
PROTON i-GT 1.5L – ENJIN ATKINSON TAPI 120PS & 150NM? MAGIK NI….
Sejak Proton memperkenalkan enjin baharu i-GT untuk Saga serba baharu, ramai peminat automotif tertarik dengan angka yang diumumkan iaitu 120PS dan 150Nm. Tetapi apabila terdengar pula enjin ini dikatakan menggunakan Atkinson cycle, ramai terus tertanya-tanya:
“Boleh ke enjin Atkinson hasilkan kuasa setinggi ni?”
Jawapannya — ya, boleh, tapi ini bukan Atkinson biasa. Ini versi moden yang pintar dan fleksibel.
Asas Mekanikal: Enjin Aluminium & Teknologi Pintar
Enjin BHE15PFI ini dibina menggunakan blok aluminium sepenuhnya, menjadikannya ringan dan cepat mencapai suhu operasi ideal. Ia juga dilengkapi Dual Variable Valve Timing (DVVT), yang membolehkan sistem injap mengubah masa buka dan tutup mengikut keperluan enjin.
Satu lagi kelebihan besar ialah electric water pump, menggantikan pam mekanikal tradisional yang beroperasi ikut pusingan enjin. Dengan cara ini, pam air tidak lagi “mencuri” tenaga mekanikal dari crankshaft, sekaligus mengurangkan parasitic loss dan menambah kecekapan tenaga keseluruhan.
Atkinson Cycle, Tapi Versi Pintar
Secara asasnya, Atkinson cycle direka untuk kecekapan bahan api maksimum dengan memanjangkan expansion stroke dan memendekkan compression stroke. Ini membolehkan lebih banyak tenaga haba ditukar kepada tenaga mekanikal, tetapi lazimnya mengorbankan sedikit kuasa puncak.
Namun, dalam enjin Proton i-GT BHE15PFI, sistem DVVT digunakan secara dinamik.
- Ketika beban enjin rendah, injap intake ditutup lewat, mewujudkan kesan Atkinson cycle untuk penjimatan bahan api.
- Ketika pemandu tekan pedal kuat, masa penutupan injap disesuaikan semula, menjadikannya kembali seperti Otto cycle biasa untuk memberikan kuasa penuh.
Dengan strategi ini, enjin mampu beroperasi seperti dua personaliti berbeza:
“Masa nak jimat, enjin ini beroperasi dengan kitaran Atkinson. Masa nak potong lori, enjin ini beroperasi dengan kitaran Otto.”
Inilah sebab mengapa walaupun direka dengan pendekatan efisien, enjin ini masih mampu menawarkan 120PS dan 150Nm tanpa kompromi besar terhadap prestasi.

Sistem Pengurusan Termal & Mekanikal Canggih
Selain sistem injap pintar, Proton turut melengkapkan enjin i-GT ini dengan beberapa teknologi pengurusan tenaga yang jarang dilihat pada segmen kereta bajet:
- Electric Water Pump Thermal Management
Mengawal suhu enjin dengan lebih tepat, memastikan enjin beroperasi pada suhu optimum tanpa pembaziran tenaga. - Dual Mass Flywheel (DMF)
Komponen ini menyerap getaran dari crankshaft, mengurangkan NVH (Noise, Vibration & Harshness) dan menjadikan pemanduan lebih halus. - Toothed Timing Chain
Reka bentuk ini menghasilkan geseran lebih rendah dan operasi lebih senyap berbanding rantai roller konvensional.
Gabungan semua sistem ini membantu meningkatkan kecekapan keseluruhan enjin sebanyak 14.04%, menurut data teknikal dalaman.
Enjin Proton i-GT 1.5L BHE15PFI bukanlah Atkinson tulen seperti dalam Toyota Prius atau sistem hibrid penuh. Sebaliknya, ia ialah “pseudo-Atkinson” moden yangmenggunakan DVVT dan kawalan termal canggih untuk menggabungkan dua dunia iaitu penjimatan bahan api dan kuasa mencukupi.
Ringkasnya, ini bukan Atkinson versi lama seperti Prius, tapi versi moden yang tahu bila nak berjimat dan bila nak bagi kuasa maksimum. Dengan pendekatan bijak ni, Proton berjaya hasilkan enjin kecil yang efisien, senyap dan berkuasa — sesuai dengan watak Saga yang semakin matang dari segi kejuruteraan.