
PASANGAN KEKASIH MATI DALAM PERODUA KANCIL. BARU BERCINTA 8 BULAN LEPAS
Rakan kepada remaja perempuan yang ditemui mati dalam kereta Perodua Kancil di pekarangan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau, Masjid Tanah, Melaka mendakwa, kedua-dua mangsa telah menjalinkan hubungan sejak lapan bulan lalu.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Damia berkata, si mati perempuan telah meminta bantuan untuk menghantarnya ke lokasi kejadian bagi berjumpa pemuda berkenaan, petang semalam (Selasa).
“Dia (mangsa perempuan) telah berkenalan dengan teman lelakinya melalui aplikasi Instagram dan telah menjadi kekasih selama kira-kira lapan bulan.
“Semalam, dia ada minta tolong saya hantar ke Japerun sebab mahu berjumpa teman lelakinya dan saya telah menghantarnya dengan motosikal sebelum pulang semula ke rumah,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, dua individu dipercayai pasangan kekasih ditemukan maut dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diselubung dengan kanvas di pekarangan Kompleks Japerun Ayer Limau, kira-kira pukul 9.25 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, mangsa lelaki berusia 20 tahun manakala pasangannya merupakan remaja bawah umur berusia 16 tahun.
Hasil siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati, tiada sebarang unsur perlakuan jenayah ditemukan dan keadaan kedua-dua mangsa juga lengkap berpakaian.
Tambah Damia, bagaimanapun dia terkejut apabila kakak si mati menghubunginya kira-kira pukul 8.30 pagi tadi, dengan bertanyakan keberadaan mangsa yang tidak pulang ke rumah sejak petang semalam.
“Saya terus bangun dan mencarinya di kawasan sekitar sebelum ke Japerun tersebut dan ternampak kereta kancil dipandu teman lelakinya ada diparkir di situ.
“Kereta itu ditutupi dengan kain kanvas dan apabila saya selak, saya nampak mereka berdua tetapi dalam keadaan tidak sedarkan diri. Saya terus maklumkan kepada kakaknya,” katanya.- Utusan Online
- BACA: PERODUA KANCIL NAK RUNTUH DIKESAN DI KEPONG. MP MINTA PIHAK BERKUASA AMBIL TINDAKAN
- BACA: KEI CAR, BUKAN SEKADAR KENARI KANCIL DAN KELISA SAHAJA
- BACA: PERODUA KANCIL TERBAKAR DI STESEN MINYAK PETRONAS DISYAKI ADA KAITAN DENGAN AKTIVITI PENYELUDUPAN
- BACA: KENAPA ENJIN PROTON X50 & PROTON X70 BERBUNYI BISING? ENJIN KANCIL PUN BISING









