
10 KERETA SELAMATKAN SYARIKAT AUTOMOTIF DARI KUBUR
Dalam dunia automotif, setiap jenama ada masa jatuh dan masa bangkit. Tapi ada juga model yang bukan sekadar berjaya malah ia berjaya menyelamatkan keseluruhan syarikat daripada muflis. Kadang-kadang, keputusan yang kelihatan gila seperti tindakan Porsche menghasilkan merupakan langkah genius yang mampu mengubah sejarah.
Ini dia 10 kereta yang menyelamatkan syarikat automotif dari terkubur dalam dalam sejarah
1. Porsche Cayenne (2002) – Penyelamat Yang Tak Dikenang
Pada akhir tahun 1990-an, Porsche memang tenat dari segi jualan dan keuntungan. Jualan model sport 911 dan Boxster tak cukup untuk menampung kos operasi. Idea radikal untuk menghasilkan SUV dianggap pengkhianatan kepada DNA Porsche. Tapi apabila Cayenne dilancarkan pada 2002, semuanya berubah.
Jualan Cayenne yang menjadi SUV pertama Porsche ini terus meledak dengan lebih 65,000 unit terjual tahun pertama. Malah margin untungnya jauh lebih tinggi, dan duit daripada jualan Cayenne itulah yang membiayai pembangunan Panamera, Macan, malah Taycan elektrik hari ini. Tanpa Cayenne, kemungkinan besar Porsche dah tinggal sejarah.
2. BMW 1500 “Neue Klasse” (1962) – Ubah Takdir Munich
Pada awal tahun 1960-an, BMW hampir dijual kepada Mercedes-Benz disebabkan ia hampir muflis. Tapi muncul satu projek yang dinamakan sebagai Neue Klasse (“Kelas Baru”) iaitu sebuah sedan saiz sederhana dengan enjin 4-silinder, pengendalian tajam dan rekaan gaya moden.
BMW 1500 bukan sahaja disukai pelanggan, tapi membina semula reputasi BMW sebagai pembuat sedan sporty dan berteknologi tinggi. Dari sinilah lahir model laku keras seperti 3 Series, 5 Series, dan 7 Series yang menjadi tulang belakang BMW hari ini. Kalau bukan sebab Neue Klasse, “Ultimate Driving Machine” mungkin tak pernah wujud.
3. Ford Mustang (1964) – Simbol Kebangkitan Amerika
Tahun 1960-an menyaksikan Ford kehilangan sentuhan muda dan pelanggan muda. Tapi apabila Ford Mustang lahir , ia menjadi model yangsporty, mampu milik, dan menjadi simbol kebebasan pada rakyat dan ramai pengguna jatuh cinta.
Lebih sejuta unit Ford Mustang terjual dalam 18 bulan pertama. Ia bukan sekadar kereta, tapi fenomena budaya. Mustang bantu Ford bangkit semula dan kekal ikon hingga sekarang. Ford Mustang bukan sekadar penyelamat tetapi Mustang menjadi jiwa Ford.
4. Range Rover (1970) – Dari Lumpur Ke Kelas Atasan
Sebelum tahun 1970, jenama Land Rover sinonim dengan trak ladang dan kenderaan tentera. Tapi model Range Rover membawa idea baru iaitu jentera off-road tapi selesa dan mewah. Model ini mencipta segmen baru iaitu Luxury SUV. Ia bukan sekadar laku, tapi meletakkan Land Rover dalam kelas tersendiri. Sampai sekarang, setiap Range Rover masih ada DNA asal yang menggabungkan keanggunan dan ketahanan.
5. Volkswagen Golf Mk1 (1974) – Lagenda Anak Muda
Lepas era Beetle tamat, Volkswagen seperti kehilangan arah. banyak model dihasilkan tapi sambutan suam suam kuku. Tapi Golf Mk1 ciptaan Giorgetto Giugiaro datang dengan gaya hatchback moden, pacuan roda depan dan praktikal.
Jualan model ini terus meletup di Eropah, dan akhirnya mencipta segmen “hot hatch”. Golf bukan sekadar menggantikan Beetle malah model ini menjadi nadi Volkswagen moden. Formula Golf masih kekal hingga hari ini, hatchback ringkas, praktikal, dan seronok dipandu.
