Pandu Uji

HONDA CITY HATCHBACK e:HEV RS, EV + PENGECAS BERGERAK

Honda City Hatchback diperkenalkan pada bulan December 2021, semasa dunia masih lagi bergelut dengan pandemik COVID-19. Namun model kompak daripada Honda ini berjaya mendepani arus kelembapan ekonomi dengan menawarkan satu produk yang memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat

Honda City Hatchback menggabungkan rekaan yang kompak di luar, luas di dalam, lengkap dengan semua ciri moden dan keselamatan terkini dan juga ditawarkan dengan varian hibrid yang mengurangkan perbelanjaan petrol anda dalam sebulan

Malah dalam sesetengah keadaan, ada pengguna melaporkan yang mereka sebenarnya sudah terlupa di sebelah mana kedudukan tangki minyak petrol Honda City Hatchback e:HEV mereka. Bagi tahun 2024, model ini diberikan satu rombakan minima selepas hampir 3 tahun berada di pasaran.

Untuk kemasan di bahagian luar, jeriji bawah bampar depan telah diubah menjadi lebih tajam dan agresif selain kemasan krom digantikan dengan kemasan hitam berkilat yang menghubungkan lampu depan. Rim 16 inci juga diberikan kemasan hitam berkilat, manakala bampar belakang menerima rekaan baru dengan ciri diffuser.

Untuk kemasan dalaman, Honda menumpukan kepada perubahan rekaan kosmetik bagi menyegarkan semula ruang kabin. Papan pemuka menerima kemasan krom berwarna merah, suis penyaman udara dengan lampu LED yang bertukar warna, kemasan kulit dengan tona merah pada lubang jahitan dan juga USB jenis C yang bercahaya di ruang belakang

Apa yang unik berkenaan dengan City Hatchback ialah, ia mewarisi ciri Ultra Seat daripada Honda Jazz dengan kusyen bahagian belakang boleh dilipat untuk membesarkan ruang kargo daripada 289 liter menjadi 841 liter

Pemilik juga boleh melipat bahagian belakang untuk menyediakan ciri Tall Mode untuk membawa barangan tinggi, Long Mode untuk membawa barangan panjang dan Refresh Mode untuk berehat.

Bagi varian e:HEV, ia sebenarnya digerakkan dengan menggunakan motor elektrik sepenuhnya, menghasilkan 109PS dan 253Nm tork. Semua kuasa elektrik dibekalkan daripada bateri ion lithium sebesar 1.05kWH yang disimpan dalam ruang kargo belakang

Bateri ini pula dicaj dengan menggunakan enjin 4 silinder 1500cc DOHC yang beroperasi dengan kitaran Atkinson pada RPM yang paling efisyen. Jadi ia hanya menghasilkan sekitar 98PS dan 127Nm tork sahaja dengan kaedah susunan sistem Hibrid Parallel.

Namun secara tepatnya kaedah susunan motor, bateri dan enjin ini adalah Parallel-Series Hybrid dengan enjin boleh disambungkan terus roda menerusi sambungan klac pada halaju tinggi dan satu gear tunggal yang menyamai gear 6 pada kereta manual

Gabungan kuasa sistem ni sebenarnya berupaya menjana sehingga 128PS, mampu membuat pecutan 0-100km/jam dalam masa 9.7 saat biarpun varian e:HEV ini adalah 97kg lagi berat (berat maksimum 1260kg) berbanding dengan varian RS petrol. Halaju maksimum pula dihadkan kepada 177km/jam sahaja.

Tetapi keupayaan sebenar varian e:HEV ialah penjimatan bahan api yang menakjubkan, dengan bacaan rasmi adalah 27km/liter manakala ujian sebenar di atas jalan yang dibuat oleh Mekanika berupaya mencatatkan bacaan sehingga 26.6km/liter.

Dari segi pengalaman pemanduan, City Hatchback e:HEV sebenarnya bagaikan memandu sebuah kereta elektrik, malah turut menghasilkan bunyi amaran apabila halaju kenderaan dibawah 30km/jam disebabkan operasi motor yang senyap

Hanya sesekali barulah enjin akan dihidupkan secara automatik untuk mengecaj bateri sistem hibrid pada RPM yang agak tinggi namun efisyen. Keadaan ini akan menyebabkan kita berasa hairan, pandu perlahan tapi bunyi enjin seperti seakan memecut. Berbeza dengan model lama, bunyi enjin sebenarnya sudah semakin senyap.

