Artikel Pilihan

PEMANDUAN SATU PEDAL BAHAYA – STANDARDIZATION ADMINISTRATION CHINA

Pemanduan satu pedal (one pedal driving) ialah teknologi yang digunakan pada sesetengah kenderaan elektrik (EV) dan plug-in hybrid dimana pemandu tidak lagi perlu menekan pedal brek untuk berhenti, sebaliknya hanya perlu melepaskan pedal pemecut, dan sistem brek regeneratif akan memperlahankan serta memberhentikan kenderaan.

Bergantung kepada jenama dan model EV, pemandu juga boleh melaraskan tahap kekuatan brek regeneratif ini, sama ada mahu rasa yang lembut atau cengkaman yang lebih agresif.

Bagaimana Brek Regeneratif Berfungsi

Salah satu kelebihan menarik EV dan plug-in hybrid ialah penggunaan brek regeneratif (regenerative braking). Kenderaan biasa menggunakan brek cakera, apabila pemandu menekan pedal brek, tekanan hidraulik memaksa angkup mencengkam rotor, menghasilkan geseran pada pad brek untuk memperlahankan kereta. Kaedah ini memang berkesan, tetapi banyak tenaga terbuang dalam bentuk haba yang hilang ke udara.

Untuk EV, brek regeneratif akan aktif sama ada apabila pemandu melepaskan pedal pemecut (pedal utama dalam mod satu pedal), atau digabungkan dengan sistem brek tradisional dengan kombinasi antara brek regeneratif dan brek geseran.

Dalam sistem ini, kenderaan menggunakan rintangan semula jadi daripada motor elektrik untuk memperlahankan putaran roda. Proses ini menukar tenaga kinetik kepada tenaga elektrik, yang kemudian akan disalurkan semula ke dalam bateri dan menjadikan motor berfungsi seperti generator.

Menurut MotorTrend, teknologi ini boleh menambah sehingga 20% jarak pemanduan (range) keseluruhan EV. Dalam situasi kecemasan, anda masih boleh menekan pedal brek sebenar dengan kuat untuk berhenti serta-merta.

Brek Tahan Lama

Teknologi ini juga mengurangkan haus pada komponen brek tradisional seperti pad brek yang biasanya perlu diganti dari semasa ke semasa. Malah, menurut Not A Tesla App, Elon Musk pernah menyatakan bahawa pad brek pada kenderaan Tesla “secara teori boleh tahan selama-lamanya”.

Namun Tidak Semua Orang Suka

Walaupun inovatif, tidak semua orang meminati idea pemanduan satu pedal. Ramai peminat automotif konservatif berasa janggal atau tidak selesa dengannya. Walaupun konsep hanya menggunakan satu pedal untuk memperlahankan dan mempercepat kenderaan nampak mudah dan efisien, pihak berkuasa di China tidak begitu bersetuju.

China tidak “mengharamkan” pemanduan satu pedal secara langsung, tetapi melalui piawaian baru, State Administration for Market Regulation (SAMR) dan Standardization Administration of China (SAC) menetapkan bahawa kenderaan tidak boleh dihidupkan dalam mod satu pedal secara automatik.

Sebabnya? Pegawai bimbang mod ini boleh menjejaskan masa tindak balas pemandu sekiranya perlu menggunakan brek sebenar dengan cepat.

Selain itu, pihak berkuasa China melaporkan beberapa kemalangan serius, khususnya melibatkan pemandu berpengalaman yang sudah lama memandu, apabila mereka keliru antara pedal minyak dan brek dan menyebabkan insiden tidak diingini.

Pengalaman Pemandu EV

Ramai peminat EV mengakui mereka menikmati pengalaman pemanduan satu pedal setelah biasa dengannya, walaupun agak kekok pada awalnya. Bagi pengguna baru Tesla misalnya, tidak pelik jika kereta berhenti mendadak hanya kerana mereka melepaskan pedal pemecut, kerana otak dan otot sudah terbiasa dengan cara pemanduan konvensional selama bertahun-tahun.

Google ads
Back to top button