6. Toyota Corolla (1966) – Dari Jepun Ke Dunia
Syarikat Toyota dulu merupakan pemain kecil automotid, tapi model Corolla merubah segalanya. Diperkenal pada 1966, Corolla adalah sedan kecil, murah, dan tahan lasak. Dalam masa singkat, Corolla jadi model eksport paling berjaya bagi Toyota.
Sehingga hari ini lebih 50 juta unit terjual di seluruh dunia menjadikannya kereta paling laris dalam sejarah automotif. Corolla bukan sahaja menyelamatkan Toyota malah ia menjadikan Toyota godzilla global. Dari jalan sempit Tokyo ke lebuh raya Los Angeles, nama Corolla dikenali di mana-mana.
7. Mini (1959) – Kecil Tapi Legenda
British Motor Corporation (BMC) hampir melingkup selepas krisis minyak 1956. Tapi jurutera Alec Issigonis cipta Mini iaitu kereta kecil, murah, pacuan depan, dan efisien dari segi penggunaan ruang. Mini bukan sahaja praktikal, tapi comel dan penuh karakter. Ia jadi simbol budaya pop 60-an, digunakan oleh semua orang dari pemandu biasa sampai The Beatles.
8. Mazda MX-5 Miata (1989) – Jiwa Kereta Sport Kembali
Akhir 1980-an, Mazda kehilangan arah dan banyak pesaing Jepun sudah menghentikan pengeluaran kereta sport. Tapi Mazda mengambil risiko dengan menghasilkan MX-5 Miata, iaitu sebuah roadster ringan yang memberi fokus pada fun-to-drive.
Hasilnya Mazda MX-5 menjadi fenomena global menjadikannya sebagai kereta sport dua tempat duduk paling laris dalam sejarah dan simbol “pure driving joy”. MX-5 memberi keuntungan besar, menaikkan imej, dan Mazda kekal relevan sampai sekarang. Apabila dunia makin berat, Miata buktikan keseronokan boleh datang dari kesederhanaan.
9. Nissan Qashqai (2007) – Crossover Yang Ubah Segalanya
Sebelum kemunculanQashqai, jualan Nissan di Eropah memang nazak. Sedan mereka tidak laku, manakala SUV Nissan menjadi besar dan terlalu mahal. Jadi Nissan mencipta sesuatu baru yang dikelaskan sebagai compact crossover.
Walaupun ramai pengkritik yang skeptikal pada mulanya, tapi pasaran compact crossover meletup. Qashqai bukan sahaja berjaya menyelamatkan Nissan, tapi mencipta kategori baru yang ditiru oleh semua jenama lain. Hari ni, crossover jadi antara segmen paling laris dunia dan semua bermula dari Qashqai.
10. Audi A4 (1994) – Dari “Budget VW” Ke Premium Player
Pada Awal 90-an, Audi masih dibayangi imej sebagai “VW yang mahal sikit”. Tapi model A4 bawa revolusi baru Audi dengan rekaan lebih kemas, kualiti dalaman lagi premium, dan sistem pacuan quattro yang canggih.
A4 merubah pandangan dunia terhadap Audi. Ia menjadi pesaing sebenar kepada model BMW 3 Series dan Mercedes C-Class, dan melonjakkan jenama ke tahap premium global. Tanpa Audi A4, mungkin Audi masih di belakang tabir Volkswagen, bukan di pentas utama.
Bila Keberanian Jadi Penyelamat
Semua kereta dalam senarai ni ada satu persamaan iaitu pengeluar bermain dengan dadu dan berani mengambil risiko. Porsche berani menghasilkan SUV, BMW berani mengubah identiti, Nissan mencipta segmen baru, dan Mazda mempertaruhkan keseronokan pemanduan bila orang lain kejar kuasa.
Dalam dunia automotif, kadang-kadang faktor yang menyelamatkan syarikat bukanlah model paling laju atau paling mahal tetapi model yang berani menjadi lain daripada yang lain.