BuletinMotosikal

PROJEK SUPERMOPED BELUM BERKUBUR – CEO MODENAS

Dalam sesi dialog sewaktu majlis makan malam selepas program media ride NS200 ABS di Port Dickson, CEO Modenas, EN. Roslan Roskan sekali lagi memberi jawapan bahawa projek supermoped, kapcai berkuasa tinggi dari Modenas belum berkubur.

Kisah super kapcai Modenas telah bermula seawal 2013 apabila mereka memulakan pelaburan serius menghasilkan enjin bersama Universiti di Austria dan meneruskan projek tersebut pada kapcai yang dijangka untuk bersaing dengan Y15ZR dan RS150R.

Ketika projek itu bermula, Yamaha Y15ZR sendiri belum wujud pun malah sepatutnya Modenas yang menjadi peneraju dalam industri ini.

Roslan yang baru sahaja dilantik sebagai CEO Modenas tahun lalu memikul tanggungjawab besar bagi menaikkan semula jenama Nasional itu dan sudah tentu, di bawah pengurusan baru, cerita tentang projek supermoped tersebut sekali lagi timbul.

Tahun lalu, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Dato’ Sri Syed Faisal Albar dalam satu sesi soal jawab bersama media di Melaka telah menjawab pertanyaan media bahawa mereka “TIDAK AKAN MENERUSKAN” projek yang dikenali sebagai GT150 itu.

Meskipun kebanyakan media menterjemahkannya sebagai pembatalan keseluruhan projek, realiti sebenarnya ialah, projek super moped ini kini berada dalam senarai “simpanan”.

Hampir RM20 juta sudah dibelanjakan untuk pelaburan superkapcai ini dan sudah tentu menghentikannya 100 peratus adalah keputusan yang kurang rasional.

“Projek supermoped Modenas bukanlah satu keutamaan. Pasaran berubah. Ketika kami merancang untuk bina supermoped, pasarannya masih kecil, tetapi tidak sekarang, ia sangat kompetitif.

“Apa yang boleh dijual 10 tahun lalu, mungkin berbeza pada masa sekarang, begitu juga pasaran,” Ujar Roslan kepada pihak media.

Menurut Roslan lagi, dengan keadaan sekarang, dengan usahasama yang masih berjalan antara Modenas-Bajaj dan Modenas-Kymco, corak perniagaan Modenas adalah mengembangkan produk sedia ada.

Mereka juga bakal memasang motosikal Kawasaki di kemudahan kilang di Gurun Kedah dan menjenamakan semula motosikal tersebut.

Akan ada beberapa produk baru daripada usahasama ini dan dari Modenas sendiri. Kami boleh menjangkakan akan ada versi penambahbaikan bagi model-model “in-house” Modenas seperti Kriss 110, MR2 dan CT115S.

Tapi, apa keputusan sebenar tentang supermoped Modenas ini?

Tiada buat masa ini.

Cakap-cakap tentang penjualan hakcipta enjin (IP) kepada Kawasaki juga menurut kami agak meleset kerana dari nada yang diucapkan oleh CEO Modenas itu mereka sebenarnya perlu banyak masa dan keputusan bukan dibuat oleh satu pihak sahaja.

Jika anda tanya pada kami yang mengikuti sepenuhnya cerita supermoped ini dari awal, di bawah tiga pengurusan yang berbeza, projek ini kalau jadi pun lambat lagi.

Sangat lambat.

Kerana keputusan perniagaan dibuat oleh syarikat induk DRB-HICOM yang mempunyai latarbelakang pengarah yang pelbagai. yang mungkin hanya seoarang sahaja yang faham industri motosikal berbanding yang lain.

Ya.

Tapi dengan adanya Kawasaki, keputusan akan menjadi bertambah rumit. Ditambah lagi dengan hubung silang Kawasaki-Bajaj, ia menjadi lebih sukar.

Kawasaki memang tidak ada motosikal berkapasiti kecil. Mereka sudah lama meninggalkan Kawasaki Joy dan K1. Yang mereka ada ialah motosikal fun bike KSR Pro.

Di suluruh dunia pun, Kawasaki sudah berhenti menjual motosikal berkapasiti kecil dan kemungkinan mereka membeli enjin 150cc-175cc Modenas agak tipis, namun kebarangkaliannya masih ada.

Google ads
"
"
Back to top button