Artikel PilihanBuletin

MOTOR “LEJEN” MODENAS KRISS 110 DILANCARKAN. CUMA RM3,377.00!

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (“MODENAS”), anak syarikat DRB-HICOM Berhad (“DRB-HICOM”) hari ini memperkenalkan dua model motosikal baharu iaitu KRISS 110 dan Pulsar NS160 untuk menawan pasaran yang lebih besar dalam segmen dua roda.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Dato’ Sri Syed Faisal Albar, dengan pelancaran dua model motosikal baharu ini, MODENAS yakin akan dapat meningkatkan lagi pasaran bagi segmen motosikal moped dan street bike dari 3.9% kini kepada 6% menjelang akhir tahun ini.

“Ini merupakan masa yang paling tepat untuk MODENAS. Pelancaran motosikal baharu ini, yang menyasarkan dua segmen pasaran yang berbeza – segmen peringkat pengenalan dan pertengahan, akan memperluaskan lagi tawaran pasaran kami kepada berjuta-juta penunggang motosikal di negara ini, secara tidak langsung akan terus mengukuhkan jenama MODENAS secara keseluruhannya,” kata Syed Faisal.

Turut bersama beliau pada majlis pelancaran ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan dan lebih 300 tetamu yang terdiri daripada pengedar dan stokis MODENAS, rakan perniagaan MODENAS, rakan sekerja, rakan-rakan media, pihak pengurusan dan kakitangan DRB-HICOM serta MODENAS.

Syed Faisal berharap model KRISS 110 ini akan menyemarakkan kembali populariti motosikal MODENAS seperti mana kali pertama ia dilancarkan pada tahun 1996.

“KRISS 110 yang asal membuahkan satu kejayaan besar, dengan lebih daripada 800,000 unit terjual di seluruh negara. Kami percaya KRISS 110 baharu ini akan terus mengukir kejayaan dan mengekalkan nama baik motosikal legenda ini seperti mana di sekitar tahun 1997, “katanya.

Motosikal moped 4 lejang 110cc, KRISS 110 disasarkan kepada golongan dewasa muda yang ingin membeli motosikal pertama dan sebuah motosikal mampu milik yang mudah dikendali. Didatangkan dengan waranti dua tahun atau 20,000km, yang mana lebih awal, KRISS 110 menawarkan gaya premium tanpa harga yang tinggi dan mematuhi piawaian pelepasan Euro 3 sepenuhnya.

Ketinggian tempat duduk 755mm memastikan KRISS 110 adalah selesa bagi penunggang baharu, dan penggunaan motor empat lejang, satu silinder dengan penyejukkan udara bermakna kurang masa menukar palam pencucuh dan membersihkan karburator seperti yang anda perlu lakukan pada mesin dua-lejang.

Motosikal KRISS110 ini turut diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), yang menjanjikan penjimatan minyak untuk penggunanya. Motosikal ini menawarkan rekabentuk yang kompak dan bergaya, dilengkapi dengan rim aloi 17 inci, ruang penyimpanan bawah tempat duduk yang luas, serta tempat duduk yang direka secara ergonomik untuk keselesaan menunggang yang maksimum.

Motosikal ini menghasilkan 4.7bhp pada 8000rpm yang boleh dipuji. Ia juga dilengkapi sistem brek drum hadapan dan belakang yang turut dilengkapi dengan sistem kejutan kembar dan garpu teleskopik untuk penunggangan yang lebih lancar. Ciri-ciri lain termasuk reka bentuk lampu hadapan dan belakang yang sporty, manakala tangki minyak dengan kapasiti 4.2 liter mampu meliputi 200 km dengan setiap tangki penuh.

Pulsar NS160 turut dilengkapi dengan suspensi belakang Nitrox mono-shock, dan memberikan tunggangan baik samada di jalan raya atau di jalan desa, menjadikannya kenderaan yang sesuai untuk perjalanan-perjalanan pendek dikota atau di desa. Reka bentuknya yang garang dan sporty turut dilengkapi dengan penggunaan lampu LED, daripada lampu hadapan sehingga ke lampu isyarat.

MODENAS telah menetapkan sasaran jualan tahunan sebanyak 35,000 unit untuk KRISS 110 dan 1,500 unit untuk Pulsar NS160. Kedua-dua model ini boleh mula didapati untuk pembelian bermula Oktober 2019.

BACA: MODENAS PULSAR NS160 CUMA RM7K!

Google ads
Back to top button