Buletin

BYD AMBIL ALIH PENGEDAR JERMAN – KAWAL PASARAN, TINGKAT JUALAN

Pada 30 Ogos, Hedin Mobility Group di Stuttgart, Jerman, mengumumkan bahawa mereka telah mencapai persetujuan dengan BYD untuk menjual rangkaian pengedaran jenama tersebut di Jerman.

Ini bermakna Cawangan Jerman BYD, yang dikenali sebagai BYD Automotive GmbH, kini akan mengawal hak pengedaran dan alat ganti jenama BYD dalam pasaran Jerman.

Transaksi ini merupakan persetujuan di mana Hedin akan menjual anak syarikatnya, Hedin Electric Mobility GmbH, yang telah dilantik sebagai Dealer+ untuk kenderaan dan alat ganti BYD di pasaran Jerman kepada BYD.

Sebahagian daripada persetujuan ini juga melibatkan pemindahan dua kedai perintis di Stuttgart dan Frankfurt, yang pada masa ini dikendalikan oleh bahagian runcit Hedin Mobility Group di Jerman, kepada kawalan BYD.

Namun, perjanjian ini tidak sepenuhnya memutuskan hubungan Hedin dengan BYD. Syarikat itu akan terus menjadi pengedar sah BYD di Jerman dengan tiga pusat jualan di Mannheim, Kaiserslautern, dan Saarbrücken.

Selain itu, Hedin Mobility Group akan terus bertindak sebagai Dealer+ dan pengedar di Sweden.

“Sepanjang dua tahun yang lalu, kami telah bekerjasama dengan BYD untuk membangunkan pasaran Jerman. Asas kini sudah ada untuk meningkatkan jumlah jualan, dan kami berharap dapat meneruskan perjalanan ini di Jerman bersama BYD sebagai pengedar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas Hedin Mobility Group, Anders Hedin.

Perjanjian ini memperkukuh kedudukan BYD dalam pasaran Jerman. Dengan bertindak sebagai pengedar, BYD boleh memeterai lebih banyak perjanjian dengan rangkaian pengedar di seluruh Jerman.

Selain itu, dengan mengawal bahagian alat ganti, BYD dapat memastikan pengalaman pelanggan sepenuhnya berada di bawah kawalan syarikat berkaitan perkhidmatan serta penyelenggaraan kereta yang dijual.

“BYD komited untuk memupuk kerjasama jangka panjang yang kukuh. Perkongsian sedia ada dengan pengedar Jerman akan diteruskan.

“Bersama rakan-rakan runcitnya, BYD akan terus meluaskan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang dan sokongan jaminan di Jerman,” kata Naib Presiden Eksekutif BYD Company Ltd, Stella Li.

Transaksi ini tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan dijangka akan dimuktamadkan pada suku keempat 2024.

BYD menjual 4,139 kereta di Jerman tahun lepas, tetapi sehingga akhir Julai, syarikat itu hanya menjual 1,432 kereta pada tahun 2024.  Motif jelas di sebalik perjanjian ini adalah untuk cuba mempercepatkan kadar jualan.

Google ads
"
"
Back to top button