Buletin

VOLVO DAN GEELY CADANG BERGABUNG! APA NASIB PROTON DLL?

Volvo Car AB dan Geely Automobile Holdings Limited pada 10 Februari mengumumkan syarikat dalam pertimbangan untuk menggabungkan perniagaan mereka bagi mewujudkan kumpulan global yang kuat seterusnya mempercepatkan sinergi kewangan dan teknologi di antara dua syarikat.

Gabungan yang dipertimbangkan itu akan mempunyai skala, pengetahuan dan sumber untuk menjadi peneraju dalam transformasi industri automotif yang berterusan.

Jika menjadi kenyataan apa yang bakal berlaku pada syarikat lain di dalam kumpulan? 

Berdasarkan kenyataan yang dikongsi, gabungan itu akan mengekalkan identiti berbeza setiap jenama seperti Volvo, Geely, Lynk & Co dan Polestar. 

Ini bermakna setiap jenama akan terus kekal dan untuk rekod PROTON secara majoritinya tidak dimiliki oleh Geely.

Sehingga kini Zhejiang Geely Holding Group memiliki 49.9 peratus di dalam PROTON dan baki majoriti dimiliki DRB-Hicom.

Dalam menjalankan perniagaan automotif, Geely beroperasi melalui tiga teras utama seperti berikut:

  • Geely Auto Group – Geely Auto, Geometry, Lotus, Lynk & Co dan PROTON
  • Volvo Car Group – Volvo Cars dan Polestar
  • Geely New Energy Commercial Vehicle Group – London Electric Vehicle Company, Farizon Auto

Peringkat seterusnya akan melibatkan penubuhan kumpulan kerja bersama bagi menyediakan cadangan kepada lembaga syarikat masing-masing.

Mengulas mengenai cadangan itu, berikut ialah kenyataan yang dikeluarkan oleh Li Shufu, Pengerusi Geely Holding Group.

“Gabungan dua syarikat akan mewujudkan sebuah kumpulan global yang kuat. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Håkan Samuelsson, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Cars, untuk meneroka peluang ini.

“Matlamatnya ialah untuk mengukuhkan sinergi dalam kumpulan sambil mengekalkan kelebihan daya saing dan integriti setiap jenama individu.”

Tidak dapat dipastikan apa yang bakal berlaku selepas ini, cadangan penggabungan Volvo dan Geely masih baru untuk diteliti. Begitu juga dengan struktur pengurusan dan operasi syarikat.

Apa yang jelas, meskipun Volvo dan Geely kelihatan kukuh dan mempunyai potensi besar, mereka masih lagi memandang kepada penggabungan untuk survival dan lonjakan di dalam industri automotif.

Google ads
Back to top button