Buletin

HONDA MALAYSIA PERKENAL TEKNOLOGI PINTAR TELEMATICS, HONDA CONNECT

Honda Malaysia memperkenalkan teknologi terkini dan inovatif terbaharu, Honda Connect pada hari ini dalam memperkasa keselamatan dan kemudahan pengguna.

Honda Connect yang menggunakan teknologi pintar Telematics membenarkan pengguna berhubung dengan kenderaan mereka melalui satu sentuhan sahaja melalui aplikasi telefon pintar.

Teknologi pintar Telematics memiliki fungsi utama seperti Diagnostik Kenderaan, Aplikasi Jarak Jauh, Aplikasi Keselamatan, Perkhidmatan Menjejak dan Sokongan Kenderaan.

Pengenalan teknologi terbaharu itu menyasarkan memudahkan pengguna mengakses kenderaan serta memperoleh maklumat di mana-mana sahaja.

Dari segi keselamatan, Honda Connect dilengkapi Sistem Pengesanan Pelanggaran Automatik (Automatic Collision Detection System), Pengesanan Keselamatan Alarm (Security Alarm Detection), Amaran Kelajuan (Speed Alert), Find My Car, Amaran Geo-Fencing dan Panggilan Kecemasan.

Sistem Pengesanan Pelanggaran Automatik menawarkan sokongan pantas kepada pemandu melalui Pusat Panggilan Bantuan Roadside Honda yang beroperasi selama 24 jam jika berlaku kemalangan atau terdapat penggunaan beg udara di dalam kenderaan.

Ia akan menyalurkan pemberitahuan kepada Pusat Panggilan dan sokongan kecemasan akan dihantar pada kadar segera.

Selain itu, pengguna Honda Connect akan menerima notis pemberitahuan melalui push notification di aplikasi apabila mengesan perlanggaran.

Bagi Pengesanan Keselamatan Alarm pula, akan memantau kenderaan malah memaklumkan pengguna sekiranya pintu, bonet ataupun hud hadapan dibuka.

Mereka yang selalu terlupa parkir kenderaan boleh menggunakan fungsi Find My Car dengan hanya menggunakan aplikasi di telefon pintar sahaja.

Amaran Kelajuan dan Geo-Fencing memainkan peranan dalam memaklumkan kepada pengguna apabila kenderaan melebihi kelajuan ataupun tersasar dari radius pemanduan yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, Remote Diagnostic Support memberi penilaian awal dan diagnosis diperlukan mengenai isu yang dihadapi kenderaan.

Sebanyak 11 isu yang dapat dikesan melalui Remote Diagnostic Support iaitu Anti-lock Brake System (ABS), Supplemental Restraint System, Brake System, Engine Malfunction, Charging System, Vehicle Stability Assist (VSA) System, Electric Power Steering (EPS) System, Lane Keep Assist System (LKAS), Adaptive Cruise Control System (ACC), Safety Support dan Power System.

Antara ciri menarik lain termasuk fungsi mesej One-to-One, Perkhidmatan Posting Rangkaian Sosial dan Pertanyaan Pelanggan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, ToichiIshiyama berkata teknologi diketengahkan Honda Connect merangkumi visi Honda berhubung nilai reka cipta untuk mobiliti dan kehidupan harian manusia.

“Kami ingin memperkasa kehidupan harian para pelanggan melalui platform inovatif dan maklumat terkini dengan menawarkan pelbagai manfaat seperti ketenangan fikiran, kemudahan dan keseronokan,” katanya.

Beliau menambah, teknologi Honda Connect ditawarkan pada varian All-New City RS e:HEV yang akan menemui para pelanggan bermula Mac ini.

Untuk keterangan lanjut berhubung platform teknologi terkini itu, para pelanggan boleh menghubungi talian 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my.

Google ads
Back to top button