Buletin

FORD RANGER RAPTOR 2023. ENJIN PETROL 3.0L ECOBOOST V6 392HP. 7 MODE PEMANDUAN. MASUK MALAYSIA TAHUN INI?

Ford hari ini memperkenalkan Ranger Raptor generasi seterusnya ke pasaran dunia. Sudah memasuki generasi kedua, jentera itu dibina untuk mendominasi apa jua permukaan jalan.

Dibangunkan oleh pihak Ford Performance, Ranger Raptor merupakan trak pikap berprestasi tinggi yang padat dengan teknologi pintar. Ia turut menggabungkan kuasa bersama ketepatan mekanikal dan teknikal untuk menjadikannya Ranger paling padu setakat ini.

Rangkaian Kuasa

Berita paling penting yang perlu anda tahu ialah pengenalan enjin turbo berkembar 3.0 liter EcoBoost V6 baharu. Enjin petrol itu mampu menjana kuasa mencecah 392hp pada 5,650rpm dan tork 583Nm pada 3,500rpm yang ditala oleh Ford Performance.

Ranger Raptor juga hadir dengan enjin diesel Bi-Turbo bersesaran 2.0 liter untuk pasaran-pasaran tertentu bermula tahun 2023.

Enjin turbo berkembar 3.0 liter EcoBoost V8 dihasil dengan blok silider besi grafit kompak yang 75 peratus lebih kukuh berbanding besi biasa.

Ford Performance memastikan enjin tersebut dapat menawarkan maklum balas serta-merta sebaik sahaja pendikit ditekan. Selain dilengkapi sistem anti-lag untuk hantaran kuasa yang pantas apabila diperlukan.

Sistem anti-lag yang didapati pada mode Baja, mengekalkan pusingan pengecas turbo sehingga tiga saat selepas pemandu melepaskan pendikit minyak. Ini membolehkan pecutan pantas dibuat ketika hendak keluar dari selekoh atau sewaktu penukaran gear dan pemandu kembali menekan pedal minyak.

“Enjin ini pasti memberi dinamik berbeza kepada Ranger Raptor dan akan memuaskan hati pemandu,” kata Ketua Jurutera Program Ford Performance untuk Ranger Raptor, Dave Burn.

Ia dipadankan bersama kotak gear 10 kelajuan yang setiap gear itu diprogramkan dengan profail boost tersendiri. Jadi, ia dapat menawarkan pecutan terbaik sama ada di atas jalan biasa, lumpur atau berpasir.

Dengan sistem ekzos aktif yang dikawal secara elektronik yang meningkatkan bunyi enjin dalam empat mode pemanduan iaitu Quiet, Normal, Sport dan Baja, ia sememangnya memberi satu pengalaman berbeza.  

Pemandu boleh memilih bunyi enjin yang dikehendaki dengan hanya menekan butang pada stereng atau mode pemanduan yang akan menggunakan salah satu tetapan berikut:

  • Quiet – Direka agar lebih senyap. Sesuai ketika memandu di kawasan perumahan pada waktu awal pagi atau malam
  • Normal – Tetapan ini menawarkan bunyi ekzos yang tidak terlalu kuat untuk kegunaan harian. Profail ini akan digunakan secara default untuk mode pemanduan Normal, Slippery, Mud/Ruts dan Rock Crawl
  • Sport – Bunyi ekzos yang lebih kuat dan agresif.
  • Baja – Merupakan profail bunyi ekzos yang paling agresif dan sesuai untuk kegunaan off-road sahaja.  

Suspensi padu

Berbanding Ranger serba baharu, Ranger Raptor memiliki chasis unik yang telah diperkukuhkan pada bahagian tiang C, kotak beban dan tayar simpanan. Tidak ketinggalan pada kerangka untuk jounce bumper, shock tower dan pelekap shock belakang bagi memastikan ia mampu menempuh apa jua laluan sukar.

Sistem suspensi telah direka semula sepenuhnya melibatkan arm kawalan atas dan bawah aluminium ringan. Suspensi belakang Watt’s juga direka untuk memberikan lebih kawalan ketika memandu di atas laluan off-road pada kelajuan tinggi.   

“Naik taraf suspensi kebanyakannya terdiri daripada peredam FOX Live Valve baharu. Suspensi ini diadaptasi pada masa sebenar untuk memberikan kawalan luar biasa di atas laluan off-road. Pada masa sama menyerap segala ketidaksempurnaan jalan dengan baik, demi memberi kawalan serta prestasi maksimum,” jelas Burn.

