Artikel Pilihan

DAH ADA LEXUS, KENAPA AKIO BUAT JENAMA CENTURY??

Kalau kita tengok dunia automotif hari ni, tak ada mana-mana CEO yang berani dan gila seperti bos Toyota iaitu Akio Toyoda. Semasa Akio mengambil alih Toyota, syarikat berada dalam keadaan kukuh dari segi jualan dan reputasi, tapi ramai pemerhati menganggap Toyota ni membosankan.

Kereta Toyota memang bagus, tapi tak ada jiwa. Akio, cucu kepada pengasas Toyota sendiri melihat persepi itu sebagai penghinaan. Dia bukan jenis CEO yang duduk di meja pejabat tetapi dia adalah seorang pelumba, pemandu ujian di Nürburgring, dan percaya kereta patut buat pemandu tersenyum riang bukan sekadar jimat minyak.

Daripada semangat itulah lahirnya strategi pelik tapi genius iaitu satu strategi empat dunia yang berbeza, dengan jenama Toyota, Lexus, Gazoo Racing, dan Century. Empat jenama di bawah satu payung, tapi masing-masing dengan DNA dan jiwa yang tersendiri.

Toyota – mobiliti adalah keperluan

Toyota adalah jenama rakyat yang memberi fokus kepada ketahanan dan aspek praktikal. Model seperti Corolla, Camry, Hilux menjadi pilihan kerana pembeli tahu ia akan tahan 10-20 tahun tanpa banyak songeh. Core value Toyota ialah tahan lasak, senang jaga, dan nilai jual semula tinggi.

Tapi masalahnya, reputasi kereta paling boleh dipercayai itu datang dengan aspek “kereta bosan untuk orang tua”. Orang muda tak rasa cool apabila tengok Toyota, walaupun kualitinya bagus. Menyedari hakikat ini, Akio tahu Toyota mesti mengkekalkan kekuatan “kereta rakyat”, tapi pada masa sama wajib ada faktor yang buatkan pembeli jatuh cinta balik pada jenama ni.

Gazoo Racing (GR) -Idaman Anak Muda

Inilah projek paling gila Akio Toyoda, dan juga paling berjaya dari segi jiwa. Jenama Gazoo Racing, atau GR, bukan sekadar divisi sukanmalah ia satu revolusi dalaman. Akio sendiri turun ke litar Nürburgring, berlumba bawah nama samaran “Morizo”, dan dari situ dia mengubah cara jurutera Toyota berfikir.

“Kereta bagus bukan diukur dengan data, tapi dengan senyuman pemandu selepas keluar dari kereta.”

Projek ini melahirkan beberapa model yang menjadi idaman termasuk penulis seperti GR Yaris, GR Supra, GR86, dan kini GR Corolla. Semua ni bukan model kosmetik tapi drivers car yang mengubah persepsi dunia bahawa Toyota sudah tak bosan lagi.GR jadi bukti bahawa syarikat besar macam Toyota pun boleh hasilkan kereta yang fun, raw dan emotional.

Lexus – Lahir dari Tekanan Import Amerika

Lexus mulda wujud sejak 1989 selepas Toyota disekat daripada menjual Toyota dalam bilangan terhad di Amerika. Tujuan asal Lexus ialah buat jenama mewah Jepun untuk lawan Mercedes-Benz, BMW dan Audi dan pada masa sama kekalkan keuntungan tinggi.

Mungkin menjual 1 unit sama untung dengan jual 10 unit Toyota. Lexus LS400 pada ketika itu menjadi fenomena kejuruteraan Jepun dengan nilai yang senyap, halus, penuh ketelitian Jepun, tapi dijual pada separuh harga Mercedes S-Class.

Memasuki era moden, Lexus kekal sebagai simbol luxury meets technology. Semua tentang keselesaan, craftsmanship dan customer experience dan ia kekal tahan lasak berbanding dengan jenama Conti. Tapi ada satu benda yang Lexus tak pernah betul-betul capai iaitu emosi dan drama.

Lexus nampak terlalu jujur dan terlalu tenang. Orang membeli Lexus disebabkan pengalaman pemanduan eksklusif tanpa menunjuk, ketahanan jangka masa lama tapi bukan sebab nak rasa wow bila memandu. Di sini Akio tahu terdapat satu lagi jurang yang perlu dilawan oleh Toyota iaitu ultra mewah seperti Rolls Royce.

Century – Seni Kemahiran Bertukang VVIP

Kalau jenama Lexus membawa imej mewah dan moden, Century pula mewah tradisional yang sinonim dengan budaya Jepun. Tetapi Century ini bukan jenama baru, sebaliknya model pertama iaitu Toyota Century dihasilkan pada tahun 1967 khas untuk maharaja Jepun, perdana menteri dan CEO gergasi keiretsu (syarikat kaitan dan kerjasama Toyota).

Ia bukan kereta untuk menunjuk. Ia simbol status yang rendah diri tetapi masih lagi rare dan berprestij. Berbeza dengan jenama Rolls-Royce yang penuh dengan glamour, Century membawa identiti senyap, konservatif dan halus.

Kebanyakan komponen dibuat secara hand made, semua perincian berasaskan budaya Jepun bermula dari fabrik dalaman ke lambang burung phoenix di gril depan. Tapi Akio Toyoda nampak potensi baharu alaf moden pada nama Century.

“Kenapa kemewahan Jepun mesti terperangkap dalam masa lalu?”

Maka lahirlah Century SUV sebagai model yang membawa warisan Jepun ke dunia moden, dengan bentuk SUV dan sistem hibrid terkini. Ia bukan model Lexus LM atau LX versi lain, tetapi ini adalah simbol bahawa Jepun pun boleh mencipta kemewahan dengan unsur tradisional. Namun segmen pasaran Century adalah berbeza dengan Lexus

Century mengetengahkan konsep kemewahan tradisi, kehalusan senibina Jepun, dan cultural prestige yang disasarkan untuk tokoh pemimpin negara, dan keluarga diraja. Ia adalah pengganti Rolls Royce dalam masyarakat Jepun. Lexus ialah luxury for lifestyle, sementara Century ialah luxury for legacy.

Toyota, Gazoo Racing, Lexus & Century Sasaran Berbeza

Akio Toyoda bukan sekadar mengubah Toyota jadi lebih menarik, malah Akio mengubah cara kita melihat bagaimana jenama Toyota bangkit selepas diasak dengan jenama China, Korea dan Continental. Jenama Toyota untuk memenuhi keperluan mobiliti pengguna dari Poin A ke poin B, Lexus pula membawa penumpang ke destinasi dengan lebih ekslusif

Namun jika anda seorang yang berjiwa bebas, Gazoo Racing boleh memenuhi aspirasi anda manakala Century bukan sekadar kereta mewah tetapi ia simbol empati Jepun dalam bentuk empat roda

Google ads
Back to top button