Artikel Pilihan

DULU PELOPOR EV DUNIA : APA SEBENARNYA SUDAH JADI PADA NISSAN?

Selama berdekad-dekad, nama Nissan membawa makna “keseimbangan Jepun”: kenderaan yang tahan lasak, rekaan berani, dan teknologi mendahului zaman. Nama “Nissan” berasal daripada singkatan Jepun daripada perkataan “Nihon Sangyo” (日本産業), yang bermaksud “Industries of Japan” atau “Industri Jepun”.

  • Nihon (日本) = Jepun
  • Sangyo (産業) = Industri / Perusahaan

Jadi “Nissan” adalah nama jenama yang berasal dari singkatan ini dan bukannya perkataan bebas. Ia digunakan sejak tahun 1933–1934 apabila syarikat mula menamakan produknya secara rasmi sebagai Nissan.

Daripada Skyline GT-R hingga Leaf, Nissan pernah jadi simbol inovasi Timur yang menggugat jenama Barat. Namun pada tahun 2025, keadaan berubah dengan drastik dimana syarikat yang suatu masa dahulu peneraju industri ini kini sedang berjuang untuk kekal relevan dalam dunia automotif yang bergerak pantas ke arah elektrifikasi.

Dalam laporan kewangan terkini, Nissan mengunjurkan kerugian bersih melebihi ¥700 bilion (sekitar USD 5 bilion) untuk tahun fiskal berakhir Mac 2025. Angka itu bukan sahaja membayangkan masalah kewangan, tetapi juga krisis identiti korporat, antara strategi lama yang tidak lagi berkesan dan keperluan mendesak untuk berubah.

Mari kita lihat apa yang membawa Nissan ke titik ini, apa langkah yang sedang diambil, dan apa yang perlu dilakukan untuk bangkit semula.

Punca Kejatuhan — Dari Hero GT-R kepada Segalanya Tidak Menjadi

1. Penurunan Nilai Aset besar dan struktur kos berat

Nissan sedang menanggung penurunan nilai aset semasa lebih ¥500 bilion, hasil daripada penutupan beberapa kilang dan pelarasan nilai inventori di pasaran yang kurang menguntungkan. Dengan kapasiti pengeluaran terlalu besar berbanding permintaan sebenar (terutama di China), kos tetap (fix cost) menjadi beban yang tidak seimbang dengan hasil.

Keputusan menutup atau mengecilkan operasi di beberapa negara pula memerlukan kos pampasan dan pelupusan aset yang tinggi, menambah tekanan tunai jangka pendek.

2. Jualan menjunam di pasaran utama

China, yang sebelum ini menyumbang lebih 30% jualan global Nissan, kini menjadi lubuk paling menyakitkan. Kehadiran pengeluar EV tempatan seperti BYD, Geely dan Wuling menenggelamkan jenama Jepun yang dianggap “kurang segar” dalam rekaan dan teknologi. Di Amerika Syarikat pula, kepercayaan pengguna terhadap kualiti CVT Nissan dan strategi produk yang tidak konsisten menjadikan jualannya tidak sekuat pesaing seperti Toyota dan Hyundai.

3. Ketinggalan dalam perlumbaan EV

Ironinya, Nissan ialah antara pelopor awal kenderaan elektrik melalui model yang Leaf dilancarkan seawal 2010, ketika Tesla masih mencari identiti. Namun selepas itu, tiada kesinambungan kukuh. Model Ariya yang dilancarkan pada 2022 terlalu lambat memasuki pasaran dan terlalu mahal berbanding kompetitor China. Sementara itu, pesaing laintelah membina ekosistem EV penuh dengan platform modular, pilihan bateri pelbagai, dan strategi harga yang agresif.

4. Kesan rantaian bekalan dan tarif antarabangsa

Isu cip semikonduktor masih menghantui pengeluaran Nissan walaupun krisis global sudah reda. Masalah kecil pada vendor menyebabkan pengeluaran tertunda dan margin terhakis. Selain itu, risiko tarif baharu Amerika Syarikat terhadap kereta Jepun menambah beban kos eksport. Bagi model yang dipasang di Jepun atau Mexico untuk pasaran AS, peningkatan tarif ini boleh menghakis keuntungan sehingga 10–15% setiap unit yang terjual.

5. Krisis kepimpinan selepas era Ghosn

Skandal bekas CEO Carlos Ghosn bukan sekadar drama korporat; ia meninggalkan kesan jangka panjang.
Selepas Ghosn, Nissan kehilangan arah strategik dengan pemimpin baharu terpaksa menstabilkan imej dan kepercayaan dalaman sebelum boleh kembali agresif.

Hubungan dalam sekutu Renault–Mitsubishi–Nissan pula menjadi tegang, menyebabkan banyak keputusan strategik tergantung tanpa arah yang jelas selama beberapa tahun. Harapan kini terletak pada kapten baru Nissan iaitu Ivan Espinosa yang lebih muda dan bersemangat untuk mengemudi Nissan pada halatuju yang baru

Apa Nissan Sedang Buat Sekarang?

Walaupun berdepan situasi sukar, Nissan tidak berdiam diri. Nissan sedang melaksanakan pelan pemulihan tiga teras, menumpukan kepada penyusunan semula operasi, pembangunan teknologi baru, dan pengukuhan sekutu Nissan-Mitsubishi-Renault.

