Motosikal

KEDAI MOTOR SENARAI HITAM 160 INDIVIDU TAK BAYAR ANSURAN BULANAN. 50% PEMILIK YSUKU, ADA YANG TERTANGGUH 36 BULAN

Pemilik sebuah kedai motosikal mendedahkan kira-kira 160 individu kini ‘disenarai hitamkan’ kerana tidak membayar ansuran bulanan pinjaman mereka.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Motor Mok Mung yang berpangkalan di Seberang Takir, Terengganu, daripada jumlah itu, lebih 50 peratus adalah pemilik motosikal jenis Yamaha Y15ZR atau (Ysuku).

Jelas kedai itu lagi, kebanyakan mereka tertangguh bayaran antara enam bulan sehingga 36 bulan (tiga tahun) dan kesemua pinjaman dibuat menerusi pinjaman kedai (loan kedai).

Selain Yamaha Y15R, antara motosikal yang masih tertunggak bayaran ialah Yamaha NVX, Yamaha R15, Yamaha Ego LC, Honda Beat dan Honda RS.

Menurut pemilik kedai terbabit, tindakan selanjutnya akan dikenakan kepada mereka yang gagal menjelaskan hutang dalam tempoh yang ditetapkan.

“Amaran tunggakan motor loan kedai. Sila jelaskan segera, kegagalan berbuat demikian akan dikenakan tindakan selanjutnya.

“Pandai hutang, pandai bayar. Anda settle (jelaskan) bayaran, kami delete (buang) nama anda dari senarai ini, ” tulis mereka di Facebook semalam.

Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna mengecam tindakan mereka yang membeli motosikal tetapi tidak membayar ansuran bulanan sehingga menyusahkan pihak kedai.

“Amboi pandai buat pinjaman bila nak bergaya suruh bayar liat memasing,” tulis Muhammad Syarafi.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Muhammad Shahiruddin Ismail.

“Ini baru betul biar papa asal bergaya, ikut sangat trend Y15 dengan NVX, konvoi sana konvoi sini tapi hutang tak nak bayar,” katanya. 

Menjengah ke Facebook rasminya, terdapat banyak iklan yang menggoda pelanggan dengan tawaran pinjaman kedai 100 peratus lulus. Untuk membeli motosikal idaman, pelanggan hanya perlu menyediakan kad pengenalan, tanpa penjamin, tiada slip gaji dan individu yang disenarai hitam juga boleh memohon.  

Walaupun ini merupakan antara ‘kriteria biasa’ yang dikenakan untuk pemohon loan kedai, jadi kita boleh agak tentang keupayaan mereka untuk membayar kembali pinjaman. Jadi, apabila mereka gagal melunaskan bayaran bulanan, saya tidak fikir ia sesuatu yang menghairankan. 

Namun, sudah pasti bukan semua peminjam begitu. Ramai je yang mempunyai rekod pembayaran balik yang bagus. Senang cerita, ukur baju di badan sendiri. Kalau mampu, beli. Tak mampu, tak payah beli.  – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button