
FORD RANGER GENERASI TERKINI RASMI DILANCARKAN. 7 VARIAN, 2 PILIHAN ENJIN, BERMULA RM109K
Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) hari ni secara rasmi melancarkan generasi baharu Ford Ranger 2022 yang ditunggu ramai untuk pasaran Malaysia.
Trak pikap berkenaan menggunakan platform Ranger T6 yang telah dipertingkatkan. Ia juga disifatkan sebagai trak pikap paling canggih menerusi pengenalan pelbagai teknologi pertama di dalam segmennya.

“Ranger sentiasa menjadi rakan yang selalu boleh diharapkan untuk peniaga kecil, keluarga, peminat kembara, kegunaan komersial dan banyak lagi di lebih 180 buah negara.
“Dengan ciri termaju yang ditawarkan, kami percaya Ranger generasi baharu akan terus membawa revolusi dalam segmen trak pikap, dan mempertingkatkan lagi daya tarikannya yang sedia hebat di dalam pasaran,” kata Presiden Pasaran Pengedar bagi rantau ASEAN dan Asia Fasific Ford Motor Company, Yukontorn ‘Vickie’ Wisadkosin.
Ford Ranger 2022 hadir dalam tujuh varian pada harga berikut:
- Ford Ranger XL (dua varian) – RM108,888
- Ford Ranger XLT (dua varian) – RM124,888
- Ford Ranger XLT Plus – RM142,888
- Ford Ranger Wildtrak – RM168,888

Dari segi penampilan, Ranger baharu membawakan gayaan yang lebih mantap. Lihat sahaja kepada lampu utama LED, gril serba baharu, lampu nyalaan siang berbentuk C, penawaran lampu LED matriks serta ciri bantuan suluhan tinggi automatik buat kali pertama.
Struktur hadapan hidroform pula membolehkan aliran udara yang lebih banyak ke radiator, sekali gus memastikan suhu enjin sentiasa berada dalam keadaan rendah apabila beroperasi.
Karakteristik Ranger yang memang terkenal dengan pengendalian cemerlang dipertingkatkan dengan kemampuan off-road. hasilnya, pasukan jurutera Ford telah menambah jarak antara roda sehingga 50mm untuk memberi tahap kestabilan lebih baik.
Sudut mendekat (approach angle) turut dinaikkan kepada 30 darjah daripada 28.5 darjah. Manakala diikuti sudut pelepasan (departure angle) naik 23 darjah daripada 21 darjah. Kedudukan suspensi belakang pula dialih kedudukannya ke luar rangka untuk pemanduan yang lebih terkawal.

Ruang belakang telah diluaskan dengan menambah kelebaran trak sebanyak 50mm untuk memuatkan barangan asas yang besar seperti papan lapis serta palet kayu bersaiz penuh.
Lebih menarik lagi, Ford Ranger generasi baharu kini ada menyediakan sistem pengurusan kargo yang lengkap dengan pembahagi, ruang tempat pijak kaki di bahagian belakang tayar khusus untuk varian WildTrak. Sementara pintu but boleh berfungsi sebagai meja kerja lengkap dengan poket kapit dan pembaris untuk mengukur, memegang dan memotong bahan binaan.
Ford Ranger generasi baharu didatangkan dengan dua pilihan enjin iaitu:
2.0 liter Turbo Tunggal
- 170 PS @ 3,500rpm, tork 405Nm @ 1,750-2,500rpm
- Pilihan transmisi manual atau automatik 6 kelajuan
- Electronic Shift-on-The-Fly (ESOF)
2.0 liter Bi-Turbo
- 210 PS @ 3,750rpm tork 500Nm @ 1,750-2,000 rpm
- Transmisi automatik 10 kelajuan
- Electronic Shift-on-The-Fly (ESOF)

Bagi varian Wildtrak, pemandu boleh memilih mode pemanduan seperti mod Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts dan Sand untuk kegunaan off-road. Sementara varian XL hingga XLT Plus pula hadir dengan empat mode iaitu Normal, Eco, Tow/Haul dan Slippery.
Ruang kabin Ranger 2022 mengalami perubahan yang sangat ketara. Papan pemuka diserlahkan dengan skrin sentuh bersaiz 10.1 inci (atau 12 inci) yang diposisikan secara menegak. Ia dilengkapi sistem operasi SYNC4A yang menyempurnakan lagi skrin kluster digital untuk pemandu.
Segala kawalan mod pemanduan tradisional telah dialihkan dari papan pemuka dan berhampiran gear ke satu paparan tersendiri di dalam skrin SYNC. Canggih betul dan mudah dioperasi.
Sebagai sebuah trak pikap gaya hidup, Ranger menawarkan banyak ciri berguna. Antaranya termasuklah ruang untuk menyimpan telefon, pad pengecasan tanpa wayar, ruang penyimpanan barang pada konsol tengah, panel pintu dan belakang tempat duduk belakang dan kamera 360 darjah untuk varian WildTrak.

Dari segi keselamatan, trak pikap itu hadir dengan ciri Evasive Steer Assist (untuk varian WildTrak), Post Collision Braking (Wildtrak & XLT), Adaptive Cruise Control bersama ciri Stop & Go, Cross Traffic Alert dan Reverse Brake Assist (WildTrak). Selain sokongan Brek Kecemasan Automatik (AEB) untuk varian XLT dan Wildtrak dengan pengesan penunggang basikal dan pejalan kaki serta sokongan AEB di persimpangan.
Ranger generasi baharu hadir dengan beberapa warna menarik termasuk dua warna baharu iaitu oren (Sedona Orange) dan kuning (Luxe Yellow). Manakala warna sedia ada seperti putih, kelabu, perak, biru dan hitam turut ditawarkan.
Selain jaminan standard untuk tempoh lima tahun dan jaminan lanjutan hingga tujuh tahun, pemilik juga boleh memilih pakej servis berjadual sehingga lima tahun dengan cara pembayaran awal untuk menjimatkan kos.
- BACA: KERETA IDAMAN RICHARD HAMMOND – FORD RANGER WILDTRAK!
- BACA: FORD DEDAH SPESIFIKASI ENJIN V6 RANGER, 247 HP, 600 NM
- BACA: FORD RANGER RAPTOR 2023. ENJIN PETROL 3.0L ECOBOOST V6 392HP. 7 MODE PEMANDUAN. MASUK MALAYSIA TAHUN INI?
- BACA: SDAC PERKENAL EKSPRESI JENAMA BAHARU UNTUK FORD RANGER
GALERI












