Artikel PilihanBuletin

FILEM “CHiPS” AKAN KE PAWAGAM MAC INI

Tengok pada tajuk nanti ada yang ingat kami nak tulis ulasan pasal keropok kentang pula. Bagi golongan otai macam kami ni “CHiPs” merupakan satu nostalgia zaman kanak-kanak yang cukup indah.

Ia merupakan siri TV bertemakan polis trafik yang pertama seumpamanya pernah dihasilkan. Kalau di Malaysia, Datuk Yusof Haslam pernah menerbitkan siri “Roda-Roda Kuala Lumpur” juga bertemakan polis trafik. Tapi “CHiPs” ni lagi lama dari itu. Ia disiarkan di seluruh dunia dari 1977 sehingga ke 1983. Ia mengisahkan tentang kehidupan dua orang polis peronda bermotosikal California Highway Patrol (CHP).

BACA: 5 FILEM MENARIK PILIHAN KAMI

Kalau nak dikirakan sebenarnya “CHiPs” ini sebuah drama aksi yang ringan lagi santai. Maklumlah ia disasarkan untuk tontonan seisi keluarga. Dulu selepas berita perdana, seisi keluarga akan duduk tercongok di hadapan TV menunggu waktu siarannya (zaman tu mana ada telefon pintar atau tablet bagai).

Ia mengisahkan kehidupan seharian pegawai polis CHP bernama Frank Poncherello dan Jonathan Baker atau lebih dikenali dengan nama Ponch dan Jon. Kedua watak ini dilakonkan oleh Erik Estrada dan Larry Wilcox. Ia juga boleh dikatakan antara drama kepolisan yang paling sopan kerana jarang sekali pegawai-pegawai CHP mengeluarkan senjata sepanjang jalan cerita.

“CHiPs” juga pernah dihasilkan dalam bentuk filem pada tahun 1999 dengan judul “CHiPs 99”. Ia mengekalkan beberapa pelakon asal tetapi agak kurang berjaya. Pada tahun 2005, sekali lagi Hollywood menghebohkan dunia dengan satu lagi filem “CHiPs” tetapi masih belum nampak hasilnya.

Kini “CHiPs 2017” bakal ditayangkan 24 Mac ini di seluruh dunia. “CHiPs”  terbaru ini ditampilkan dalam bentuk komedi aksi dan dibintangi oleh Michael Pena sebagai “Ponch” dan Dax Shepard sebagai “Jon”. Ini lagi satu permainan budak dulu-dulu. Main basikal ramai, seorang jadi Ponch seorang lagi jadi Jon.

Sama seperti siri TV terdahulu, ia masih berkisarkan tentang kehidupan dua orang pegawai polis trafik California lakonan Pena dan Shepard. Namun babak aksi bermula bila mereka terlibat dalam kekecohan kumpulan pencuri kereta yang diketuai oleh seorang bekas polis yang ganas. Selepas itu bermulalah aksi biasa polis berlawan dengan penjahat.

Polis bermotosikal dan sindiket curi kereta memang elemen yang cukup sesuai untuk tontonan semua kaki wayang seperti kami dan mungkin juga anda semua. Berdasarkan trailer yang sudahpun mula dimuatnaik di saluran Youtube, pelbagai jenis motosikal bakal digunakan dalam adegan-adegan filem ini selain motosikal BMW RT1200P yang digunakan oleh polis peronda CHP.

Kalaupun tidak berminat dengan motosikal, sepertimana siri “CHiPs” terdahulu, elemen dramatik yang ada pada siri itu juga mampu menarik perhatian penonton termasuklah golongan ibu. Kaum hawa manalah yang tidak berminat dengan watak Ponch yang cukup macho tu weh.

Tetapi harus diingatkan, berbeza dengan siri TV “CHiPs” terdahulu, filem ini mempunyai adegan-adegan yang tidak sesuai untuk tontonan golongan kanak-kanak. Biasalah, inikan filem Hollywood. Kalau filem keluaran Disney pun tidak dapat lagi dari adegan sebegini inikan pula filem-filem satira komedi seperti ini.

BACA: KENDERAAN ADIWIRA PILIHAN MEKANIKA

Selain daripada itu versi filem untuk tahun 2017 ini mempunyai lebih banyak aksi dan adegan kejar mengejar. Tunggu sahaja kemunculan “CHiPs” terbaru ini di pawagan Mac ini.

Mungkin Datuk Yusof Haslam mahu bikin filem ala “CHiPs” selepas ini? Mana kita tahu kan?

Nah. saksikan trailer di bawah

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button