Dalam pemanduan, operasi enjin akan dihidupkan dan dimatikan mengikut paramter ECU. Mungkin semasa membrek enjin akan mati atau mungkin juga ia akan hidup semasa menuruni bukit bagi mengecaj bateri.

Lama-kelamaan anda akan biasa dengan operasi enjin dan sudah tidak kisah lagi samaada enjin hidup atau mati. Semasa memandu juga anda tidak akan perasan yang enjin akan hidup atau mati dengan operasi yang lancar.

Bateri sistem juga boleh dicaj dengan menggunakan kaedah brek regeneratif dengan varian e:HEV ini akan menggabungkan brek konvensional setiap kali pemandu menekan pedal brek. Gabungan operasi brek konvensional dan brek regeneratif akan beroperasi dengan harmoni

Apa yang penulis rasa, operasi brek cakera semua roda adalah mudah, senang diagak dan tidak banyak songeh. Jika anda mahu, terdapat pedal brek anajakan di belakang stering yang membantu anda menguatkan brek regeneratif sewaktu menuruni bukit atau melalui jalan berselekoh.

Genggaman pada roda stering adalah sedap, dengan diameter roda stering sedikit gemuk dari model lama. Pengendalian City Hatchback e:HEV juga adalah antara yang mengujakan di dalam kelasnya dengan pergerakan cesi adalah selari apabila input stering diberikan. Segalanya boleh diagak dengan mudah

Sebagai perbandingan, Honda City Hatchback e:HEV datang dengan jarak kelegaan permukaan jalan sekitar 165mm sahaja atau 10mm lagi rendah berbanding dengan pesaingnya yang lain. Untuk mengekalkan operasi sistem suspensi, diameter spring mestilah dibuat dengan lebih tebal

Tapi entah kenapa Honda City Hatchback terasa sungguh selesa walaupun menawarkan pengendalian yang tajam. Jika melalui jalan tidak rata, suspensi torsion beam belakang masih tenang menyerap segala pergerakan roda dengan sedikit sahaja badan penulis bergoyang.

Malah ketika melalui lopak jalan pada halaju tinggi, sistem suspensi tidak mengalami fenomena “bottom out” seperti model lama. Sebaliknya ia akan menjadi lembut pada penghujung pergerakan cesi. Magik betul rasa suspensi ni.

Satu lagi aspek yang boleh dipuji ialah kadar kebisingan di dalam kabin, dengan bacaan bunyi adalah sekitar 55dB sahaja pada halaju 110km/jam di atas lebuh raya. Jadi anda boleh menikmati sistem audio yang menawarkan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar dengan tenang.

Dalam aspek keselamatan, varian RS ditawarkan dengan Honda Sensing lengkap dengan Adaptive Cruise Control dan juga Low Speed Follow. Malah penambahan ciri Honda Connect memudahkan pemilik memantau kenderaan dengan ciri pemantauan pencerobohan, halaju semasa, mampe mengesan jika berlakunya kemalangan, mengesan kenderaan dan boleh menghidupkan kereta dari jauh

Maka tidak hairanlah Honda City Hatchback ini berjaya meraih anugerah 5 bintang dari ASEAN NCAP. Cuma alangkah baiknya jika ciri Honda Lane Watch yang ada pada sebelah kiri kenderaan turut diberikan pada sebelah kanan kenderaan.

Kusyen tengah di barisan kedua juga perlu lebih lembut untuk keselasaan maksimum dan sekiranya kusyen pemandu lebih panjang maka ia akan membantu pemandu untuk memandu dengan lebih selesa dalam tempoh yang lama

Dengan tawaran harga RM 112,900 Honda City Hatchback e:HEV RS ini adalah jawapan Honda kepada semua pengguna bijak yang mahukan sebuah kenderaan kompak menjimatkan kos petrol, kabin yang luas dengan pengalaman pemanduan bagaikan sebuah kereta elektrik

Sebenarnya, anggap saja City Hatchback e:HEV ini sebagai kereta elektrik sahaja, cuma ia datang dengan sistem pengecaj bergerak yang ditawarkan dengan 8 tahun jaminan untuk trenkuasa hibrid.

Google ads
"
"
Back to top button