Artikel Pilihan

NISMO Z EDISI TERHAD – NISSAN PALING TAJAM DI DUNIA

Nissan baharu saja menghasilkan satu model yang dinamakan Nismo Z. Ia dihasilkan dalam jumlah yang cukup terhad, tajam dan tak ada enjin pun. Kenapa pula? Sebab ia bukannya sebuah kereta tapi pisau istimewa yang dihasilkan bersama dengan pembuat pisau mahir dan chef.

Ia dinamakan Z Nismo Precision Sushi Knife dan mungkin merupakan berita automotif paling pelik tahun ini. Ia mungkin tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi Nissan sekarang ni tapi cukup berharga untuk pengumpul-pengumpul di seluruh dunia.

Ini sebenarnya projek Nissan Amerika atau lebih tepat lagi Nissan Design America. Bagi menjayakan projek unik ini mereka telah bekerjasam dengan pembuat pisau terkemuka Jepun, Kiryu dan seorang chef di Miami, Florida.

Walaupun projek ini dimulakan oleh Nissan, watak utama dibelakangnya ialah Satoshi Kiryu yang bertanggungjawab mereka dan menghasilkannya. Syarikat Kiryu mula ditubuhkan pada 1927 oleh datuk Satoshi dan beliau sendiri merupakan peminat Nissan Z sejak ia mula dilancarkan sekitar tahun 1970an.

Nissan dan chef Hiriyuki Terada bertanggungjawab atas rekaan dan Terada secara spesifik meminta rekaan pisau yang khusus untuk penyediaan sushi. Rasa semua pun tahu yang pisau sushi ni memang tajam. Bukan senang nak hiris ikan nipis-nipis kalau pisau tak cukup tajam.

Hasilnya ialah sebilah pisau tajam sepanjang 8.27 inci yang dihasilan dari keluli tahan karat. Mata pisau tertera nama Terada siap bertanda tangan dan logo Nissan Z terkini. Pemegangnya pula dihasilkan dari tanduk kerbau siap dengan spacer berwarna merah yang menjadi identiti Nismo. Kotaknya punya lawa tuan-tuan. Boleh la kot tempah untuk berjaya di Hari Raya Korban nanti. Tayang-tayang pisau, ambil gambar empat lima keping lepas tu hilang.

Harga? Tak mahal kalau dibandingkan dengan Nissan Z sebenar. Hanya USD300.23 sahaja. Yang penting ini produk Nismo orizainal tahu.

Google ads
Back to top button