Artikel PilihanBuletin

LAWATAN EKSKLUSIF KE R&D DAN KILANG WULING- DI SEBALIK KUASA INDUSTRI AUTOMOTIF CHINA

Kami berpeluang menjejakkan kaki ke Liuzhio, lokasi utama operasi jenama automotif yang semakin mencuri perhatian dunia iaitu Wuling. Bagi ramai, nama ini mungkin sinonim dengan kereta kecil dan kenderaan elektrik marhaen seperti Wuling Bingo, tetapi selepas melawat sendiri kilang, pusat R&D dan fasiliti ujian mereka, persepsi kami berubah sepenuhnya.

Wuling bukan lagi jenama tempatan China yang kecil sebaliknya mereka kini sedang berdiri teguh sebagai pemain global yang serius. Wuling juga bukan jenama baharu tetapi ia bermula sejak tahun 1958 lagi sebagai Liuzhou Automotive Works sebagai pengeluar komponen kenderaan dan motosikal

Tapi pada tahun 1966 syarikat ini berjaya menghasilkan traktor pertama mereka sebelum beralih kepada trak komersial dan akhirnya kereta penumpang melalui pembentukan entiti SAIC-GM-Wuling pada tahun 2002. Perjalanan panjang selama hampir tujuh dekad ini menunjukkan bagaimana Wuling berkembang daripada jenama tempatan kepada gergasi industri.

Menariknya, pada 2015, Wuling sudah pun menjalin kerjasama dengan Tan Chong untuk mengintai peluang dalam pasaran Asia Tenggara melalui kenderaan komersial ringan, sebagai satu langkah awal yang jelas membayangkan niat mereka untuk melangkaui sempadan China.

Pusat R&D moden dengan standard global

Kami dibawa ke kompleks R&D mereka, dan apa yang menanti di dalamnya memang mengubah perspektif. Di sini, Wuling menunjukkan sendiri ujian kemalangan, termasuk side pole crash test pada kelajuan 29 km/j. Apa yang menarik ialah fasiliti ujian di sini nampaknya lebih baik berbanding fasiliti ujian ASEAN NCAP.

Keputusan ujian bukan sekadar statistik dimana pintu belakang masih boleh dibuka selepas hentaman. Itu menunjukkan tahap kejuruteraan dan struktur kenderaan yang baik. Bukan itu sahaja, bahagian R&D bateri mereka turut menjalankan pelbagai ujian ekstrem seperti ujian ketahanan bateri dalam air masin, tekanan tinggi 150 kPa, dan juga vibration test untuk komponen bateri dan sistem pengecasan.

Di samping itu, Wuling turut memiliki makmal NVH (Noise, Vibration, Harshness) sendiri untuk memastikan keselesaan dan ketenangan kabin berada pada tahap terbaik. Pendek kata, semua aspek kenderaan bermula daripada bateri sehingga bunyi pintu ditutup telah dikaji dengan teliti di sini.

Automasi kilang – robot dan manusia bekerja seiring

Bahagian paling memukau semasa lawatan sudah tentu kilang pemasangan mereka. Kami tidak melihat sistem conveyor tradisional seperti yang biasa di banyak kilang automotif lain. Sebaliknya, Wuling menggunakan “island manufacturing concept”, di mana setiap kenderaan dipasang di atas platform robotik bergerak. Ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah membolehkan fleksibiliti tinggi dalam pengeluaran model berbeza.

Robot industri daripada jenama terkenal seperti Fanuc dan Kuka digunakan secara meluas, satu tanda jelas pelaburan besar yang dibuat dalam teknologi automasi. Tambahan pula, bahagian pengeluaran yang memasang sistem Dedicated Hybrid Transmission (DHT) mampu menghasilkan sehingga 1 juta unit kenderaan setahun, dengan kadar penolakan hanya 2%. Untuk skala sebesar itu, angka tersebut amat mengagumkan.

Fasiliti ujian – bukan sekadar jalan lurus

Lawatan kami diteruskan ke kawasan test track mereka yang cukup besar dan komprehensif. Di sini, jurutera menjalankan pelbagai ujian termasuk dynamic handling, high-speed endurance, dan high-banking cornering dengan keadah yang sama seperti litar ujian yang digunakan oleh pengeluar Eropah.

Melihat sendiri bagaimana model-model Wuling diuji di selekoh dan permukaan berbeza memberikan kami gambaran betapa seriusnya jenama ini dalam memastikan kualiti pemanduan dan keselamatan berada pada tahap antarabangsa.

Dengan kemudahan sekomprehensif ini, tidak hairanlah Wuling kini berada di tangga ke 7 jualan tertinggi di China bagi tahun 2024, yang mencatatkan angka 824,681 unit. Angka ini bukan kecil, ia menandakan keyakinan pengguna terhadap jenama yang dulunya hanya dianggap “kereta rakyat” di China.

Lebih menarik, Wuling kini mula menumpukan kepada kenderaan elektrik mampu milik seperti Wuling Bingo. Melihat barisan pengeluaran dan tahap teknologi mereka, kami yakin model seperti ini boleh menjadi “game changer” jika masuk ke pasaran Malaysia dengan harga kompetitif dan mungkin cukup syarat untuk mencabar Proton Emas 5 atau Perodua EV yang bakal datang.

Wuling bukan lagi jenama biasa

Selepas sehari penuh di Liuzhio, satu perkara jelas ialah Wuling bukan sekadar pengeluar kereta murah. Ia kini sebuah organisasi yang berpaksikan penyelidikan, inovasi, dan automasi bertaraf global. Fasiliti R&D mereka bukan sekadar ruang ujian tetapi ia menjadi simbol kepada keazaman China untuk menyaingi jenama antarabangsa dalam setiap aspek kejuruteraan automotif.

Jika inilah wajah sebenar industri automotif moden China, masa depan pasaran Asia Tenggara akan menjadi jauh lebih menarik dan Wuling berada di barisan hadapan revolusi itu.

Google ads
Back to top button