Buletin

HONDA MALAYSIA TAWAR 7 MODEL EDISI KHAS SEMPENA ONE MILLION DREAMS

Honda Malaysia menawarkan tujuh model edisi khas bernilai RM1 juta sempena kempen One Million Dreams yang berlangsung pada 25 Februari hingga 24 Mac ini.

Selain memperingati pencapaian signifikan, kempen berkenaan bertujuan untuk menghargai pelanggan ke atas sokongan terhadap jenama Honda.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, berkata tujuh model edisi khas yang akan ditawarkan merupakan Jazz, City baharu, BR-V, HR-V, Civic, CR-V baharu dan Accord.

“Tujuh kenderaan edisi khas ini direka khusus dengan ciri-ciri unik menjadikan ia satu-satunya model di Malaysia.

“Bahagian dalaman kenderaan didatangkan kemasan dua tona, fascia bahagian hadapan dilengkapi sentuhan warna merah, cermin sisi dengan garisan merah sporty dan rim aloi garisan warna merah.

“Selain itu, ia turut mendapat lencana khas tertulis 1 Million Dreams pada bahagian fender hadapan,” katanya.

Beliau menjelaskan, ruang dalaman model edisi khas pula dilengkapi tempat rehat kepala emboss pada bahagian pemandu dan penumpang hadapan, stereng kulit dengan kemasan jahitan warna merah.

Katanya lagi, setiap model berkenaan turut dibekalkan dengan pouch kunci kulit khas.

Untuk memenangi tujuh model edisi khas berkenaan, para peserta hanya perlu mengikuti beberapa langkah mudah dalam kempen terbabit.

Para peserta boleh menyertainya dengan mengikuti salah satu daripada enam aktiviti yang dirangka Honda Malaysia untuk layak seberapa banyak kali dan menghantar penyertaan di pengedar rasmi Honda ataupun laman web rasmi Honda Malaysia.

Mereka boleh mengumpul penyertaan dengan memuat turun dan mendaftar melalui aplikasi HondaTouch di www.honda.com.my.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum berkata pelbagai aktiviti menarik dirancang dalam kempen berkenaan seperti aktiviti di bilik pameran seluruh negara dan pameran 1 Million Dreams.

“Kami juga menjalin kerjasama istimewa bersama CUCKOO, Shopee dan Watsons. Bahkan, kami ingin menghargai barisan hadapan yang cukup berdedikasi.

“Justeru, salah sebuah model edisi khas tersebut dikhususkan kepada para barisan hadapan,” katanya.

Selain itu, beliau menambah, terdapat hadiah bernilai 5 Milion Shopee coins untuk ditawarkan kepada 150 pemenang bertuah setiap minggu.

Untuk keterangan lanjut mengenai kempen, boleh melayari laman web honda.com.my/1milliondreams/entry atau mengunjungi 102 pengedar rasmi Honda di seluruh negara.

Mereka juga boleh menghubungi talian 1-800-88-2020 atau www.honda.com.my.

Google ads
Back to top button