Buletin

VW GOLF GTE SAMA KUAT DENGAN GOLF GTI!

Volkswagen baru sahaja mendedahkan Golf GTI generasi kelapan dan menariknya bersama dua buah lagi model iaitu Golf GTD (diesel) dan Golf GTE (plug-in hybrid).

Umum mengetahui Golf GTI sememangnya berkuasa namun ada satu model yang mempunyai output sama seperti model itu.

Model yang dimaksudkan ialah Golf GTE yang dikuasakan enjin 1.4 liter turbo dengan motor elektrik 85 kW dan bateri lithium-ion baharu. 

Kuasa kedua-dua nadi itu apabila digabungkan mempunyai output 245 PS dan tork maksimum 400 Nm. 

Sebagai perbandingan, Golf GTI 2.0 turbo berkuasa 245 PS dan tork maksimum 370 Nm.

Enjin 1.4L EA211 TSI secara tunggal mempunyai kuasa 150 PS dan dipadan bersama transmisi enam kelajuan DSG (DQ400e).

Berbanding generasi terdahulu, jarak pemanduan elektrik GTE telah meningkat kepada sekitar 60 km. 

Para jurutera VW berjaya meningkatkan jarak tersebut dengan memperbaiki tahap aerodinamik dan meningkatkan kandungan bahan dalam bateri sebanyak 50 peratus kepada 13 kWh.

Tidak hanya boleh memandu jauh, Golf GTE boleh dipandu sehingga 130 km/j dalam mod elektrik.

Mazda CX30

Apabila bateri dicas dengan cukup, Golf GTE sentiasa dihidupkan dalam mod elektrik sepenuhnya E-MODE.

Pemanduan akan bertukar kepada mod Hibrid apabila kapasiti tenaga bateri jatuh ke satu tahap ditetapkan atau kelajuan melebihi 130 km/j.

Dengan mod elektrik, pemandu boleh menggunakan GTE tanpa minyak dan bebas emisi seperti di kawasan bandar dan sebagainya. 

Sistem pengurusan Golf GTE juga canggih apabila fungsi panduan laluan  aktif di dalam sistem navigasi, bahagian pengurusan bateri akan meramalkan data jalan raya dan topografi bagi memastikan tenaga bateri mencukupi apabila sampai ke destinasi.

Semasa proses tersebut, penggunaan bateri akan disesuaikan mengikut data laluan bagi mencapai jarak pemanduan elektrik yang optimum.

Dari segi gaya luaran dan dalaman Golf mesra alam ini, VW tidak membezakannya secara ketara dengan Golf GTI. 

Masih ada ciri-ciri eksklusif pada Golf GTI seperti corak roda aloi dan beberapa lagi namun satu yang signifikan tentang Golf GTE ialah ia mempunyai kuasa sama dan lebih menjimatkan.

Mana satu yang mahu dipilih? Pemanduan dan pengalaman sebenar di jalan raya mungkin dapat memberikan jawapan.

BACA: FAKTA PENJAGAAN VW GOLF 1.4Tsi

BACA: MAAF, LAMBORGHINI BUKAN UNTUK DIJUAL – VOLKSWAGEN

BACA: EA113L, ENJIN MODEN PALING BERPENGARUH DALAM SEJARAH VOLKSWAGEN

Tags
Google ads
Back to top button