada cengakaman ( depan / belakang / kiri /kanan) bagi menggerakkan kereta ke depan. Jalan basah, bersalji, kawasan berlumpur merupakan medan pemanduan AWD.

Namun sebaik sahaja anda berhasrat untuk memasuki laluan hutan, sistem AWD ini tidak mampu memenuhi hasrat pemanduan anda. Kuasa yang dialirkan melalui klac ada hadnya. Sistem transfer case dengan gigi gear lebih sesuai digunakan.

Nak beli yang mana?

Jadi kseimpulan yang kita boleh dibuat di sini ialah SUV biasa datang dengan cesi ladder frama yang lebih tahan lasak serta dipasang dengan sistem pacuan 4 roda yang lebih berkuasa. Contoh SUV ialah Fortuner, Mitsubishi Pajero, Ford Everest, dan Isuzu MUX.

Agak-agak Perodua Aruz dengancesi ladder frame tapi tanpa sistem 4×4 ni boleh masuk kelas SUV atau Crossover? Kalau Crossover ia akan menggunakan cesi monocoque dan sistem pacuan semua roda AWD seperti Subaru XV, Hyundai Santa Fe, Kia Sportage AWD, Mazda CX5 AWD, dan Honda CRV AWD.

Tapi ada juga model Crossover yang datang dengan pacuan depan saja seperti Honda BRV, Honda HRV, Mazda CX30, Hyundai Tucson dan juga Perodua D55L.

Sekiranya anda gemar kereta yang tinggi disebabkan ia menawarkan pandangan yang lebih jauh dan lebih yakin ketika meredah banjir kilat, sesekali masuk kampung mencari buah, dan sukakan kenderaan yang bersifat seperti kereta maka Crossover lebih sesuai untuk anda. Varian pacuan 2 roda biasanya akan lebih menjimatkan petrol

Namun jika anda memang memerlukan sebuah kenderaan lasak meredah laluan berbukit berlumpur, tokey balak, suka berkhemah dalam hutan setiap minggu dan memiliki hobi memanjat bukit dengan kereta, maka SUV lebih sesuai dengan anda. Jangan beli ikut orang, beli ikut keperluan diri ya.

Tags
Google ads
Back to top button