Artikel PilihanBuletin

ENJIN GEELY 1.0TD, BAKAL DIGUNAKAN PADA MODEL SAGA, PERSONA DAN IRIZ?

Enjin S4PH Campro VVT yang digunakan oleh Proton Persona dan enjin S4PE Campro VVT yang dipasang pada Saga sebenarnya sudah agak lama. Enjin ini diperkenalkan sebagai CamPro, CamPro IAFM, CamPro CPS, CamPro CFE dan akhir sekali CamPro VVT. Mungkin versi VVT adalah versi terakhir bagi CamPro

Proton perlu menggantikan enjin ini untuk model baru Persona dan Saga secepat mungkin bagi kekal berdaya saing. Namun harus diingatkan, kos pembangunan enjin sebenarnya sangat mahal dan memakan masa yang lama. Jadi tak hairanlah enjin CamPro ini kekal digunakan sehinggalah pengganti enjin ini dihasilkan

Jangan risau kerana rakan teknikal Proton iaitu Geely telah menghasilkan sebuah enjin yang dibangunkan semenjak tahun 2018 lagi yang dikenali sebagai 1.0TD. Enjin ini juga dikenali dengan kod JLF-3G10TD dibangunkan secara usahasama antara Geely, Volvo dan juga FEV (Forschungsgesellschaft für Energietechnik und Verbrennungsmotoren).

Berikut ialah data berkenaan dengan rekaan enjin ini yang merangkumi saiz enjin, saiz lejang, diameter silinder, nisbah mampatan 9.6:1, sistem dual VVTi (kemasukan 60 darjah, ekzos 40 darjah), kuasa kuda dan juga tork maksima

Selain daripada menggunakan sistem pemasaan injap pada bahagian injap kemasukan, enjin ini juga menggunakan sistem suntikan bahan api terus tekanan tinggi, sistem turbo, rongga ekzos terbina dalam kepala silimder, dan juga pam minyak pelincir motor elektrik bagi mengurangkan parasitic load pada enjin

Bagi memenuhi objektif penghasilan 100kW atau 134 kuasa kuda dan 180Nm tork, ia dipadankan dengan dengan turbo inertia rendah yang bersaiz 34mm pada turbin dan 38mm pada bahagian kompressor. Turbo ini dihasilkan daripada nikel-cast iron mampu beroperasi sehingga suhu 950 darjah celcius pada 290,000 RPM

Dalam usaha mengurangkan bunyi bising semasa operasi, mengurangkan geseran dan meningkatkan kecekapan, jurutera memilih untuk menggunakan sistem timing belt jenis basah, bebola besi pada aci sesondol, aci engkol off-center sebanyak 8mm dari tengah piston, salutan resin pada piston, dan spring injap kemasukan dan ekzos dengan rekaan 2 pekali spring (non linear spring)

Bagi sistem penyejukan, ia direka supaya enjin cepat panas pada suhu sejuk, enjin sentiasa beroperasi dalam parameter yang optimum dan cecair penyejuk dihantar secara maksimum pada halaju tinggi bagi menghalang fenomena knocking daripada berlaku.

Jadi enjin ini direka dengan 3 jaket air, 2 daripadanya dipasang pada bahagian kepala silinder bagi operasi turbo yang optimum dan satu lagi jaket air berada di bahagian silinder. Ketika enjin sejuk, cecair penyejuk dihalang daripada memasuki sistem untuk mempercepatkan enjin mencapai suhu optimum

Isu yang biasa dengan rekaan 3 atau 5 silinder ialah masalah gegaran. Geely telah membuktikan enjin 3 silinder 1500cc yang dipasang pada X50 amat cemerlang dari aspek NVH. Bagi enjin 3 silinder, gegaran adalah berpunca daripada ketidakseimbangan operasi piston

Bagi mengatasi masalah inertia yang tidak seimbang ini, enjin ini dilengkapkan dengan shaft pengimbang dengan pemberat. Mekanisme ini dipasang dalam oil pan serta disambung dengan dengan menggunakan sistem gear bersama-sama dengan pemberat khas.

Sebenarnya apabila enjin ini dihasilkan, antara matlamat jangka masa panjang Geely ialah sebagai enjin pembakaran dalam yang efisyen dan juga sebagai sebahagian sistem hibrid. Ruang yang banyak dalam bahagian enjin membolehkan komponen hibrid dipasang dengan mudah

Enjin 1.0TD 1000cc, 3 silinder turbo ini memenuhi pelepasan asap Euro 6 namun pada masa yang sama berupaya menghasilkan sehingga 134 kuasa kuda dan 180Nm tork. Ia dicapai dengan penggunaan sistem dual VVT, ekzos manifold diintegrasi dalam kepala silinder, wet timing belt, motor elektrik 2 peringkat bagi membekalkan minyak pelincir dan juga rekaan sistem penyejukan yang optimum

Jika dibandingkan dengan enjin 1300cc 4 silinder turbo, enjin 1000cc 3 silinder turbo ini adalah 14% lebih jimat, NVH yang yang sama seperti enjin 4 silinder, kuasa yang tinggi serta berupaya mencapai pelepasan asap Euro6. Jadi pada hemat kami, besar kemungkinan enjin ini bakal digunakan untuk model Proton segmen A seperti Saga dan juga segmen B seperti Persona/Iriz.




Google ads
Back to top button