Artikel Pilihan

HONDA KEMBALIKAN WARNA PHOENIX YELLOW UNTUK CIVIC TYPE R EDISI TERHAD

Rasanya budak darjah tiga pun tahu warna rasmi kereta-kereta Type R Honda ialah Championship White. Tapi selain dari warna tersebut, warna kuning terang ataupun Phoenix Yellow juga sangat popular dan menjadi pilihan kedua selepas Championship White. Jadi kepada mana-mana peminat Type R yang mampu, ini satu berita baik untuk anda kerana Honda baharu sahaja mengumumkan yang mereka telah membawakan kembali warna tersebut untuk Civic Type R (CTR) edisi terhad 2021.

Sebenarnya Civic Type R generasi lama pun memang sukar dilihat dengan warna kuning. Kalau ada yang warna kuning original tu kira memang rare habis la. Di Jepun, Phoenix Yellow juga turut dikenali dengan nama Sunlight Yellow (bukan jenama pencuci pinggan yang bini abang pakai okey) dan kedua-duanya mempunyai kod yang sama iaitu Y56.

Ada yang rasa pernah tengok ke Civic Type R kuning ni tak ingat kat mana. Kalau korang ingat kembali siri Initial D (yang pernah baca atau tonton la), Civic kuning ni memang salah satu lawan Takumi yang paing kuat. Bukan satu tapi dua buah Civic EK9 kuning mencabar Takumi dan AE86 sewaktu mereka bertandang ke wilayah Tochigi. Kira ikonik juga la kan?

Bagaikan tersedar dari lena, Honda terus menawarkan kembali warna Phoenix Yellow ini untuk model Civic Type R lightweight edisi terhad tahun 2021. Macam model ini lebih ringan daripada Civic Type R standard? Menurut Honda ia dicapai dengan pengurangan material tebatan bunyi, pengelap cermin belakang, tonneu cover dan corong pemanas ke bahagian belakang. Menurut Honda lagi pengurangan berat sebanyak 12.7 kilogram berjaya dicapai dengan proses di atas.

2021 Civic Type R Limited Edition

Rim BBS eksklusif mengurangkan lagi berat sekitar 8 kilogram menjadikan berat keseluruhan menurun kepada 1393 kilogram. Talaan penyerap hentak dan stereng yang dilaras kembali akan membezakan model ini dari CTR standard lain. Bahagian enjin bagaimanapun masih sama tetapi dijangkakan ia akan lebih lincah berikutan pengurangan berat yang hampir menyamai separuh berat lelaki dewasa.

Honda akan menghasilkan 1,020 unit CTR edisi khas dengan warna kuning ini dengan agihan 200 untuk pasaran Jepun, EU 100 unit dan Australia hanya 20 unit. AS paling banyak dengan peruntukan 600 ini dan 100 unit untuk Kanada. Malaysia? 0 unit bang. Tunggu jelah unit recond dari Jepun nanti. Setiap satu akan dibekalkan dengan plat khas lengkap dengan nombor siri dan negara ianya dijual.

Harga belum tahu lagi. Memang kena tunggu pengumuman pelancaran rasmi dari Honda.

Tags
Google ads
Back to top button