Artikel Pilihan

KENAPA SEMUA KENDERAAN JDM DIKENAKAN SEKATAN KELAJUAN 180 KM/J DI JEPUN?

Jerman mempunyai lebuhraya tanpa halaju yang dinamakan Autobahn manakala di Jepun pula lebuhraya dengan halaju tertinggi ialah sebahagian lebuh raya ujian di wilayah Shizuoka (50.5 km) dan di Wilayah Iwate (30.6 km). Kelajuan di kedua seksyen lebuh raya ini ditetapkan pada 110 km/j dan akan dinaikkan ke 120 km/j , menjelang 1 Mac tahun ini.

Jika dilihat pada halaju lebuhraya di mana-mana negara pun di dunia ini, ianya berada pada sekitar 110-130km/j. Setakat ini negara yang mempunyai halaju paling tinggi di dunia ialah Poland (140 km/j) diikuti oelh Perancis, Belanda, Greece, Romania dan Hungary yang mempunyai halaju 130 km/j. Negara lain pula mempunyai halaju pelbagai dan dan rata-ratanya berada dalam likungan 120-110 km/j termasuk Malaysia.

Jadi kalau anda tak puas hati dengan halaju lebuh raya kita, tengoklah pada negara-negara lain yang mempunyai halaju yang lebih tinggi. Semua negara tersebut merupakan negara yang lebih maju dan mempunyai kualiti dan jaringan lebuh raya yang jauh lebih baik (dan tidak melompat-lompat seperti LPT2).

Jadi kenapa kereta-kereta Jepun mempunyai sekatan kelajuan 180 km/j bagi kereta penumpang biasa dan 140 km/j bagi kereta kompak?

Satu ketika dahulu, jika kereta dipandu mencecah 180 km/j, ia akan mengeluarkan bunyi beep. Adakah sistem itu masih wujud? Berapakah sekatan kelajuan kereta-kereta Jepun sekarang? Adakah masih lagi sama seperti dahulu?

Sekatan kelajuan bukan satu peraturan tetapi lebih kepada tanggungjawab. Ia merupakan peraturan sukarela yang dipatuhi oleh semua pengeluar yang bernaung di bawah Persatuan Pengeluar Kenderaan Jepun (JAMA). Peraturan tidak rasmi ini diwujudkan berdasarkan saranan daripada  Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Jepun pada tahun 1955. Ia sebenarnya cumalah satu cadangan ataupun teguran lisan dan tidak pernah diberikan secara bertulis.

Dengan kata lain sekatan kelajuan 180 km/j itu lebih kepada satu usaha sukarela dan bukannya peraturan yang dikuatkuasa secara rasmi.

Terdapat pelbagai cara sekatan dilakukan dan antara langkah yang diambil satu ketika dahulu ialah menghentikan sistem pancitan bahan api untuk menghentikan kelajuan pada 180 km/j. Kini keseluruhan sistem enjin dikawal oleh ECU secara elektronik yang bertindak untuk menghadkan kelajuan pada 180 km/j sahaja.

Kami pun baru tahu rupa-rupanya sekatan kelajuan pada masa sekarang adalah berbeza-beza antara pengeluar. Mitsubishi contohnya menghadkan kelajuan 180 km/j pada kereta penumpang biasa mereka tetapi untuk model i-Miev dan kereta elektrik lain, ia dihadkan pada 130 km/j sahaja.

Nissan juga mengambil pendekatan yang sama cuma bagi model halo mereka seperti Nissan GT-R, sekatan kelajuan ini boleh dibatalkan bergantung kepada di mana kereta tersebut dipandu. Jika ia berada di dalam litar perlumbaan (berdasarkan maklumat pada GPS kereta) sekatan kelajuan 180 km/j akan dibatalkan. Takkan nak layan trek hari minggu dengan kelajuan maksima 180 km/j kan?

Honda NSX turut mempunyai sekatan kelajuan pada 180 km/j tetapi ia boleh dibatalkan dengan mengubah tetapan dengan menggunakan “vehicle setting”.

Bukan semua model mempunyai sekatan kelajuan

Walaubagaimanapun, model-model import yang dipasarkan di Jepun tidak terikat kepada peraturan tidak rasmi sekatan kelajuan ini. Malah model-model dari Eropah juga dikatakan cuma mempunyai sekatan kelajuan 250 km/j seperti yang kita sedia maklum pada model-model keluaran Mercedes-Benz, BMW dan Audi. Walaupun ia sebuah model kompak, ia masih tetap dikekalkan pada 180 km/j. Maklumat sebenar tentang sekatan kelajuan model import memang sukar diperolehi kerana ia dirahsiakan syarikat.

Bagaimana dengan model-model sport dan supercar? Hmm, sebenarnya memang tidak ada sekatan langsung. Ye lah, kalau sebuah Lamborghini boleh memecut sehingga melebihi 300 km/j, apa gunanya meletakkan sekatan kelajuan.

Sekatan ini sebenarnya ditetapkan untuk keselamatan untuk sesebuah kereta yang dipasarkan untuk pasaran domestik. Lagipun laju-laju sangat nak ke mana? Jalan raya mana pun di dunia ini, ia bukannya tempat untuk berlumba. Pandulah dengan cermat mengikut halaju yang ditetapkan.  

Tags
Google ads
Back to top button