" "
Buletin

HERE WE GO! LEWIS HAMILTON SAH BERPINDAH KE FERRARI

Pemegang gelaran juara dunia tujuh kali Formula 1, Lewis Hamilton sah akan berpindah dari Mercedes ke pasukan Ferrari untuk musim Formula 1 (F1) 2025.

Berita mengejutkan ini telah disahkan oleh kedua-dua pasukan, yang kedua-duanya mengeluarkan pengumuman mengenai perpindahan pelumba Britain itu.

“Scuderia Ferrari dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Lewis Hamilton akan menyertai pasukan pada 2025, dengan kontrak beberapa tahun,” tulis Ferrari di akaun rasmi mereka.

Sementara itu, Mercedes berkata musim 2024 akan menjadi musim terakhir Hamilton sebagai pemandu untuk pasukan Mercedes.

“Pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS dan Lewis Hamilton berpisah pada penghujung musim 2024,” kata Mercedes.

Tambahan pula, Mercedes mendedahkan bahawa Lewis telah menggunakan klausa pelepasan daripada kontrak ditandatanganinya pada Ogos tahun lalu, yang bermakna dia boleh meninggalkan pasukan apabila musim 2024 berakhir.

Hamilton sendiri berkata dia berbangga dengan pencapaian yang diraih bersama pasukan Mercedes selama 11 tahun.

“Saya telah melalui 11 tahun yang luar biasa bersama pasukan ini dan saya bangga dengan apa kami capai bersama,” kata Hamilton.

Dia mengakui amat sukar untuk membuat keputusan berpindah kerana pasukan Mercedes adalah tempat dia berkembang.

“Mercedes telah menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak saya berumur 13 tahun. Di situlah saya dibesarkan, jadi membuat keputusan ini adalah antara paling sukar dalam hidup saya,” sambung pelumba berusia 39 tahun itu.

Hamilton percaya ini adalah masa yang sesuai untuk menyahut cabaran baharu, tetapi dia menekankan bahawa dia akan terus komited memberikan prestasi terbaik buat Mercedes pada musim F1 2024.

Sementara itu, bos pasukan Mercedes, Toto Wolff berkata, Hamilton adalah bahagian penting dalam sejarah Mercedes di dunia Sukan Permotoran.

 “Lewis (Hamilton) sentiasa menjadi bahagian penting dalam sejarah Mercedes dalam Sukan Permotoran. Bagaimanapun, kami tahu kerjasama kami akan berakhir dan hari ini telah tiba,” katanya.

“Kami menerima keputusan Lewis untuk mencari cabaran baharu, dan kami teruja dengan masa depan pasukan, tetapi kini kami masih mempunyai satu musim lagi,” tambah Toto.

Hamilton bersama Mercedes sejak 2013 dan memenangi gelaran pertamanya bersama McLaren pada 2008.

Untuk rekod, Kontrak semasanya akan tamat pada penghujung tahun depan.

Sepanjang musim 2023, Hamilton mengumpul sejumlah 234 mata daripada 22 siri yang diadakan tanpa sebarang kemenangan.

Kedudukan terbaiknya ialah podium kedua di GP Australia, Sepanyol dan Mexico.

Selain itu, Lewis Hamilton juga memenangi podium tiga kali di GP Kanada, British dan Singapura.

Google ads
Back to top button