Artikel Pilihan

BEBERAPA FAKTA BERGUNA UNTUK MENUNJUKKAN PENGETAHUAN AUTOMOTIF ANDA SEWAKTU MENGORAT AWEK

SHARE

Rasanya boleh dikatakan semua pembaca Mekanika ni memang peminat kereta ataupun motosikal. Tapi mesti ada banyak perkara yang korang tak tahu kan? Alah, Abang Japar, Pak Amid pun bukan tahu semua benda pasal kereta. sebab tu kita kena belajar supaya tak jadi bangang. Mari kita tengok beberapa fakta yang Pok Ya baru kutip dari otai-otai automotif. Mana tahu kalau tak ada modal nak bercakap masa jumpa awek bolehlah guna fakta-fakta ni. Jangan asyik belek telefon nanti kurang pulak sel-sel otak yang baru nak berhubung. Berkesan atau tidak bergantung pada awek yang dipilih.

Fakta 1: Carl Benz Bukan Manusia Pertama Mencipta Kereta

Benz sebenarnya orang pertama yang mendaftar paten sebuah kereta secara formal pada tahun 1807. Sebenarnya sebelum itu beberapa pereka lain telahpun merintis jalan ke arah penghasilan kereta seperti Nicolas-Joseph Cugnot yang telah mereka sebuah kenderaan berenjin pada tahun 1769 dan rekaan enjin pembakaran dalaman pertama oleh Nicephore Niepce pada tahun 1807. Tapi bila tak daftar macam mana nak claim hakcipta kan?

Fakta 2: 95 Peratus Usia Kereta Dihabiskan Di Tempat Letak Kereta

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

Sejauh mana pun kita pandu dan sekerap mana pun kita gunakan rupanya hanya 5 peratus sebenarnya usia sesebuah kereta digunakan di atas jalan raya. 95 peratus lagi rupanya memang melepak je kat porch ataupun tempat pakir. Tambahan pula kalau pemiliknya jenis menggunakan pengguna pengangkutan awam ataupun menggunakan sistem e-hailing.

Fakta 3: Pencipta Sistem Cruise Control Ialah Seorang Lelaki Buta

Ini kami pun baru tau. Walaupun buta tapi beliau sebenarnya seorang graduan kejuruteraan mekanikal dari Universiti Pennsylvania dan pernah mereka rotor turbin untuk sistem torpedo. Satu hari beliau membuat satu perjalanan dengan rakannya yang juga seorang peguam. Proses memecut dan memperlahankan kenderaan membuatkan beliau bosan dan memberi idea untuk mereka sistem cruise control.

Fakta 4: Volvo Ialah Pereka Tali Pinggang Keledar 3-Point

Ini semuanya ramai orang dah tahu. Tapi tak ramai yang tahu sebenarnya Volvo sengaja tidak mempatenkan rekaan mereka ini agar ia boleh digunakan oleh pengeluar lain secara bebas tanpa apa-apa sekatan. Dianggarkan sistem rekaan Volvo ini telah menyelamatkan satu nyawa setiap 6 saat di seluruh dunia. “Roy, Roy, kau memang budak baik”. Eh silap bukan Roy tapi Volvo.

Fakta 5: Charles Goodyear Bukannya Pengasas Syarikat Goodyear

Syarikat tayar Goodyear dinamakan sempena nama Goodyear sebagai menghargai jasa beliau kerana menemui proses vulkanisasi yang digunakan untuk menguatkan getah. Goodyear mencari penyelesaian kepada masalah ketahanan getah sepanjang hidup dan menemuinya secara tidak sengaja bila beliau mencampurkan sulfur dan getah yang kemudiannya terjatuh secara tidak sengaja ke atas dapur pemanas. Hasilnya lahirlah formula untuk memastikan tayar getah tahan lebih lama.

Fakta 6: Sebuah Kereta Dihasilkan Menggunakan Sekitar 30,000 Komponen

Sekali tengok kita cuma nampak enjin, kotak gear, tayar, stereng dan tempat duduk tapi sebenarnya sekitar 30,000 komponen digunakan untuk menyiapkan sebuah kereta.

Fakta 7: Siapa Kata Autobahn Tiada Had Laju?

Sebenarnya Had Laju tetap ada di Autobahn. Cuma bahagian-bahagian tertentu yang tidak mempunyai had laju dan bahagian-bahagian seperti ini sebenarnya semakin pendek tahun demi tahun. Siapa tahu dalam empat lima tahun lagi had laju Autobahn terus jadi 90 km/j macam lebuhraya Karak.

Fakta 8: Kemalangan Kereta Pertama Kali Berlaku Pada Tahun 1891

Kelajuan bukannya satu-satu punca terjadinya kemalangan. Kemalangan pertama di dunia ini berlaku pada kereta berkuasa gasolin satu selinder ciptaan John William Lambert yang hanya mampu memecut selaju 8 km/j! 8 km/j je tuan-tuan. Kerusi roda arwah ayah Pok Ya pun lagi laju dari tu. Kereta tersebut terlanggar akar pokok yang timbul dan terus terbabas.

Fakta 9: Kebarangkalian Kematian Dalam Kemalangan Kereta Ialah 1:5000

Ia sebenarnya lebih tinggi dari kebarangkalian kematian akibat nahas udara. Maklum sahajalah bukannya hari-hari kita baik kapal terbang. Tambahan pula pesawat biasanya diterbangkan oleh juruterbang professional yang memang dilatih sepanjang masa. Kereta lain sikit, dah la bilangan pemandu professional boleh dikira dengan jari. Yang ramai pemandu yang acah-acah professional dan dilatih oleh Play Station.

Fakta 10: Radio Kereta Nyaris Diharamkan Satu Ketika Dahulu

Rasionalnya senang sahaja, ia dikatakan akan menggangu tumpuan pemandu dan mungkin mengakibatkan kemalangan. Kini selepas 100 tahun berlalu radio rupanya bukan saspek utama tapi digantikan dengan telefon pintar yang 100 juta kali lebih menggangu tumpuan pemandu. Jumpa lampu isyarat merah, tekan brek, balas mesej, like status FB. Lampu bertukar hijau, masih lagi tersengih seorang diri sampai orang belakang kena tekan hon mengalahkan kapal penangkap paus di Lautan Antartika.

Fakta Tambahan: Kebanyakan Manusia Akan Terlibat Dengan Kemalangan Setiap 18 Tahun (Nauzubillah)

Ini mengikut bancian yang dijalankan oleh syarikat-syarikat insuran. Nak percaya boleh tak nak percaya pun tak apa sebab kita orang Islam percaya dengan qadha dan qadar. Menurut kajian tadi secara purata manusia biasa akan terlibat dalam kemalangan 4 kali seumur hidup. Kebarangkalian akan menjadi lebih tinggi jika anda selalu memandu pada waktu malam, memandu dengan tergesa-gesa ataupun membuat kerja lain sambil memandu (rujuk Fakta 10). Kalau masa memandu pun ramai yang sempat update status FB tidak mustahillah premium insuran sentiasa meningkat naik setiap tahun.

Tags
Google ads
Back to top button