Buletin

GEELY LANCAR JIAJI (EXORA) FACELIFT DI CHINA. REKAAN INFINITE WEAVE, PILIHAN VERSI PHEV, BERMULA RM77K

MPV yang didakwa akan menjadi pengganti Proton Exora, Geely Jiaji akhirnya dilancarkan secara rasmi di China. 

Model facelift itu didatangkan dalam tiga varian dan ditawarkan pada harga bermula 119,800 yuan (RM77,300) sehingga 142,800 yuan (RM92,000) seunit. 

Versi ICE MPV dengan kapasiti enam atau tujuh tempat duduk itu dikuasakan oleh enjin  empat silinder turbo 1.8 liter  yang mampu menjana 184hp dan tork 300Nm.   

Model PHEV pula dilengkapi enjin turbo 1.5 liter dengan kuasa 177hp dan motor elektrik berkuasa 82hp. 

Gabungan rangkaian kuasa itu membolehkannya memiliki kuasa setinggi 258hp dan tork 415Nm. Dipadankan dengan kotak gear klac berkembar 7 kelajuan, ia mampu mencatat pecutan maksimum 190km/j.

Dari segi dimensi, ia mempunyai panjang 4706mm, lebar 1,909mm, tinggi 1,690mm dan tapak roda 2,805mm. Varian Jiaji L adalah 120mm lebih panjang berbanding varian lain. 

Bahagian hadapan Jiaji 2022 diserlahkan menerusi falsafah rekaan Starburst dengan gril baharu Infinite Weave seperti model Proton. Bampar berbentuk X itu juga dipasang dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED dan kemasan krom. 

Rekaan bahagian belakang pula disegarkan dengan spoiler nipis waran badan, sepasang lampu LED, reflektor yang melintang dari kiri ke kanan dan tip ekzos krom untuk tampil lebih sporty. 

Masuk ke ruang kabin, pemandu dihidangkan dengan panel instrumen digital bersaiz 10.25 inci, stereng rekaan rata pada bahagian bawahnya serta skrin sentuh terapung berukuran 12.3 inci yang dikuasakan oleh sistem infohibur Galaxy OS. 

Sebagai sebuah kenderaan keluarga Jiaji menawarkan ruang kargo seluas 513 liter. Sistem pendingin hawa dua zon, tempat duduk pemandu larasan elektrik, penapis udara CN95, pengecas tanpa wayar dan enam unit pembesar suara turut disediakan. 

Aspek keselamatan ditingkatkan dengan enam beg udara dan fungsi bantuan pemanduan tahap dua yang merangkumi ciri brek kecemasan automatik, kawalan jelajah serta banyak lagi. 

GALERI

Google ads
Back to top button