Buletin

BELANJAWAN 2027: PAS PERJALANAN MY50 DITERUSKAN, MYKOMUTER50 DIPERKENALKAN

Kerajaan meneruskan kemudahan pas perjalanan My50 untuk kira-kira 300,000 pengguna perkhidmatan bas dan rel kendalian Prasarana di Lembah Klang, selain memperkenalkan pas MyKomuter50 bagi membantu mengurangkan kos perjalanan pengguna KTM Komuter menerusi Belanjawan 2027.

MyKomuter50 dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 40,000 pengguna KTM Komuter, manakala kemudahan pas perjalanan berkenaan membolehkan pengguna menikmati penjimatan purata sehingga RM160 sebulan.

Selain itu, pas perjalanan percuma turut disediakan kepada kira-kira 360,000 penerima yang terdiri daripada murid sekolah, komuniti orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia bawah enam tahun.

Inisiatif itu bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan perjalanan harian, khususnya bagi golongan yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, sekolah dan menjalankan urusan harian.

Dalam pada itu, kerajaan turut memberi perhatian kepada isu gangguan perkhidmatan tren yang menjejaskan perjalanan penumpang sejak kebelakangan ini.

Prasarana dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dipertanggungjawabkan untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan kelancaran perkhidmatan tren serta meningkatkan kebolehpercayaan operasi.

Langkah berkenaan penting bagi memastikan pengguna dapat menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih cekap dan konsisten.

Google ads
Back to top button