
GWM WEY G9 HI4 PHEV TERIMA 800 TEMPAHAN DALAM TEMPOH SEMINGGU SELEPAS DILANCARKAN
GWM Malaysia memaklumkan bahawa MPV mewah terbaharunya, WEY G9 Hi4 PHEV, telah mencatat pencapaian memberangsangkan apabila menerima lebih 800 tempahan hanya dalam tempoh seminggu selepas dilancarkan.
Model berkenaan, yang diperkenalkan secara rasmi pada 29 Januari 2026 di MITEC, menjadi MPV New Energy mewah pertama yang dipasang secara tempatan, sekali gus menandakan keyakinan pengguna terhadap teknologi hibrid pintar semakin meningkat.
Pengarah Urusan GWM Malaysia, Cui Anqi, berkata sambutan positif yang diterima membuktikan pelanggan tempatan semakin memahami nilai yang dibawa oleh WEY G9.
“Jumlah tempahan ini bukan sekadar angka, tetapi petunjuk bahawa rakyat Malaysia benar-benar menghargai gabungan kemewahan, keselesaan dan teknologi pintar yang ditawarkan oleh WEY G9,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa kejayaan awal ini menunjukkan pengguna kini bersedia untuk melangkah ke fasa baharu mobiliti New Energy di negara ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi GWM Malaysia, Roslan Abdullah, menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti kemampuan ekosistem pemasangan tempatan.
“Ini bukan sahaja menggambarkan permintaan pasaran yang kukuh, malah membuktikan tenaga kerja mahir dan rangkaian vendor tempatan mampu memenuhi piawaian global serta menjana nilai jangka panjang kepada industri automotif negara,” jelasnya.
WEY G9 Hi4 PHEV dibangunkan berasaskan konsep “First Class for All”, yang menggabungkan prestasi hibrid, kecekapan tenaga, ciri keselamatan canggih serta keselesaan premium dalam satu pakej MPV keluarga moden.
Dikuasakan oleh sistem hibrid pintar Hi4 GWM, model ini mampu menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 170 kilometer, manakala jarak keseluruhan melebihi 1,000 kilometer, sesuai untuk perjalanan harian mahupun jarak jauh dengan operasi lebih senyap dan cekap.
WEY G9 Hi4 PHEV ditawarkan pada harga RM269,800, sekali gus meletakkannya sebagai pilihan kompetitif dalam segmen MPV mewah di Malaysia.



