Motosikal

HONDA CB500 SUPER FOUR DEBUT DI CIMA 2025 – EMPAT SILINDER, 80HP

Selepas pelbagai spekulasi akhirnya Honda memperkenalkan jentera empat silinder Honda CB500 Super Four (SF) serba baharu di CIMA 2025 yang berlangsung di Chongqing, China, baru-baru ini, 

Ketibaan model itu sudah pun dijangka setelah pelbagai paten dan dokumen kelulusan jenis (VTA) yang telah difailkan di China beberapa bulan sebelum ini. 

Bagi menjawab kenapa Honda memilih CIMA 2025 sebagai platform debut global CB500SF? Ini kerana jenama motosikal Jepun itu telah menjalinkan kerjasama dengan pengeluar di China bagi pembangunan enjin baharu itu memandangkan Honda tidak lagi mempunyai kapasiti bagi pembuatan platform berkenaan. 

Meskipun Honda tidak mendedahkan speifikasi penuh motosikal tersebut pada hari pelancaran namun kami difahamkan CB500 SF ini menawarkan kuasa sekitar 80hp yang dibekalkan enjin empat silinder 502cc.  Untuk perbandingan, model Honda terdahulu, CB400 menawarkan 56hp dan dilengkapi dengan teknologi V-Tec. 

Menariknya, Honda turut memperkenalkan varian CB500 SF dengan teknologi E-Clutch yang ketika ini ditawarkan pada CB650R dan CBR650R. Selain itu, CB500 SF ini juga menawarkan kerangka serba baharu, swingarm aluminium, fork USD dari Showa dan brek radial dari Nissin.

Ketika di CIMA 2025, Honda turut memperkenalkan versi sportbike menerusi CBR500 Four yang turut berkongsi enjin, kerangka dan kelengkapan yang sama namun dibezakan dengan kehadiran fairing penuh.

Google ads
Back to top button