
GEELY BAKAL LANCAR SEDAN EMGRAND DI FILIPINA. MALAYSIA BILA LAGI?
Geely didakwa bakal melancarkan sedan segmen B terbaharunya ke pasaran Filipina untuk bersaing dengan Honda City dan Toyota Vios di sana.
Foto sedan Emgrand itu dirakam di salah sebuah pengedar Geely dengan logo dan lencana lain ditutup dengan pita pelekat. Emgrand generasi keempat itu sebelum ini muncul dalam laman web rasmi Geely Filipina pada Oktober tahun lalu.
Mula dilancarkan di China pada Ogos 2021, Emgrand dibangunkan di atas platform BMA yang turut digunakan oleh Proton X50. Walaupun disasar untuk bersaing dengan City dan Vios, sedan itu bagaimanapun sedikit besar dengan panjang 4,638mm.
Dengan jarak roda mencecah 2,650mm ia sebenarnya setara dengan sedan segmen C seperti Honda Civic dan Toyota Corolla Altis.

Bagi pasaran Filipina, Emgrand dijangka menggunakan enjin 1.5 liter DVVT aspirasi biasa berkuasa 114hp dan tork 147Nm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT 8 kelajuan atau transmisi manual lima kelajuan.
Ruang kabin Emgrand tampil mewah dengan kluster instrumen digital bersaiz 12.3 inci, skirn sentuh terapung 10.25 inci, ekosistem pinyar GKUI Geely, bantuan suara AI, sistem penapis udara CN95 dan bermacam-macam lagi.
Varian lebih tinggi dilengkapi sistem kamera keliling 540 darjah, perakam video ultra HD dan sebagainya. Memandangkan ia disambungkan dengan ekosistem pintar Geely, Emgrand turut menyokong kemas kini OTA yang sentiasa menambah baik aspek bantuan AI, navigasi, infohibur dan ciri-ciri pintar yang lain.
Emgrand merupakan sedan jenama China paling laris selama sembilan tahun berturut-turut dengan angka jualan lebih 3.25 juta unit.
Di Malaysia, Emgrand atau Bin Rui mungkin boleh dilihat sebagai calon terbaik untuk menggantikan sedan Persona yang sudah begitu lama berada di pasaran.
- BACA: PROTON PERSONA 2022 FACELIFT. 3 VARIAN, SEAT KULIT, BERMULA RM45,800
- BACA: GEELY LANCAR BINYUE PRO (PROTON X50) FACELIFT 2021. PERUBAHAN MINIMUM, LEBIH SPORTY
- BACA: PROTON PERSONA HYBRID MUNGKIN LAHIR DARI MODEL INI – GEELY BIN RUI
- BACA: ENJIN GEELY 1.0TD, BAKAL DIGUNAKAN PADA MODEL SAGA, PERSONA DAN IRIZ?