Buletin

SYED MOKHTAR ALBUKHARY PERTIMBANG PEMILIKAN PENUH DRB-HICOM

Taikun Syed Mokhtar Albukhary dilapor sedang menjalankan kajian strategik ke atas konglomerat DRB-Hicom.

Ahli perniagaan terkemuka itu dikatakan dalam perbincangan dengan penasihat berpotensi berhubung pilihan untuk membeli firma terbabit, selain turut berkira-kira menjual kepentingan atau kaedah lain bagi menyelaraskan perniagaan DRB-Hicom.

Syed Mokhtar memiliki 56 peratus pegangan dalam firma yang tersenarai di Bursa Malaysia itu melalui pelaburan kenderaan, menurut data dikumpul Bloomberg. DRB-Hicom mempunyai nilai pasaran AS$681 juta (RM2.9 bilion).

Sekiranya Syed Mokhtar berjaya memiliki hak pegangan DRB-Hicom sepenuhnya, ia akan mengukuhkan lagi spekulasi sebelum ini yang menjangkakan penswastaan pada DRB-Hicom turut dilaksanakan.

Ia adalah langkah yang sama setelah pihaknya menyahsenarai MMC Corp daripada bursa tempatan dan telah diambil alih secara persendirian pada 2021.

Walau bagaimanapun, wakil daripada DRB mahupun Syed Mokhtar masih belum memberi maklum balas dan dikatakan perbincangan tersebut masih di peringkat awal.

DRB-Hicom membeli pegangan saham dalam syarikat Proton Holdings Bhd pada 2012 daripada syarikat milik kerajaan, Khazanah Nasional Bhd.

Ia kemudiannya menjual 49.9 peratus firma berkenaan kepada syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co, pada 2017 yang turut memberikan Geely kepentingan majoriti dalam jenama kereta sport ikonik British, Lotus Cars.

Sebagai kontraktor pertahanan utama di negara ini, DRB-Hicom terlibat dalam pembangunan, pemasangan dan pengedaran kenderaan ketenteraan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Firma itu juga mempunyai kepentingan dalam Bank Muamalat, Pos Malaysia, termasuk pelaburan hartanah. – Blomberg

Google ads
Back to top button