BMW Z4 M40i DENGAN GEAR MANUAL 6 KELAJUAN!
BMW Z4 dengan kotak gear manual enam kelajuan dilengkapi sebagai ciri asas pada varian sDrive20i.
Varian yang digerakkan enjin 2.0 liter turbo dengan teknologi BMW TwinPower Turbo menghasilkan 197 kuasa kuda (hp).
Walaupun begitu, Z4 M40i dengan enjin 3.0 liter turbo hanya dibekalkan kotak gear automatik Steptronic Sport lapan kelajuan.
Kini tidak lagi, BMW membekalkan Z4 M40i dengan kotak gear manual enam kelajuan!
Pemandu boleh merasai nikmat kuasa 340 hp dan tork 500Nm dari enjin 3.0 liter M TwinPower Turbo melalui kotak gear manual dan terus ke jalan raya melalui roda belakang.
Bergantung kepada pasaran, pelanggan boleh memilih Z4 M40i Handschalter atau edisi Pure Impulse dengan beberapa ciri khas.
Kotak gear manual yang diguna dibangunkan khas untuk Z4 M40i.
Kotak gear modular BMW itu dilengkapi perkakasan M pada set gear dan aci yang diubah suai untuk kuasa enjin enam silinder sebaris.
Mekanisma penukaran luar yang terdiri daripada tuil gear, guide dan sambungan kepada transmisi dibuat khas untuk Z4 M40i Handschalter.
Dari segi prestasi, pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 4.6 saat atau 0.1 lebih perlahan berbanding Z4 dengan kotak gear Steptronic Sport.
Sedikit berbeza namun sensasi menekan pedal cekam tidak sama dengan gear automatik. Kelajuan maksimum Z4 M40i Handschalter mencecah 249 km/j.
Di antara perkakasan asas pada Z4 M40i ialah stereng sport boleh ubah (variable), brek M Sport, pembeza M Sport pada gandar belakang dan suspensi suai M dengan kawalan redaman elektronik.
Untuk Handschalter Pack, suspensi tersebut istimewa dengan penalaan khas. Turut istimewa gegelung sokongan khas pada gandar depan dan belakang.
Lagi kelengkapan istimewa ialah pengapit bar antigoleng yang diperkukuh dipasang pada bahagian depan.
BMW juga menggunakan pemetaan khas untuk kawalan elektronik kedua-dua peredam belakang dan stereng sport boleh ubah.
Masih lagi tentang elektronik, kawalan cengkaman dan pembeza M Sport kereta ini menggunakan logik kawalan khusus.
Tayar depan dan belakang berbeza. Rim aloi M di depan berukuran 19 inci di depan dan 20 inci di belakang.Â
Tetapan itu biasanya dibuat pada model berprestasi tinggi BMW M GmbH untuk membolehkan penghantaran kuasa optimum ke jalan raya.
Dari segi penampilan, model ini dilengkapi riasan M High-gloss Shadowline dengan perkakasan khas seperti logo model pada panel sisi dan belakang kereta.
Turut dilengkapi perumah cermin sisi warna hitam kilat, pendakap khas untuk aliran udara dan angkup brek merah. Warna Handschalter Pack juga istimewa iaitu Frozen Deep Green Metallic.
Bahagian dalam varian Handschalter Pack atau Pure Impulse dilengkapi kemasan kulit Vernasca dan perkakasan dalam warna hitam kilat.