Buletin

MITSUBISHI XPANDER DAN XPANDER HEV DILANCAR DI THAI, 1.6L MIVEC HIBRID!

Penawaran Xpander sejak diperkenal di Indonesia pada 2017 nampaknya terus berpanjangan apabila Mitsubishi melancarkan model hibrid Xpander dan Xpander Cross HEV di Thailand.

Kedua-dua model kenderaan elektrik hibrid (HEV) itu dikeluarkan di Kilang Laem Chabang Mitsubishi Motors (Thailand) Co., Ltd., dan terus dijual pada hari ini.

Siri Xpander termasuk Xpander Cross yang diperkenal pada 2019 merupakan model Mitsubishi yang terkenal.

Pada tahun fiskal 2022, siri Xpander terjual lebih 130,000 unit di serata dunia dan menduduki tangga ketiga selepas Triton dan Outlander.

Rangkaian kuasa hibrid Xpander dibangunkan baharu berdasarkan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) Mitsubishi. 

Enjin 1.6 liter DOHC MIVEC yang juga baharu dibangunkan menggunakan kitaran Atkinson untuk mencapai tahap kecekapan pembakaran lebih tinggi selain menggunakan pam air elektrik.

Pam elektrik yang pertama digunakan di dalam enjin Mitsubishi berupaya mengurangkan kehilangan mekanikal.

Menurut Mitsubishi, penjimatan penggunaan bahan api adalah sekitar sepuluh peratus berbanding enjin petrol dengan CVT.

Mengikut prosedur ujian Kitaran Pemanduan Baharu Eropah (NEDC), penggunaan bahan api enjin jimat 34 peratus pada pemanduan bandar dan 15 peratus di kawasan bandar dan ekstra-bandar (kombinasi).

Pakej elektrik Xpander HEV terdiri daripada penjana dan motor elektrik dengan kuasa 85 kilowatt (kW) (116 ps) dan bateri yang dipasang di bawah lantai kerusi depan.

Kuasa sistem hibrid Xpander HEV:

  • Enjin 1.6 liter MIVEC: 95 ps @ 5,100 rpm, 134Nm @ 4,500 rpm
  • Motor elektrik: 116 ps, 255Nm

Berbekalkan motor elektrik berkuasa dan bateri, daya kilas dapat dirasai serta-merta selain tindak balas pedal yang baik apabila diinjak dan membantu dalam penukaran lorong di lebuh raya.

Sistem HEV menggabungkan pemanduan elektrik (EV), hibrid dan pembrekan regeneratif.

Apabila kereta mula dipandu atau pada kelajuan rendah, kereta dikuasakan motor elektrik dengan tenaga dibekalkan bateri.

Sistem akan bertukar kepada pemanduan hibrid semasa mendaki laluan tinggi atau memecut menggunakan motor dengan tenaga elektrik dibekalkan enjin dan kuasa dari bateri.

Mod pemanduan hibrid turut digunakan semasa memandu laju dengan kuasa dari enjin dan bantuan dari motor elektrik.

Tenaga kinetik pula diperolehi dari pembrekan regeneratif semasa nyah pecutan dan tenaga elektrik disimpan di dalam bateri.

Seperti yang dinyatakan, sistem HEV Xpander disesuaikan dari model PHEV Mitsubishi.

Pemanduan Xpander HEV diterjemah kepada tujuh mod dengan dua pemanduan EV dan lima untuk kawalan pemanduan optimal berdasarkan keadaan jalan.

Tujuh mod pemanduan Xpander HEV:

  • EV Priority: Memacu motor menggunakan kuasa dari bateri tanpa menghidupkan enjin
  • Charge: Mod bertukar kepada Charge apabila baki bateri pada tahap rendah dan pengecasan diaktifkan supaya pemanduan EV dapat diguna semula 

Lima mod lain beroperasi dengan gabungan sistem pacuan dua roda depan, Active Yaw Control, Kawalan Cengkaman, Kawalan Pecutan dan Kawalan Stereng.

  • Active Yaw Control: Mengawal daya pembrekan di antara roda depan kanan dan kiri
  • Kawalan Cengkaman: Mengawal daya pemanduan apabila sistem mengesan gelinciran roda depan
  • Kawalan Pecutan: Melaras output motor dan enjin semasa memecut
  • Kawalan Steren: Melaras tindak balas stereng mengikut julat kelajuan dan keadaan jalan

Lima mod:

  • Normal: Untuk pemanduan harian
  • Tarmac: Untuk pemanduan lincah dan pengendalian jitu di laluan berselekoh
  • Gravel: Mengurangkan gelinciran dan pengendalian yang selamat di atas permukaan tanpa turapan
  • Mud: Pengendalian di laluan berselut dan kasar
  • Wet: Mengurangkan gelinciran dan meningkatkan kestabilan di dalam hujan lebat

Memuatkan perkakasan elektrik tidak sekadar pasang siap. Mitsubishi telah menukar lantai di kawasan enjin dan bateri. 

Bateri itu dilindungi anggota sisi depan (front side member) dan anggota silang depan dan meningkatkan ketegaran badan Xpander.

Mitsubishi turut membuat penalaan khas pada ampaian dan secara keseluruhannya menyumbang kepada tahap kestabilan tinggi dan keselesaan pemanduan.

Kesenyapan juga diberi perhatian dengan bahan penyerap dan penebat bunyi ditambah pada bahagian penting untuk dalaman yang tenang, bukan sahaja ketika pemanduan EV tetapi juga semasa memecut.

Bahagian tengah papan pemuka Xpander dipasang skrin lapan inci dan perubahan lain turut merangkumi riasan seperti logo HYBRID EV dan warna biru pada perkakasan luaran.

Mitsubishi menawarkan sejumlah warna seperti Blade Silver Metallic, Graphite Gray Metallic, Jet Black Mica dan pilihan baharu White Diamond. 

Mitsubishi turut menawarkan warna Green Bronze Metallic untuk Xpander Cross HEV.

Google ads
Back to top button