
LEWIS LAWAT SEMPADAN GAZA, TERKEJUT KEZALIMAN ISRAEL
Juara dunia Formula 1 sebanyak tujuh kali Lewis Hamilton, menggunakan platformnya sebagai atlet antarabangsa untuk menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza selepas mengadakan lawatan ke kawasan sempadan Rafah di Mesir pada 10 November lalu.
Hamilton mahu melihat sendiri usaha penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin yang berdepan keadaan hidup semakin sukar akibat konflik berpanjangan. Hamilton tiba di bandar El-Arish, yang terletak di wilayah Sinai Utara sebelum dibawa melawat kawasan sempadan Rafah dan pusat logistik bantuan yang dikendalikan oleh Egyptian Red Crescent.
Lawatan tersebut membolehkan beliau melihat bagaimana bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas dikumpulkan, disimpan serta diselaraskan sebelum dihantar ke Gaza. Dalam lawatan tersebut, Hamilton menyifatkan penderitaan penduduk Gaza sepanjang tiga tahun konflik sebagai sesuatu yang amat menyedihkan.
Beliau turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keadaan penduduk yang dinafikan kebebasan, keselamatan dan maruah sebagai manusia dan menggambarkan keadaan tersebut seolah-olah sebuah penjara terbuka. Berdiri di luar kawasan berkenaan, perkara pertama yang terlintas dalam fikirannya ialah keinginan untuk masuk dan membantu mereka yang memerlukan.

Namun, perkara yang paling memberikan kesan kepada Hamilton ialah keadaan lori bantuan kemanusiaan yang menunggu untuk memasuki Gaza. Beliau mendakwa melihat banyak lori membawa bekalan makanan yang sudah bersedia untuk dihantar tetapi terpaksa menunggu lama atau tidak dibenarkan memasuki wilayah berkenaan.
Hamilton turut menceritakan pertemuannya dengan seorang pemandu lori yang sudah menunggu lebih 12 jam ketika mereka berbual. Keadaan tersebut menimbulkan persoalan mengenai kelancaran proses penghantaran bantuan, terutama apabila bekalan berkenaan diperlukan segera oleh penduduk yang berdepan kekurangan makanan dan keperluan asas.
Lebih mengejutkan, Hamilton mendakwa terdapat pelbagai barangan bantuan yang ditolak ketika proses pemeriksaan di pusat logistik berkenaan. Antara barangan yang disebut termasuk beg tidur, kit pertolongan cemas, peralatan perubatan, kerusi roda dan bola sepak untuk kanak-kanak.
Beliau mempersoalkan alasan di sebalik penolakan barangan tersebut kerana semuanya merupakan keperluan yang boleh membantu penduduk Gaza, termasuk golongan kanak-kanak, pesakit dan mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik. Hamilton kemudian menggesa Israel supaya memenuhi tanggungjawab di bawah perjanjian gencatan senjata dan membenarkan lori bantuan memasuki Gaza tanpa kelewatan yang tidak munasabah.

Beliau menegaskan bahawa tiada alasan untuk membiarkan bekalan kemanusiaan terus terkandas sedangkan penduduk di wilayah tersebut amat memerlukannya. Kenyataan Hamilton itu turut mendapat perhatian media antarabangsa kerana beliau hadir sendiri ke pusat pengumpulan bantuan dan bertemu dengan petugas yang terlibat dalam operasi kemanusiaan tersebut.
Krisis penghantaran bantuan ke Gaza sebenarnya masih menjadi perhatian masyarakat antarabangsa walaupun perjanjian gencatan senjata telah dicapai pada tahun sebelumnya. Menurut laporan Associated Press, jumlah lori bantuan yang berjaya memasuki Gaza masih jauh daripada sasaran minimum 600 lori sehari seperti yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan.
Keadaan penduduk turut menjadi semakin sukar apabila hujan lebat melanda kawasan tersebut sehingga menyebabkan kem sementara yang menempatkan keluarga kehilangan tempat tinggal ditenggelami air. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut menyuarakan kebimbangan mengenai kelewatan kemasukan khemah dan bekalan musim sejuk yang diperlukan untuk melindungi penduduk daripada cuaca buruk.
Bagaimanapun pengganas Israel menafikan dakwaan bahawa pihaknya sengaja melambatkan kemasukan bantuan kemanusiaan. Benjamin Netanyahu, sebaliknya menyalahkan Hamas atas keadaan yang berlaku dan mendakwa kumpulan tersebut enggan melucutkan senjata serta menyalahgunakan bantuan untuk kepentingan ketenteraan.
Israel juga menolak tuduhan melakukan genosid dan menyatakan operasi ketenteraannya menyasarkan Hamas. Bagi Hamilton, isu tersebut bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan atau dibiarkan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat dunia.
Beliau berkata ramai orang mungkin berkongsi perasaan tidak berdaya apabila melihat penderitaan penduduk Gaza dari jauh, tetapi keadaan itu tidak sepatutnya menyebabkan masyarakat mula terbiasa dengan kesengsaraan yang berlaku.Beliau turut mengingatkan bahawa masyarakat antarabangsa tidak seharusnya memalingkan muka daripada penderitaan penduduk Palestin hanya kerana konflik tersebut sudah berlarutan begitu lama.
Lawatan ke Rafah ini dilakukan selepas Hamilton mencatatkan penampilan Grand Prix ke-400 dalam karier Formula 1 menerusi Grand Prix Brazil di Sao Paulo pada 8 November lalu.
Hamilton sebelum ini juga pernah menggunakan pengaruhnya untuk menyuarakan isu kemanusiaan dan konflik antarabangsa. Pada 2021, beliau menubuhkan Mission 44, sebuah badan kebajikan yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan akses pendidikan dan peluang pekerjaan untuk golongan muda daripada komuniti kurang mendapat perhatian.








