
BELANJAWAN 2027: RM3.4 BILION PULIHKAN REL, 42 SET TREN BAHARU DIPEROLEH
Kerajaan memperuntukkan pelaburan melebihi RM3.4 bilion oleh Prasarana bagi melaksanakan pemulihan menyeluruh perkhidmatan rel sebagai langkah jangka panjang untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam negara.
Selain itu, sebanyak 42 set tren baharu akan diperoleh bagi menyokong operasi perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) dan KTM Komuter, sekali gus memperkukuh kapasiti rangkaian rel negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak dijangka mula beroperasi pada Disember ini.
Malaysia dan China turut mencapai persetujuan untuk menyambung laluan ECRL ke Rantau Panjang. Sebuah stesen bas juga akan dibina di stesen ECRL Kota Bharu bagi memudahkan pergerakan penduduk Kelantan.
Bagi meningkatkan akses kepada pengangkutan awam, kerajaan menyediakan peruntukan RM270 juta untuk menambah baik perkhidmatan bas henti-henti di bandar utama.
Usaha itu turut merangkumi penyediaan rangkaian yang menghubungkan 15 stesen di Pantai Timur menjelang pengoperasian ECRL, bagi memudahkan penumpang meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas dan rel.
Sementara itu, kerajaan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menyediakan RM1.1 bilion untuk menambah baik jalan di kawasan pelabuhan serta lapangan terbang di Kota Kinabalu, Miri, Tawau, Sandakan dan Pulau Pinang.
Peruntukan itu turut meliputi kemudahan lapangan terbang penghubung jarak pendek (STOLport) di Long Banga dan Ba’Kelalan, Sarawak.
Pelaburan berkenaan memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan infrastruktur pengangkutan, memperkukuh hubungan antara bandar dan wilayah serta menyokong kelancaran pergerakan penumpang dan aktiviti ekonomi.

