Buletin

DRB-HICOM CATAT UNTUNG PRA-CUKAI RM540.1 JUTA BAGI TAHUN 2020. SEKTOR AUTOMOTIF PENYUMBANG UTAMA

Didorong pemulihan perniagaan yang sederhana dalam separuh kedua 2020 serta muktamadnya transaksi pelupusan aset syarikat, DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) telah mencatatkan keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (TK2020).

Untung pra-cukai (UPC) Kumpulan adalah berjumlah RM540.1 juta daripada perolehan bernilai RM13.2  bilion. Ini merupakan tahun kewangan (TK) penuh yang pertama DRB-HICOM untuk tempoh kewangan yang dirombak. Oleh itu tiada angka suku tahunan atau tahunan terdahulu untuk perbandingan.

Bagi suku tahun berakhir 31 Disember 2020 (Q4), perolehan Kumpulan berjumlah RM4.85 bilion,dengan UPC bernilai RM 948.8 juta. Bagi kedua-dua Q4 dan TK2020, perolehan DRB-HICOM dipacu oleh sektor automotif dan hartanah.

Sektor automotif  

Bagi sektor automotif, DRB-HICOM terus menikmati kesan positif daripada keputusan kerajaan untuk memberi pengecualian cukai jualan bagi pembelian kenderaan penumpang.

Perolehan sektor berkenaan bernilai RM8.0 billion bagi TK2020. Manakala Q4 mencatatkan suku terbaik dalam tempoh 12 bulan dengan nilai perolehan berjumlah RM2.6 billion, meningkat 3 peratus berbanding suku sebelumnya.

Volum Keseluruhan Industri (TIV) Malaysia untuk TK2020 nyata terkesan akibat pandemik COVID-19. Aktiviti ekonomi negara terhenti ketika perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac hingga Mei 2020.

TIV tahun 2020 adalah sebanyak 529,434 unit, turun 12.4 peratus dari tahun sebelumnya (2019: 604,281 unit). Bagaimanapun, Malaysian Automotive Association (MAA) meramalkan pemulihan kadar sederhana sepanjang empat tahun kehadapan dengan pertumbuhan sebanyak 8% untuk 2021, dan kemudiannya sekitar 3% setahun sehingga 2025.

Lebih dari 95 peratus daripada pertumbuhan itu dijangka disumbang oleh segmen kenderaan penumpang.

Sektor perkhidmatan dan hartanah

Perolehan sektor perkhidmatan bagi TK2020 mencapai RM3.5 bilion. Ia didorong oleh prestasi anak-anak syarikat daripada sub-sektor pos, logistik dan operasi perbankan.

Bagi Q4, perolehan berjumlah RM877.4 juta, prestasi kedua terbaik sektor ini selepas Q3 yang mencatat perolehan RM918.7 juta.

Sektor hartanah pula menerima perolehan bernilai RM1.3 bilion, didorong oleh transaksi pelupusan aset dan pelaburan oleh Kumpulan. Pelupusan yang pertama kali diumumkan pada tahun 2018 sebagai penstrukturan semula operasi sektor hartanah DRB-HICOM, meraih keuntungan RM862.6 juta.

Antara aset yang dilupuskan ialah hartanah pembangunan perumahan. Hala tuju sektor hartanah kini akan tertumpu kepada hartanah perindustrian, melalui aset tanah perindustrian yang luas di Kedah, Perak, Melaka dan Johor. Transaksi ini juga menandakan DRB-HICOM bakal meninggalkan industri hospitaliti.

Sektor automotif akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan DRB-HICOM. Dengan lanjutan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang sehingga 30 Jun 2021, MAA optimis bahawa pasaran otomotif tempatan akan pulih pada tahun 2021 dengan TIV diunjur meningkat ke 570,000 unit, berbanding 529,434 unit untuk tahun 2020.

Pelancaran pelbagai varian ‘facelift’ dan kempen-kempen promosi yang agresif oleh jenama-jenama kenderaan terkenal akan turut merangsang perniagaan automotif Kumpulan dalam tahun kewangan semasa.

Pegangan pasaran PROTON telah meningkat kepada 20.5% untuk tahun kalendar 2020 (2019: 16.6%).

Proton X50, yang dilancarkan pada bulan Oktober 2020 dan Proton X70 terus menguasai pasaran SUV bagi segmen C dan segmen B. Manakala Proton Saga kekal sebagai sedan segmen A yang popular di dalam negara.

Google ads
Back to top button