1. Pemotongan kos & rasionalisasi kilang

Nissan sedang melaksanakan pelan pengurangan kapasiti global, mengecilkan operasi daripada 17 kilang kepada sekitar 10 menjelang 2027. Langkah ini termasuk pemotongan tenaga kerja global sebanyak 20,000 orang (sekitar 15%). Ini mengurangkan overcapacity, menjimatkan kos tetap, dan menumpukan pengeluaran kepada model yang paling menguntungkan seperti Rogue, Navara dan X-Trail.

2. Pelaburan semula dalam elektrifikasi

Melalui pelan “Arc Plan” (2024–2030), Nissan mengumumkan pelaburan besar untuk membangunkan:

  • Platform EV CMF-EV generasi kedua, untuk digunakan oleh model global bersama Renault.
  • Bateri solid-state menjelang 2028, dengan 50% lebih kecekapan tenaga.
  • Pengembangan teknologi e-Power iaitu sistem hibrid di mana enjin hanya berfungsi sebagai penjana elektrik, bukan pemandu roda.

Teknologi e-Power kini digunakan pada model X-Trail dan Serena, dan Nissan merancang untuk memperkenalkannya di lebih banyak pasaran ASEAN termasuk Thailand dan Malaysia.

3. Reformasi struktur Nissan-Renault-Mitsubishi

Selepas bertahun-tahun ketegangan, hubungan dengan Renault dan Mitsubishi kini dipulihkan dengan struktur pemilikan yang lebih seimbang (dengan Renault menurunkan pegangan kepada 15%). Ini membolehkan kerjasama yang lebih fleksibel dimana Renault menumpukan perhatian kepada Eropah dan EV kecil, manakala Nissan fokus ke Asia dan Amerika Utara. Kedua-dua pihak kini berkongsi pembangunan platform bateri dan teknologi software vehicle control.

4. Digitalisasi dan strategi jualan baharu

Nissan mula mengubah model jualan ke arah digital-first, membolehkan pelanggan memilih konfigurasi dan pembelian secara dalam talian. Selain itu, perkhidmatan selepas jualan dipertingkat dengan jaminan lebih telus, serta strategi value maintenance, langkah penting untuk menaikkan semula nilai jualan semula kenderaan Nissan.

Apa Nissan Perlu Buat Untuk Kekal Relevan

1. Fokus pada model laku – Nissan perlu kembali kepada asas iaitu jangan cuba memenuhi semua segmen, sebaliknya kuatkan model asas yang menjadi identiti Nissan seperti Rogue / X-Trail sebagai SUV global utama, Sentra / Almera / Sylphy untuk sedan efisien, Navara / Frontier bagi trak serantau, 400z untuk kereta sport dan Nissan Sakura untuk kei-car EV

Model niche seperti Juke atau Kicks boleh dihentikan jika jualan tidak memberi margin tinggi. Strategi ini sama seperti Toyota dengan Corolla, RAV4 dan Hilux iaitu tiga model yang jadi tiang pendapatan global.

2. Tingkatkan kualiti dan persepsi jenama – Salah satu masalah utama Nissan ialah berpunca daripada CVT keluaran Jatco yang tidak digemari. Nissan boleh sahaja menukar vendor daripada Jatco kepada pengeluar lain, atau memanjangkan jaminan pengeluar sehingga 7 tahun untuk membina semula reputasi dan kepercayaan pengguna

3. Inovasi, Teknologo dan Emosi – satu ketika dulu Nissan sinonim dengan keberanian reka bentuk seperti model ikonik Z, GT-R, Silvia, Pulsar GTi-R semua lahir dari semangat itu. Nissan boleh kembali relevan jika mereka berjaya mengembalikan halo car (contohnya Z EV atau GT-R hybrid) dan mempamerkan semangat “fun to drive” yang menjadi DNA asalnya walaupun menggunakan sistem e-Power

4. Perkukuhkan pasaran Jepun, ASEAN dan negara membangun – Pasaran seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia kini antara pasaran paling pesat untuk hibrid dan EV. Nissan boleh menjadikan ASEAN pusat pengeluaran e-Power global, melancarkan Leaf generasi baharu dengan harga kompetitif bawah RM100k atau menggandingkan Navara Hybrid sebagai model ikon teknologi hijau untuk pasaran serantau.

Penutup – Jalan Panjang & Berliku ke Depan

Realitinya, Nissan masih memiliki kekuatan asas melalui pengalaman global, keupayaan kejuruteraan, reputasi lepas dan legasi teknologi. Masalahnya bukan pada kemampuan, tetapi Nissan seperti kehilangan fokus dan arah.

Dengan dunia automotif kini berubah pantas ke arah EV, integrasi sistem perisian, dan kecekapan kos, Nissan perlu membuat keputusan besar dan bukan lagi sekadar memberi reaksi bertindak berdasarkan ancaman pesaing.

Jika mereka berjaya melaksanakan pelan “Arc Plan” dengan disiplin, menumpukan kepada produk utama, dan kembali memimpin dalam inovasi elektrifikasi, Nissan masih berpotensi untuk bangkit sebagai pemain global berwibawa menjelang 2030.

Tetapi jika gagal, syarikat ini berisiko menjadi satu lagi nama besar Jepun yang perlahan-lahan hilang dalam bayang-bayang pesaing baharu dari China dan Korea.

Google ads
Back to top button