Buletin

AHTV: DRB-HICOM TANDATANGANI MOU DENGAN GEELY. MAHU TARIK PELABUR CHINA

Pada majlis pelancaran pelan pembangunan Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjong Malim semalam, Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan AHTV. 

DRB-HICOM dan Kerajaan Negeri Perak menandatangani MoU untuk mengenal pasti peruntukan tanah tambahan yang sesuai di sekitar kawasan ini bagi pembangunan AHTV.

Kawasan di sekeliling kilang PROTON Tanjong Malim kini berkeluasan 4,000 ekar yang kebanyakannya telah didiami oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), vendor sedia ada, premis-premis komersial dan hartanah kediaman. Manakala tanah tambahan ini khas untuk pembangunan AHTV, termasuklah universiti penyelidikan.

DRB-HICOM juga menandatangani satu lagi MOU bersama Geely Holding Group. MOU dengan pemegang saham PROTON yang ditandatangani secara dalam talian pada 11 April 2022 bermatlamat untuk membangunkan AHTV secara bersama. Selain bekerjasama dalam mengenal pasti vendor dan pelabur ke hab ini. 

Penglibatan rakan strategik DRB-HICOM bagi pengeluar kereta nasional PROTON, Geely Holding Group yang terkenal dengan kekuatan teknologi mereka dalam ekosistem automotif merupakan pemangkin kepada AHTV. Ia menjadi pendorong kepada pengeluar dan komponen kereta, terutama dari China untuk melabur dalam fasiliti pengeluaran tempatan. Seterusnya mewujudkan peluang perniagaan dan eksport baharu. 

Pada asasnya, AHTV berpotensi sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN dan OIC untuk syarikat yang menjadikannya mereka sebagai pangkalan. Terdapat 17 vendor yang beroperasi di kawasan ini.

Universiti Penyelidikan

Untuk mengembangkan bakat dalam bidang automotif, AHTV bakal menubuhkan sebuah universiti penyelidikan. Satu rangka kerja pendidikan bagi industri automotif akan digubal ke arah memupuk jurutera generasi baharu dalam bidang Kejuruteraan, IT, Reka Bentuk, Kepintaran Buatan, Penyelesaian Mobiliti dan Pembangunan Perisian. 

Ia akan mengukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dan memastikan daya saing pengeluar peralatan asli tempatan (OEM).

Penubuhan universiti penyelidikan berasaskan automotif merupakan petanda baik buat Malaysia kerana industri ini bakal mendapat tempat di masa hadapan berkaitan Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV) dan Mobility-as-a-Service (MaaS).

Pada peringkat awal pembangunannya, kira-kira 370,000 peluang pekerjaan dijangka akan diwujudkan di tapak AHTV bersebelahan dengan fasiliti pembuatan PROTON di Tajong Malim. Apabila Fasa 1 siap sepenuhnya, hab itu akan menawarkan lebih 160,000 peluang pekerjaan, sekali gusmenyumbang kepada ekonomi negeri Perak dan negara.

Google ads
Back to top button