Keupayaan tersebut disumbang oleh penyerap hentak FOX 2.5-inch Live Valve Internal Bypass. Menjadi penyerap hentak paling sofistikated pernah dipasang pada Ranger Raptor, ia diisi oleh minyak Teflon yang mengurangkan geseran sehingga 50 peratus.

Talaan dan tetapan sistem suspensi berkenaan dilakukan oleh Ford Performance hasil gabungan kejuruteraan komputer (CAE) dan ujian dalam dunia sebenar. Ubah suai kadar gegelung, ketinggian, talaan injap dan sebagainya dibuat bagi memberikan keseimbangan sempurna di antara aspek keselesaan, kawalan, kestabilan serta cengkaman.

Keupayaan Ranger Raptor untuk mengharung laluan sukar ditingkatkan lagi menerusi perlindungan pada bahagian bawah badannya. Plat bash hadapan (besi setebal 2.3mm) kini dua kali lebih besar berbanding apa yang dipasang pada Ranger biasa.  

Plat berkenaan melindungi komponen-komponen utama seperti radiator, sistem stereng, cross member hadapan, sump enjin dan differential hadapan.  

Sistem 4×4 sepenuh masa

Buat pertama kalinya, Ranger Raptor menerima sistem pacuan empat roda sepenuh masa termaju bersama transfer case dua kelajuan yang dikawal secara automatik. Digabungkan dengan kunci differential hadapan dan belakang, ciri itu pasti disukai oleh golongan off-roader tegar.

Pemandu boleh memilih daripada tujuh mode pemanduan termasuklah mode Baja untuk off-road pada kelajuan tinggi.

Setiap mode tersebut akan mengubah suai elemen enjin, transmisi, sensitiviti dan kaliberasi brek ABS, kawalan kestabilan, cengkaman, injap ekzos, stereng, maklum balas pendikit, kluster instrumen serta skrin sentuh.

Bergantung kepada mode, skim warna pada paparan digital juga akan berubah.  

On-road

  • Normal – direka untuk keselesaan, penjimatan bahan api dan pemanduan lebih santai.
  • Sport – lebih responsif untuk pemanduan di atas jalan biasa
  • Slippery – memberi lebih keyakinan ketika memandu di laluan off-road yang licin dan tidak rata

Off-road

  • Rock Crawl – menawarkan kuasa cengkaman dan momentum yang optimum di atas permukaan tanah lembut
  • Sand – digunakan di atas pasir lembut dan salji tebal. Mengotimumkan hantaran kuasa dan penukaran gear
  • Mud/Ruts – untuk cengkaman maksimum ketika memulakan perjalanan off-road dan mengekalkan momentum kenderaan
  • Baja – ditala untuk pemanduan off-road berkelajuan tinggi

Trak pikap itu juga hadir dengan ciri Trail Control yang bertindak seperti kawalan jelajah untuk pemanduan off-road. Pemandu hanya perlu menetapkan kelajuan di bawah 32km/j, sistem itu akan menguruskan aspek pecutan dan brek sendiri.

Reka bentuk paling mantap

Reka bentuk serba baharu nyata membawa Ranger Raptor ke satu tahap lebih tinggi. Penampilannya diserlahkan dengan arca roda yang besar, lampu utama berbentuk C, huruf FORD pada gril dan bampar yang terpisah.  

Lampu utama Matrix LED dan lampu nyalaan siang LED hadir dengan ciri membelok, tidak silau dan larasan automatik untuk menjamin pemanduan yang lebih selamat kepada semua.  

Rekaan bahagian belakang nyata semakin menarik dengan lampu LED, bampar berwarna kelabu bersama pemijak kaki. Ranger Raptor ditawarkan dengan dua pilihan rekaan rim bersaiz 17 inci yang dibalut oleh tayar all-terrain BFGoodrich KO2.

Ruang kabin pula didatangkan dengan tempat duduk baharu yang diinspirasikan daripada jet pejuang. Ia bukan sekadar selesa, malah dapat memberi sokongan terbaik ketika dipandu laju di selekoh.

Kemasan berwarna oren pada panel instrumen dan tempat duduk dipertingkatkan lagi dengan lampu ambien. Suasana mewah itu disempurnakan dengan kluster digital bersaiz 12.4 inci, di samping skrin sentuh 12 inci yang menggunakan sistem ketersambungan dan hiburan Ford SYNC 4A dengan Apple Carplay dan Android Auto tanpa wayar.

Lebih menarik lagi, ia dilengkapi sistem audio Bang & Olufsen untuk kualiti bunyi luar biasa.

Berminat? Ranger Raptor bakal menemui pengguna di Malaysia pada tahun ini. Spesifikasi lengkap dan harganya akan diumumkan bila tiba masanya nanti.  

GALERI

Google ads
Back to top button